Rabu, 6 Mac 2019

Sup Kaki Lembu Yang Sangat Digemari

Sup Kaki Lembu

Sup kaki lembu adalah antara masakan tradisi masyarakat kampung saya yang sangat saya sukai. Selepas pemergian arwah ayah, saya agak jarang memakan sup kaki lembu yang mana kakinya dibakar sehingga kasut kaki lembu tertanggal. Bakar pula kulit sehingga betul betul hilang bulu di kulit lembut. 

Walaupun kerjanya akan renyah tapi berbaloi baloi kerana rasanya sangat sedap. Anak saudara dari kampung mengirimkan dua batang kaki lembu. Kebiasaannya kaki lembu yang berkasut itu tidak dihantar sekali. Tapi kali ini dihantar. Jadi saya sangat lah teringin nak makan daging bahagian kaki. 

Hubby membakar menggunakan dapur gas di rumah kami. Habis satu rumah berbau bila dibakar kaki lembu. Dan yang tak tahannya, habuk kesan dibakar masuk ke dalam lubang dapur gas hingga tersumbat. Kalau di kampung, ianya dibakar di luar rumah. Jadi tak adalah bersepah seperti yang terjadi pada dapur kami. 

Sup Kaki Lembu

Kalau kaki lembu, masakan paling sedap tentulah sup. Serious berbaloi baloi. Bagi yang tidak pernah makan daging di bahagian bawah kasut lembu tu, memang saya cadangkan anda mencubanya. Lembut lembut dan rasa daging yang seolah bersalai tu, aduhaaai sangat sedap.   

Jom layan resepi yang saya gunakan di bawah ini. Resepi biasa biasa sahaja. Kalau menggunakan daging bahagian kaki yang dah berlemak ini, elok masak sup yang simple sahaja.


Sup Kaki Lembu

Sup Kaki Lembu
Oleh: Azie Kitchen 

Bahan bahan:
1 batang kaki lembu
1-2 inci halia
Garam
Daun sup
2-3 tangkai cili padi
1 biji limau nipis
Bawang goreng

Bahan tumis:
1 sup bunjut
1 sudu besar serbuk rempah sup
4 ulas bawang merah - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
Kulit kayu manis, bunga lawang

Cara cara:
Bakar kaki lembu sehingga kulitnya tertanggal dan bulu di kulit hangus. Kikis sehingga hilang kesan hangus.

Rebus kaki tadi bersama tulang kaki lembu yang lain. Masukkan halia yang dihiris kasar dan rebus sehingga tulang empuk. Saya guna pressure cooker dalam 45 minit.

Menggunakan kuali lain, panaskan minyak dan tumis bahan tumis sehingga wangi. Kemudian dituang ke dalam kuah rebusan tulang kaki tadi.

Masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya. Akhir sekali taburkan daun sup dan bawang goreng. Ketika dihidangkan, tabur cili padi dan perah limau nipis. Sedia untuk dinikmati.  


Add your comment
EmoticonEmoticon