Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Mee Goreng Azie Kitchen Versi Dengan Telur

Mee Goreng Azie Kitchen Versi Dengan Telur

Mee goreng adalah antara makanan yang digemari oleh suami dan anak anak saya. Jadi bila semua suka makan, saya lebih kerap menyediakannya lebih lebih lagi bila tiada selera untuk makan nasi. Lagi pulak, cukup susah untuk mencari mee goreng sedap yang kena dengan selera saya yang dijual di restoran restoran atau kedai makan. 

Kebelakangan ini, saya kurang selera makan. Tengahari, rakan sekerja datang menziarah. Hubby beli pizza untuk hidangan tetamu. Selepas mereka balik, saya menjamah sekeping sahaja pizza. Itu pun makan dengan tidak berselera. Selepas itu, saya terus masuk bilik dan tidur seketika.


Sebelah petang, saya masuk ke dapur untuk menyediakan mee goreng. Kali ini, saya membuat sedikit kelainan dari mee biasa  yang saya selalu goreng. Alhamdulillah kerana mee goreng yang terhasil menjadi dengan sedap. Walla sedap sangat mee goreng hari ini sehingga saya menambah nambah. 

Mee Goreng Azie Kitchen Versi Dengan Telur

Kebiasaannya bila menggoreng mee atau mee hoon, antara bahan wajib ialah kicap. Tetapi sebab Nana tak makan kicap, saya terpaksa tidak memasukkan kicap. Jadi warnanya agak cerah. Tapi saya syorkan anda meletakkan kicap kerana selain lebih sedap, warna mee juga lebih cantik. 

Saya guna udang juga sedikit. Sekadar syarat sahaja bagi memberi sedikit rasa. Saya memang tak boleh makan udang, alamak gatal menggaru garu. Jika anda tiada masalah dengan makanan laut, letak lah banyak. Lagi sedap.

Sambil berbincang mengenai renovation rumah, kami hidangkan sekali mee goreng ini pada Syanid yang kami panggil sebagai Nid. Oleh kerana saya rasa sedap, tak segan lah untuk hidangkan.  

Jom layan resepi yang saya salin di bawah ini dan juga video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Jom pakat cuba resepi mee goreng di bawah ini. 


Mee Goreng Azie Kitchen Versi Dengan Telur

Mee Goreng Azie Kitchen

Bahan bahan:
2 paket mee kuning
7 ulas bawang putih - guna 2 sudu besar bawang cincang
2-3 ulas bawang merah - tumbuk kasar
3 sudu besar cili kering kisar
5-6 ekor udang - lagi banyak lagi sedap 
3-4 biji telur
1-2 ikat sayur kangkung
1 mangkuk taugeh - jika suka
Gula
Garam

Bahan sos:
Kicap pekat - tak letak
Kicap cair - tak letak
1-2 sudu besar sos tiram
2-3 sudu besar sos tomato
Sedikit minyak bijan

Bahan hiasan:
Daun sup/daun bawang
Cili merah - hiris

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi. Masukkan cili kisar dan tumis dengan api perlahan hingga cili benar benar masak dan terbit minyak. 

Mee Goreng Azie Kitchen Versi Dengan Telur

Masukkan sedikit air dan tumis lagi sehingga bahan tumisan kering dan terbit minyak sekali lagi. Ianya bagi memastikan cili kisar benar benar masak.

Masukkan udang. Kacau rata. Nota: Jika gunakan daging, masukkan air untuk empukkan daging. 

Mee Goreng Azie Kitchen Versi Dengan Telur

Masukkan bahan sos dan garam. Kacau rata. Tolak bahan tumisan ke tepi kuali. Pecahkan telur dan biarkan telur sedikit mengeras, baru dikacau rata sebab saya suka telur yang berketul besar besar. 

Mee Goreng Azie Kitchen Versi Dengan Telur

Masukkan mee kuning dan kacau rata. Tuang sedikit air untuk memastikan mee cukup lembutnya. 

Setelah mee lembut, baru dimasukkan sayur kangkung dan taugeh, jika suka. Sesuaikan rasa. Jika suka, boleh tambah lagi sos tomato atau garam ketika ini.

Mee Goreng Azie Kitchen Versi Dengan Telur

Kacau rata sehingga mee sedikit terbit minyak, bukan basah seolah tidak bergoreng rata. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan. 

Sebelum dihidangkan, tabur daun bawang dan cili merah. Nota: saya suka perah air limau nipis sebelum dinikmati. 


1 ulasan for "Mee Goreng Azie Kitchen Versi Dengan Telur"