Isnin, 5 November 2018

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi

Teringat masa zaman sekolah di kampung dulu. Kalau petang mesti pergi cari pisang goreng. Sangat sedap pisang goreng tersebut, rasanya sehingga kini, itulah pisang goreng yang paling sedap. Zaman dulu, mana ada makanan lain seperti karipap, donut dll. Tak kenal langsung pun. Itu sebab sehingga sekarang, saya tidak lah berapa gemar makan karipap. 

Kalau karipap sardin, memang makan lah kerana dari zaman sekolah, selalu kumpul duit belanja untuk beli satu tin sardin untuk dibuat sandwich. Bawa ke sekolah untuk hari parti iaitu hari terakhir persekolahan sebelum cuti panjang. Bawa sebotol air oren, kira dah hebat sangat lah masa tu.

Berbalik pada pisang goreng yang saya tulis kat atas itu, ianya dijual oleh kakak sepupu saya yang dipanggil Kak Rghodah di Kampung Tangok. Walaupun masa tu, saya masih di bangku sekolah menengah rendah, tapi dah pandai merisik resepi. Masih ingat apa yang diajar ialah adunan tepung pisang goreng dibancuh tepung beras bersama serbuk kunyit, garam dan yang paling istimewa penggunaan kelapa parut dan telur. 

Sebetulnya walaupun saya menyimpan resepi bahan bahan yang digunakan tetapi saya tidak pernah mencubanya kerana setiap kali mahu menyediakan pisang goreng, kelapa parut pula tak ada di rumah. Akhirnya guna resepi biasa seperti yang saya gunakan hari ini.  

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi

Pisang goreng saya hari ini, sangat laku. Bila saya nak mengulang makan, tengok pinggan dah licin. Sekejap jer habis sesikat pisang. Saya memang suka pisang raja goreng. Nama pun pisang raja. Ala ala ekslusif dan memang tak jumpa orang berjual pisang goreng menggunakan pisang raja. Kalau nak makan, memang kena goreng sendiri. Klik di SINI untuk entri pisang raja goreng saya sebelum ini.

Saya makan pisang raja goreng ketika berkunjung ke Johor Bahru. Setiap kali ke sana, kami memang akan singgah makan pisang goreng Mawar yang berdekatan dengan Thistle Hotel. Tapi kalau untuk pisang raja, kita kena membuat order terlebih dahulu. Tidak ada yang ready made. 

Yang ready made hanya pisang nipah dan pisang abu. Selain pisang raja, pisang nipah pun antara pisang kegemaran saya untuk pisang goreng. Pisang raja yang masak menjadikan pisang goreng bertambah sedap dan manis.

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi

Hahaha nampak ada kesan hitam hitam pada pisang goreng saya. Ianya bukan kesan hangit tapi pisang raja akan mengeluarkan cairan gula yang manis terutama pisang yang dah masak ranum. Maka, jadilah kesan hitam bila gula kena dengan minyak panas. Jom layan resepi dan video penyediaannya di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba..

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi
Pisang Raja Goreng Rangup

Bahan bahan:
1 sikat pisang raja
Tepung beras
Sedikit serbuk kunyit
Sedikit garam halus
1 sudu besar air kapur sireh

Cara cara:
Satukan semua bahan untuk adunan tepung dan tuangkan air secukupnya. Pastikan adunan tidak terlalu cair atau tidak terlalu pekat. Air kapur sireh, ambil bahagian air di permukaan atas. Lihat gambar di bawah.

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi

Pisang dibuang kulit dan masukkan ke dalam mangkuk adunan tepung. Golek golek rata.

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi

Panaskan minyak di dalam kuali sehingga benar benar panas. Masukkan pisang yang telah dicelup tepung tadi ke dalam kuali. 

Goreng sehingga garing sebelum diterbalikkan ke sebelah lagi. Goreng sehingga kedua dua permukaan masak dan garing serta berwarna kekuningan emas.

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi

Angkat dan lapik atas tisu dapur untuk menyerap minyak. Sedia untuk dihidangkan panas panas.

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi

Pisang Raja Goreng Rangup Buat Sarapan pagi


6 ulasan:

  1. Pisang raja memang sesuai dan sedap dibuat goreng pisang.

    BalasPadam
  2. Aduhaii. . Tengok caramel yg terhasil apabila pisang raja digoreng, kecur pulak kita dibuatnya. Kak Azie makan goreng pisang Mawar tu, cicah dengan sambal kicap tak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul sedap bahagian yang ada air gula tu

      Padam
  3. orang Johor mesti makan pisang goreng cicah dgn lada kicap....dan teh o panas...berpeluh2 makan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. I orang Kelantan, makan kosong jer

      Padam

Add your comment
EmoticonEmoticon