Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Nasi Lemak Kukus Di Cuti Tahun Baru Cina

Nasi Lemak Kuku

Sempena cuti Tahun Baru Cina, Hubby meminta saya menyediakan nasi lemak untuk sarapan. Maklumlah waktu cuti tahun baru seperti ini, banyak kedai tutup kerana ramai yang balik kampung dek cuti yang panjang. 

Kami pergi minum petang di Restoran Wau juga terpaksa order lempeng sahaja kerana semua kuih muih telah habis. Dari situ, kami berjalan ke The Village Grocer dengan Nelly, Boy dan Mia untuk mencari bahan untuk memasak nasi lemak. Seronok pula kerana tiada sesak, untuk mencari parking pun lebih mudah.

Nasi Lemak Kuku

Kami tidak ke mana mana, hanya tinggal di rumah sahaja kerana anak anak semua ada di rumah kecuali Nana dan Juita. Lagi pulak, saya memang tidak mahu bercuti saat cuti perayaan kerana jalan raya pastinya penuh sesak. Banyak masa akan terbuang di atas jalan raya. 

Sebetulnya sejak cucunda saya Ammar berpindah ke rumah mereka sendiri, saya belum lagi memasak. Saya seperti kemurungan dan tiada mood untuk memasak. Saya sedih bila mengingatkan Ammar yang dulu sentiasa ada di dapur menemani saya. Lagi pula, saya telah mula bekerja, menjadikan saya sangat kepenatan. Banyak projek dan tugasan yang perlu disiapkan. 

Hari ini saya masih menggunakan resepi nasi lemak kukus menggunakan daun salam yang memang sangat sedap. Boleh klik di SINI untuk langkah demi langkah bergambar. Kaedah seperti yang saya gunakan ini menjadikan nasi lemak lebih berlemak kerana santan betul betul menyerap pada nasi berbanding dengan nasi lemak yang dimasak menggunakan periuk letrik yang mana santan akan timbul di permukaan. 

Manakala sambal tumis pula, masih menggunakan sambal yang saya kongsikan sebelum ini di SINI. Sambal mudah tetapi sangat sedap. Yang membezakan ialah teknik dan kaedah memasaknya sahaja. Memasak sambal kena banyak bersabar dan bertabah. Barulah ianya menghasilkan sambal yang sedap. Saya suka menyediakan sambal nasi lemak kosong jika untuk dimakan dengan nasi lemak. Tetapi Nelly meminta saya menyediakan sambal tumis ikan bilis. Tak mahu sambal semata mata. Maka itulah terhasilnya sambal tumis ikan bilis,



Seperti biasa, saya sangat suka set nasi lemak yang dimakan dengan ikan bilis yang digoreng rangup. Saya kongsikan petua di bawah ini untuk menghasilkan ikan bilis yang rangup dan sedap. 

Selain ikan bilis goreng dan timun, yang pasti adalah telur. Saya sertakan cara dan teknik menyediakan telur mata dan telur rebus yang juga sangat sedap. Telur rebus cara di bawah akan menjadikan telur kuning masih lembab dan lebih sedap serta tidak terlebih masak. Begitu juga dengan telur mata. 

Oleh kerana anak anak suka makan ayam, saya goreng juga ayam. Goreng biasa biasa sahaja. Goreng garam kunyit. Selamat mencuba resepi resepi yang saya kongsikan di bawah ini ya..


Nasi Lemak Kuku

Sambal Tumis Ikan Bilis
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
150 gram/1 ½ mangkuk ikan bilis
2 biji bawang besar  - hiris
1 sudu besar asam jawa - bancuh dengan 1 cawan air
1 sudu besar garam kasar
½ keping gula Melaka
1 sudu besar gula pasir
¾ cawan minyak masak 

Bahan kisar:
8-9 sudu besar cili kisar 
12 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih - opsyenal
Sedikit belacan - opsyenal, tak letak 

Cara cara:
Panaskan minyak yang agak banyak dan masukkan ikan bilis dan kacau seketika sehingga agak agak ikan bilis layu. 

Tuangkan bahan kisar. Masak lama lama dengan api perlahan sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak.

Nasi Lemak Kuku

Masukkan air asam jawa, garam dan gula Melaka. Kacau lagi.

Nasi Lemak Kuku

Masukkan pula bawang besar hiris dan kacau hingga bawang layu. 

Nasi Lemak Kuku

Akhir sekali, masukkan gula dan perlahankan api. Renihkan sambal sehingga benar benar cantik berkilat dan terbit minyak. Bolehlah ditutup api. 

Nasi Lemak Kuku

Gula akan menjadikan sambal lebih berkilat. Jadi dimasukkan akhir sekali.


Nasi Lemak Kuku

Nasi Lemak Kukus Azie Kitchen

Bahan bahan:
4 cawan beras Basmathi 
1 biji kelapa parut - santan
1 sudu kecil garam kasar
4 helai daun salam
Sedikit minyak masak - jika guna santan kotak

Cara cara:
Basuh bersih beras dan ditos. Masukkan santan secukupnya seperti mana sukatan air kita memasak nasi biasa.

Masukkan daun salam dan garam. Kacau rata di dalam kuali sehingga santan bergaul rata dengan nasi. 

Nasi Lemak Kuku

Terus kacau dengan perlahan supaya beras tidak patah sehingga santan kering.

Panaskan pengukus sehingga air mendidih. Ceduk nasi ke dalam pengukus. Tutup penutup pengukus dan kukuslah sehingga nasi masak. 

Setelah masak, kacau rata dengan berhati hati supaya nasi tidak patah dan kekal cantik. Sedia untuk dihidangkan dengan set nasi lemak.   


Nasi Lemak Kuku

Petua Menggoreng Ikan Bilis:
Petua untuk menggoreng ikan bilis supaya garing dan rangup ialah dengan memilih ikan bilis yang berkualiti iaitu ikan bilis yang berwarna lebih terang. Ikan bilis mestilah dikeringkan betul betul sebelum digoreng. Ikan bilis hanya dibasuh manja sejurus sebelum dimasak sahaja. 

Pastikan minyak telah betul betul panas sebelum dimasukkan ikan bilis. Ketika menggoreng, perlahankan api untuk mengelakkan ikan bilis cepat hangus. 

Masukkan ikan bilis yang sudah digoreng dalam bekas kedap udara. Tutup bekas dengan segera untuk elak ikan bilis dimasuki angin dan kurang rangup. Elak guna sudu yang basah sewaktu mengambil ikan bilis kerana ia boleh mengurangkan kerangupan ikan bilis.



Nasi Lemak Kuku

Petua Menggoreng Telur Mata:
Guna kuali kecil yang melengkuk ke dalam. Telur putih akan membaluti telur kuning dan tak merebak ikut saiz kuali. Minyak kena lebih supaya ianya tenggelam rata. Pecahkan telur dalam mangkuk kecil dahulu. 

Bila permukaan keliling putih telur dah garing sedikit, dah boleh angkat. Tos  bagi minyak meleleh jatuh sebelum diletak ke dalam pinggan. Sebaiknya guna telur saiz D atau E. Pastikan telur kuning separa cair, baru sedap. 


Petua Merebus Telur:
Masukkan telur yang telah dibersihkan ke dalam periuk dan isikan air dalam 1-2 inci dari permukaan telur. Nyalakan api dan masak sehingga hampir mendidih. 

Sebaik mendidih, terus perlahankan api supaya air hanya mendidih kecil. Tutup periuk dan masak dalam 6-8 minit. Tutup api. Tuang api panas dan masukkan air paip bagi menghentikan telur dari terus masak. 


Catat Ulasan for "Nasi Lemak Kukus Di Cuti Tahun Baru Cina"