Selasa, 5 Mac 2019

Gulai Ayam Hutan dan Nostalgia Zaman Di Kampung

Gulai Ayam Hutan

Telah lama saya tidak update blog kerana saya tidak berapa sihat. Demam kerana rajin berpanas di kebun. Orang lain berkebun awal pagi atau petang. Tapi kami berkebun di bawah sinaran matahari yang panas terik. Seperti yang saya tulis dalam entri sebelum ini, saya memang minat bercucuk tanam. 

Saya telah membeli berpuluh benih anak pokok buah buahan untuk ditanam di tanah kami di Sg Buloh. Antara pokok yang ditanam ialah durian musang king, durian monthong, durian duri hitam, cempedak nangka, cempedak madu, nangka mastura, nangka madu. Ada juga dokong, manggis mesta, petai papan serta 4 jenis pokok rambutan. Manakala pokok sampingan ialah pokok ciku, durian Belanda, mangga dan pokok gajus. 

Bercakap pasal pokok gajus, pokok ini memang banyak meninggalkan nostalgia waktu kecil saya di kampung. Kami tidak punya pokok gajus. Tetapi kami akan mengutip buah gajus yang jatuh berguguran di bawah pokok. Jika buah gajus yang masak, saya akan makan begitu sahaja. Ada ketika arwah Bonda saya menyediakan buah gajus masak lemak putih. 

Saya pula akan mengambil hanya biji gajus untuk dibakar dan dimakan isi biji gajus. Proses membakar sangat remeh. Dibakar sehingga kulitnya menjadi hitam seperti arang. Setelah masak, akan dimasukkan tanah pasir ke dalam bekas gajus tadi untuk menyejukkannya. Setelah sejuk, biji gajus yang hitam akan diketuk dengan perlahan lahan bagi mengeluarkan kacang gajus. Di kebanyakan masa ianya akan pecah berderai. Jadi sambil diketuk, sambil terus dimakan. 

Haaa begitulah susahnya untuk menikmati isi kacang gajus. Tapi kini cukup senang kerana dah mampu untuk beli kacang gajus yang siap di pack samada gajus masin atau gajus madu dan sebagainya. Tinggal bayar jer. Ada duit, semua boleh makan.

Walaupun kini, saya mampu hidup senang, namun saya tidak pernah sesekali melupakan kenangan masa lalu. Walaupun kami tidak tergolong dalam kategori miskin tapi kami tidak lah kaya. Sekadar cukup makan pakai sahaja kerana kebanyakan sumber makanan adalah dari hasil tanaman sendiri. 

Berbudi kepada tanah, memang tidak rugi. Dari padi yang ditanam sehinggalah sayuran. Manakala lauk pauk seperti ikan sungai dan udang juga ditangkap sendiri di sungai berdekatan rumah. Ayam dan telur itik juga diambil dari reban sendiri. Hanya ikan laut sahaja yang perlu dibeli. Itu lah sedikit catatan kenangan masa kecil dan remaja saya yang sangat indah. Sekarang kita masuk bab masakan pula. 

Gulai Ayam Hutan

Saya kenal ayam hutan sejak kecil lagi. Cuma jarang lah berkesempatan untuk menikmatinya. Puas hati kerana akhirnya dapat makan ayam hutan yang dagingnya lebih gelap dan kenyal. Rasa isinya ala ala daging burung juga. Isi ayam ni tak banyak macam ayam biasa, jadi makan seolah diratah sahaja. Bukan boleh dicubit isi dan makan dengan nasi seperti makan ayam bandar.

Jom layan resepi di bawah ini. Selamat mencuba...


Gulai Ayam Hutan

Gulai Ayam Hutan

Bahan bahan:
2 ekor ayam hutan
3 sudu besar rempah kari kampung cap jam
1 biji kelapa parut - santan
Kayu manis, bunga lawang
4 ulas bawang merah - hiris
Garam
Gula
Asam jawa

Bahan kisar;
3 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang merah kayu manis, bunga lawang, bawang merah hiris dan bahan kisar sehingga naik bau. 

Tuangkan rempah kari serbuk dan kacau rata sehingga naik bau dan tuang sedikit air. Kacau rata dan biarkan sehingga terbit minyak.

Setelah terbit minyak, masukkan ayam dan tambah air untuk masak sehingga ayam empuk. Setelah ayam empuk, baru dituangkan santan.

Gulai Ayam Hutan

Gulai Ayam Hutan

Setelah mendidih, masukkan air asam jawa, garam dan gula. Perlahankan api dan renih sehingga kuah benar benar cantik. Sesuaikan rasa. Bolehlah diangkat.


2 ulasan:

  1. Suka Cuba resepi kak azie. Suka jugak baca perkongsian rohani yg selalu dimuatkan sebagai nasihat untuk kita

    BalasPadam
  2. Suka Cuba resepi kak azie dan perkongsian rohani sebagai nasihat

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon