Khamis, 4 April 2019

Pengat Pisang Kebatu Dan Cerita Percutian

Pengat Pisang Kebatu

Insya Allah esok pagi saya akan berangkat ke London untuk bercuti di samping melawat anakanda saya Juita yang sangat sangat saya rindui. Sejak kemalangan yang menimpa saya November tahun lalu, saya tidak pergi ke mana mana kecuali ke Perlis atas urusan tertentu. Jadi sejak itu juga, saya agak stress dan sentiasa tidak sihat. 

Semalam semasa dalam perjalanan balik dari pejabat, tiba tiba saya ter imbau kenangan ketika sakit, ketika saya hilang upaya sebelah kaki untuk berjalan seperti biasa. Betapa sangat mahalnya rezeki dan nikmat memiliki anggota badan untuk membolehkan kita berjalan dan bergerak. Hidup terkurung selama berbulan menjadikan saya kehilangan jiwa dan semangat.

Pernah sekali ketika masih berkerusi roda, saya mengikut anak anak ke shopping mall. Ketika itu, hati sangat sedih bila saya memerlukan seseorang untuk menolak saya bergerak. Bila saya ditinggalkan di satu sudut, saya tidak dapat berbuat apa apa kecuali menunggu mereka datang untuk menolak saya ke lokasi lain. Jadi sementara kita diberi nikmat anggota badan, seharusnya kita bersyukur. 

Berbalik pada percutian, ianya sesuatu yang ditunggu dan sangat teruja dengan nya. Tapi sayang juga kerana banyak rintangan lain yang menjadikan hati saya sedikit terkilan. Walaupun rintangan kecil tapi tidak sedikit sebanyak, ianya mencalarkan percutian saya juga bulan bulan akhir perkhidmatan saya. Tinggalkan sesuatu yang elok elok dan manis untuk dikenang. Saya tidak mahu menyebutnya di sini secara detail tapi cukup dikatakan, saya tidak sabar lagi untuk bersara. Cukup di sini dahulu, sekarang kita masuk sedikit bab masakan. 

Pengat Pisang Kebatu

Saya merasa sangat bersyukur kerana saya menpunyai ramai kenalan dan sahabat alam maya yang menghargai apa yang saya lakukan selama ini, iaitu perkongsian resepi di blog. Ianya menjadikan hidup saya lebih ceria dan berwarna warni yang sangat indah. 

Malahan pisang yang saya gunakan hari ini iaitu pisang kebatu berwarna kuning dari Kelantan juga diberikan oleh Aza, seorang follower blog Azie Kitchen. Bukan sahaja 5 biji pisang yang bersaiz besar tetapi juga anak benih pokok pisang kebatu yang telah lama saya cari. Benih pisang ini hanya mudah ditemui di Kelantan. 


Saya memasak pengat ringkas sahaja kerana balik dari kerja, terus ke dapur. Cari biji sagu pun tak jumpa. Jadi pengat kosong kosong sahaja. Yang penting, ianya sangat lemak dan sedap sekali. Saya menggunakan 3 biji pisang sahaja untuk pengat dan lagi 2 biji saya rebus. Pisang kebatu rebus sangat terkenal sebagai makanan untuk sarapan di Kelantan. 

Pengat Pisang Kebatu

Jom layan cara saya menyediakan pengat pisang simple simple. Boleh klik video di SINI untuk melihat cara penyediaannya.


Pengat Pisang Kebatu

Pengat Pisang Kebatu

Bahan bahan:
3 biji pisang kebatu
1 kotak santan kotak
Air secukupnya
Daun pandan
Sagu - jika suka
1 keping gula Melaka
1-2 sudu besar gula pasir - ikut manis disukai
Sedikit garam

Cara cara:
Masukkan air ke dalam kuali atau periuk dan juga gula Melaka. Jika ada daun pandan, masukkan daun pandan. Masak sehingga gula Melaka hancur dan mendidih.

Masukkan santan dan kacau rata sehingga mendidih lagi. Masukkan pisang dan kacau rata.

Akhir sekali, masukkan gula dan garam. Sesuaikan rasa dan setelah pisang lembut dan masak, bolehlah diangkat.

Nota:
Jika masukkan sagu, saya akan masak sagu dengan air secukupnya sehingga biji sagu jernih. Toskan air di dalam bekas penapis. Lalukan di bawah air paip mengalir sambil dikacau untuk membuang sagu. Kemudian dimasukkan ke dalam kuah pengat. 




1 ulasan:

  1. sedap ni, dah lama x buat. kegemaran anak bujang saya.Moga Tuhan mudahkan urusan dan lindungi perjalanan supaya percutian kak Azie bersama keluarga bermakna.

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon