Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Masak Lemak Pucuk Manis dengan Ubi Keledek

Masak Lemak Pucuk Manis dengan Ubi Keledek

Seperti yang saya tulis sebelum ini, saya akan bersara dalam masa beberapa bulan sahaja lagi. Dari awal, memang saya tidak bercadang untuk memilih umur persaraan pada 60 tahun. Maklumlah bila umur melebihi 50 tahun, kubur telah mula memanggil manggil dan rumah telah mula menghalau. Amalan juga tidak banyak. 

Saya berniat ikhlas menegur, jangan pula ada yang terasa hati. Setiap orang perlu bersara mengikut masa yang ditetapkan. Persaraan bagi sebuah kehidupan adalah kematian. Jadi kenapa bila dah tiba umur untuk bersara, masih lagi mahu meneruskan perkhidmatan? Seolah kita telah masuk kubur dan memohon untuk kembali ke dunia untuk beribadah. 

Tak usah memberi alasan kerana boss mohon supaya perkhidmatan dilanjutkan. Alasan basi. Apakah dengan ketiadaan kita, tiada orang lain yang boleh mengambil alih. Adakah boss boleh membantu kita di akhirat kelak? Atau memberi alasan masih perlu bekerja kerana masih ada anak yang kecil. Setiap anak didatangkan dengan rezeki masing masing. Tak perlulah risau.

Jika dengan terus berkhidmat, kita membuat sebanyak banyaknya pahala, maka wajib kita meneruskan. Tapi kalau dengan adanya kita dalam perkhidmatan, mulut laser tidak berkurang, mengumpat dan menyakiti orang lain dengan lidah dan kuasa. Apalagi keputusan yang dibuat secara tidak langsung menimbulkan ketidakadilan dan penganiayaan pada staf bawahan. 

Jangan sesekali kita berfikir kita berpangkat tinggi, kerana kita lebih bijak pandai dari orang lain. Tidak sesekali. Sebaliknya kerana Allah yang mengurniakan dengan bertujuan untuk menguji. Allah uji dengan pangkat dan kuasa untuk melihat bagaimana kita menggunakannya.

Kalau lah begini situasinya, setiap hari membawa balik dosa dalam buku catatan, maka lebih baiklah bersara dan habiskan masa dengan menghadiri majlis majlis ilmu. Habiskan masa di rumah dengan anak cucu, jika telah menpunyai cucu. Hahaha minta ampun, saya hanya menulis apa yang saya rasa betul. Terpanggil menulis selepas bekas boss saya banyak kali mengingatkan saya akan perlunya untuk bersara bila tiba masa bersara. Setakat ini dahulu...


Masak Lemak Pucuk Manis dengan Ubi Keledek

Hari ini sebetulnya tersalah ambil ubi keledek warna purple, jadi warna kuah juga berubah menjadi warna ungu juga. Kalau warna oren lebih sesuai untuk dijadikan masak lemak. Apa apa pun rasanya tetap sedap dan tetap lemak. Makan dengan nasi putih panas panas, ikan kering dan sambal belacan, sudah meletop. Haa tak percaya, boleh cuba di rumah masing masing.

Jom layan resepi masak lemak pucuk manis dengan ubi keledek di bawah ini. Ianya berbeza dengan cara biasa saya menyediakan masak lemak. Hari ini saya ikut cara pembantu rumah Nana di mana digunakan juga bawang putih. 


Masak Lemak Pucuk Manis dengan Ubi Keledek

Masak Lemak Pucuk Manis Dengan Keledek

Bahan bahan:
1-2 ikat pucuk manis
1/2 biji ubi keledek
Santan
1/2 biji bawang besar - hiris
2 ulas bawang putih - hiris
Ikan bilis
Garam

Cara cara:
Masak santan cair dengan bawang dan ikan bilis sehingga mendidih. 

Masak Lemak Pucuk Manis dengan Ubi Keledek

Masukkan ubi keledek dan masak sehingga hampir empuk. 

Masak Lemak Pucuk Manis dengan Ubi Keledek

Masukkan pucuk manis dan masak lagi sehingga ubi keledek empuk dan pucuk manis lembut. 

Masak Lemak Pucuk Manis dengan Ubi Keledek

Masak Lemak Pucuk Manis dengan Ubi Keledek

Akhir sekali, tuang santan pekat dan masukkan garam secukupnya. Kacau rata supaya tidak pecah minyak sehingga mendidih dan tutup api. 


Catat Ulasan for "Masak Lemak Pucuk Manis dengan Ubi Keledek"