Khamis, 23 Ogos 2018

Rendang Pedas Ayam Bonda Mertua Buat Juadah Hari Raya Aidil Adha


Resepi Rendang Ayam Pedas Perak Bonda Mertua ini agak unik dan tidak sama dengan rendang yang dijual di restoran restoran atau kedai makan. Ianya dimasak kering untuk dimakan dengan lemang. Memang sedap. Kelainannya ialah kerana ianya dimasukkan kelapa parut yang digoreng kekuningan dan ditumbuk manja manja ketika rendang hampir kering. 

Bila dipanaskan di atas dapur, semerbak bau nya sehingga ke bilik saya di tingkat atas. Aduhaai memang mencabar. Rasanya nak turun makan jer walaupun masih kekenyangan. Lagi lama dipanaskan lagi kering dan sedap. 

Walaupun rendang saya ini belum menghasilkan rendang yang sama dengan apa yang disediakan arwah Bonda Mertua, tapi adalah rasanya sikit sikit yang sama. Rendang ini jenis kering, jadi jangan ada pulak yang komen kering dsb. Jika anda suka basah, jangan masak sehingga kering. Agak agak cukup kering yang disukai, tutup api. Rendang kering berserdak seperti ini sedap dicicah dengan lemang.


Klik di SINI untuk entri resepi yang sama sebelum ini. Terdapat gambar langkah demi langkah juga. Memasak rendang ini kena sabar sebab semua bahan perlu dihiris nipis nipis. Jika dikisar halus, tekstur rendang menjadi berbeza. 

Oleh kerana ianya dimasak kering, juga kena sabar ketika memanas dan mengacaunya di atas dapur supaya ayam tidak hancur. Guna teknik mengacau yang betul. Api dapur pula mesti guna api yang paling kecil sahaja supaya rendang tidak hangit. 

Jom layan resepi di bawah ini. Saya tak buat video baru kerana telah ada di youtube sebelum ini di SINI. Selamat mencuba...



Rendang Pedas Ayam Bonda Mertua

Bahan-bahan:
2 ekor ayam - dipotong 14
1 kg santan segar
2 cawan kelapa parut 
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 keping asam keping
1 sudu besar garam kasar - membukit
1 sudu besar gula pasir atau secukup rasa

Bahan kisar:
8 sudu besar cili kisar, ikut pedas disukai
2 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup

Bahan hiris:
8 batang serai 
2 inci halia 
15 ulas bawang merah - guna yang saiz besar
10 ulas bawang putih
2 helai daun kunyit

Cara cara:
Masukkan ayam yang dicuci bersih ke dalam kuali. Masukkan bahan hiris dan bahan kisar ke dalam kuali. Kacau rata. 


Nyalakan api dan masak seketika agak agak air ayam kering sedikit. Tuangkan santan dan masak dengan api sederhana sehingga kuah hampir kering. Api jangan besar, lagi baik kalau guna api kecil. 

Kacau sekali sekala supaya ianya tidak hangus dan melekat di bahagian bawah kuali. Tapi kena berhati hati supaya isi ayam tidak hancur. Nota: teknik mengacau sangat penting. Jangan kacau bahagian ayam, cuma dikacau di bahagian bawah kuali sahaja supaya ianya tidak hangit. 


Sementara itu, goreng kelapa parut sehingga keperangan dan tumbuk atau kisar kasar kasar sahaja. 


Setelah kuahnya kering, tabur hirisan daun kunyit dan bolehlah ditutup api. Lagi lama atas dapur, rendang akan menjadi lebih kering, tidak kelihatan basah dan lebih sedap.  


Nota:
Boleh tambah cili kisar mengikut kepedasan yang diingini ketika rendang sedang dimasak di atas dapur. 

Jika mahu lebih sedap, biarkan rendang lama lama di atas dapur dengan api kecil sehingga rendang tidak lagi kelihatan basah. Minyak akan kering dan menyerap semula pada ayam.


Jika suka berkuah, tak perlulah dikeringkan kuahnya.



Add your comment
EmoticonEmoticon