Selasa, 30 Oktober 2018

Sambal Hati Ayam Goreng

Sambal Hati Ayam Goreng

Zaman kanak kanak dan remaja di kampung dulu, dapat makan ayam adalah suatu yang dikira sangat mewah. Untuk makan ayam, perlu melalui proses yang sangat lama. Untuk dapat menyembelih sekor ayam, perlu menunggu masa yang lama untuk ayam besar, perlu mengejar untuk menangkap ayam, perlu merebus air untuk dicelur ayam yang telah disembelih, perlu mencabut bulu ayam, perlu disiang ayam dan akhir sekali, dimasak dan dimakan. 

Ayam hanya dimasak kari atau dipanggil sebagai gulai ayam sahaja atau ayam digoreng dalam saiz kecil setelah dilumur dengan garam kasar yang ditumbuk dengan kunyit hidup. Tiada serbuk kunyit atau garam halus di rumah saya. Itu sahaja lauk kami yang berasaskan ayam. Tiada lah ayam masak merah, ayam rendang dsb. 

Ketika itu, bila melihat gambar gambar masakan dalam majalah, mulalah timbul keazaman mendalam untuk pandai memasak. Sejak itu, saya mula berminat mengumpul resepi atas dasar minat untuk pandai memasak pelbagai jenis masakan seperti yang saya tengok dalam majalah.   

Sambal Hati Ayam Goreng

Berbalik pada lauk ayam, setiap kali arwah Bonda memasak gulai ayam, bahagian yang akan menjadi pilihan saya ialah paha dan hati ayam. Hati ayam yang dimasak gulai ayam terasa sangat sedap pada saya. Cuma bila dah berumur dan dah ada sedikit ilmu berkenaan kolesterol, saya dah mengurangkan makan bahagian organ dalaman. 

Hari ini saya menyediakan sambal hati ayam goreng selepas kawan Encik Hubby memberikan lidah lembu dan hati ayam kepada dia. Jadi kerana tak mahu membazir atau membuang nya begitu sahaja, saya dengan dibantu oleh pengasuh cucunda saya telah setuju untuk memasak sambal hati ayam goreng. Sangat sedap walaupun saya hanya menjamah sedikit sahaja.

Jom layan resepi di bawah ini dan jangan lupa subscribe Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba...


Sambal Hati Ayam Goreng

Sambal Hati Ayam Goreng

Bahan bahan:
Hati ayam
2 sudu besar cili kisar
1/2 tangkai cili merah - hiris
1/2 tangkai cili hijau - hiris
Garam
Gula

Bahan hiris
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 biji bawang besar

Cara cara:
Hati ayam dilumur dengan garam dan serbuk kunyit. Masukkan dalam kuali dengan sedikit air dan rebus sehingga masak. Angkat dan tos. 

Panaskan minyak dan goreng hati ayam yang direbus tadi sehingga masak dan keperangan. Angkat dan tos.

Sambal Hati Ayam Goreng

Sambal Hati Ayam Goreng

Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan kacau sehingga cili masak. 

Masukkan hati ayam yang telah digoreng dan kacau rata. Masukkan garam dan gula secukupnya. 

Akhir sekali, taburkan bawang besar, cili merah dan cili hijau yang dihiris. Kacau rata dan bolehlah ditutup api. Siap. 

Sambal Hati Ayam Goreng


1 ulasan:

  1. wow, sedapnya. Mudah je resepi ni kan. Memang senang nak masak.

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon