Selasa, 28 Mei 2019

Kari Ikan Merah

Kari Ikan Merah

Hari  ini saya ingin kongsikan resepi Kari Ikan Merah. Ikan Merah yang saya beli di Village Grocer. Selepas balik dari tailor, saya singgah di Village Grocer dengan Nana, Ammar dan pengasuh Ammar. Nana ingin membeli bahan untuk memasak makanan Ammar. Ammar sangat suka Australia butternut  pumpkin yang biasanya Nana beli di Village Grocer. 

Sebelum masuk cerita resepi, jom kita layan dulu sedikit perkongsian ilmu untuk santapan minda terutama di bulan Ramadhan yang mulia ini. Kuliah Zohor oleh Ustaz Dr Mohd Azmi Mat Shah dimulakan dengan kebesaran nilai berada dalam majlis ilmu di sisi Allah Taala. Sangat penting dan sangat besar dari segala amalan yang lain. Jalan untuk ke syurga sangat panjang dan sukar dan dikuatiri tak ada yang layak memasuki syurga. Tapi ada satu jalan yang mudah untuk ke syurga. Siapa yang melangkah kaki ke majlis ilmu yang merupakan taman syurga akan diberi ganjaran mudah ke syurga. Bergelut lah dengan segala majlis ilmu sebab itulah jalan menuju syurga yang Allah buka untuk kita. 

Majlis ilmu ni adalah untuk kita mengharap rahmat Allah dan supaya Allah memandang kita. Allah bagi 40-50 tahun untuk kita hidup di mana Allah bagi peluang untuk kita mendapatkan rahmat Allah. Hidup ini hanya untuk kita masuk syurga. Untuk masuk syurga, kita perlu mendapatkan rahmat Allah, lebih lebih lagi di bulan Ramadhan. 

Bulan Ramadhan adanya puasa dan bangun malam. Siang puasa malam qiam. Ibadah sunat di bulan Ramadhan adalah balasannya syurga. Jadi jangan mengambil mudah ibadah solat terawih seperti dengan memilih surau yang imam membaca surah pendek dan melakukan solat 8 rakaat sahaja. 

Nabi lebih suka surah yang complete bermula dari bacaan Bismillah hingga selesai walaupun pendek. Lebih dapat pahala. Bukan surah panjang yang tak ada Bismillah. Umpama memandu kereta Mercedez tapi tak ada aircond. Tak complete walaupun kereta mewah. Baca ikut urutan surah. 

Ramadhan bukan bulan untuk beramal tetapi bulan untuk melipat gandakan amalan. Beramal tu biasa di bulan biasa. Solat sunat dilipatgandakan. Sedekah dilipatganda. Membaca Al Quran dan sedekah serta zikir juga dilipatgandakan. 

Bukan sahaja membaca Al Quran tetapi juga bertadarrus yang merupakan sunnah Rasulullah. Ada yang baca dan ada yang menyemak bacaan. Jangan sesekali berpisah dengan Al Quran. Semua orang takut akan siksa kubur. Jadi kalau takut, amalkan lah membaca surah Al Mulk. Kalau tak mampu membacanya, boleh dengar bacaan surah Al Mulk dengan memasang bacaan surah tersebut.  Tak semestinya perlu membaca surah Al Mulk sebelum tidur. Lepas maghrib pun boleh baca. Amalan ini yang dapat menyelamatkan kita dari siksa kubur. 

Selain itu, di bulan Ramadhan ini, kita melakukan solat witir selepas solat Terawih. Tapi diharapkan amalan ini berterusan sehingga keluar Ramadhan. Rasulullah pesan pada Abu Hurairah, Jangan kamu tidur sebelum solat witir. Jadi kita jangan sesekali meninggalkan amalan solat witir sehingga kita mati. Allah suka sesuatu yang ganjil. 1 rakaat pun ok. 

Amalan sunat juga boleh dibuat dalam perjalanan. Contoh seperti melakukan solat sunat semasa memandu. Tak semestinya solat di surau. Solat fardhu jer tak boleh buat dalam kereta. 

Akhir sekali, dengan bulan Ramadhan yang berbaki beberapa hari lagi ini, kita sama sama memperbanyakkan berzikir. Rugi kalau diam sahaja terutama ketika di dalam kenderaan, apa lagi ketika terperangkap dalam kesesakan jalanraya. Banyakkan berzikir walau di mana sahaja hatta di dalam hati. Cukup setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.

Kari Ikan Merah

Saya sebenarnya baru belajar makan dan menyediakan kari ikan sejak berkahwin. Ianya bukan lauk yang saya makan sewaktu dulu. Semasa kecil di kampung, memang tak pernah melihat arwah Bonda memasak kari ikan. Jika ikan, mesti dimasak gulai lemak, singgang atau goreng sahaja. Hanya daging atau ayam yang dimasak kari. Jadi saya agak pelik bila melihat keluarga mertua menyediakan kari ikan dan mereka pula semuanya gemarkan kari ikan.

Walaupun sama sahaja dengan cara saya menyediakan kari ikan, namun saya masih membuat rujukan pada blog blog lain. Mana tahu kalau mereka ada teknik atau tips untuk menghasilkan kuah kari yang lebih sedap. Dengan erti kata lain, saya sentiasa mahu belajar dalam menyediakan masakan dan kuih muih.

Saya memasak hari ini sambil ditemani Mia. Mia membantu saya merekod untuk video. Lagi pula, Mama Mia, Datin Nursinah memang hebat juga dalam masakan terutama lauk lauk dan masakan utara. Sambil memasak, saya menanya Mia macam mana cara Mama Shina memasak. 

Hubby memang sangat suka makan kari ikan. Beliau dah menceduk bahagian kepala ikan ke dalam pinggan. Kari yang lebih disimpan dan dikeluarkan untuk hidangan semasa sahur. Seronok nampak Hubby makan nasi dengan kuah kari. Rasa kari yang lemak masam masam memang sedap sekali. 

Jom layan resepi yang telah saya olah dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...


Kari Ikan Merah

Kari Ikan Merah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan utama:
1 ekor ikan merah
2 paket kecil rempah kari ikan - 50 gram
1 sudu besar serbuk cili - guna 4 tangkai cili padi
1 sudu besar pes asam jawa 
3 pelepah daun kari
2 sudu kecil halba campur
1 pek santan
Minyak masak

Sayuran:
10 biji kacang bendi
2 biji tomato
2 biji cili hijau – dipatahkan 

Bahan tumbuk/hiris halus:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak yang agak banyak dan tumis halba campur, cili padi potong dan bahan tumbuk/hiris dengan api perlahan sehingga naik bau.

Kari Ikan Merah

Kari Ikan Merah

Masukkan rempah kari, daun kari dan kacau lagi. Kacau rata dengan cepat cepat supaya tidak hangit sehingga naik bau, baru dimasukkan sedikit air. 

Masak sehingga terbit minyak dan masukkan air lagi. Biarkan mendidih dan reneh sehingga bahan tumis pecah minyak  sekali lagi dan bagi memastikan rempah kari benar-benar masak.

Kari Ikan Merah

Setelah terbit minyak, masukkan air secukupnya dan biarkan mendidih sebelum dimasukkan santan. Kacau hingga kuah kari mendidih untuk pastikan santan tidak pecah minyak (terpisah dari kuah).  

Setelah mendidih, masukkan ikan, pes asam jawa, garam dan gula. Biarkan mendidih dan reneh sehingga kari masak.

Kari Ikan Merah

Kari Ikan Merah

Masukkan pula kacang bendi, tomato dan cili hijau yang dipatah patahkan, Masak sehingga kacang bendi menjadi empuk. Renihkan dengan api perlahan. Nota: Jika suka, boleh celur kacang bendi dengan air rebusan yang diletak sedikit minyak. Ianya akan lebih cantik.

Kari Ikan Merah

Tips Memasak Kari Ikan Agar Lebih Sedap: 
Gunakan kelapa parut ataupun santan segar. Asam jawa perlu diramas bersama dengan kelapa parut dan perah untuk mendapatkan santannya. Cara ini akan menjadikan kari lebih sedap dan menghilangkan hanyir ikan.

Untuk dapatkan kari yang lebih sedap, masaklah sehari sebelum dihidangkan sebab rasa rempah dan santan akan menjadi lebih sebati. Bila dipanaskan nanti, kuah kari akan menjadi lebih pekat dan lebih sedap.


Add your comment
EmoticonEmoticon