Sunday, 1 July 2018

Rendang Ayam Cili Padi Yang Sedap

Rendang Ayam Cili Padi Yang Sedap

Manusia hanya mampu merancang tapi Allah yang menentukan. Banyak undangan majlis perkahwinan dan majlis rumah terbuka semalam dan hari ini tidak dapat saya hadiri kerana saya demam dan selsema yang agak teruk. 

Selepas majlis rumah terbuka Bank tempat saya bekerja hari Jumaat lalu, saya telah merasa tidak sedap badan bila saya mula bersin dan hidung mula berair. Balik rumah cepat cepat mengambil panadol dan ubat sakit tekak. Tapi nampak tidak dapat mencegah saya dari terus demam. 

Rendang Ayam Cili Padi Yang Sedap

Ingat hari ini hendak ke majlis rumah terbuka Datin Rafidah, tapi badan rasa ringan melayang sahaja. Jadi sebelum apa apa yang tidak diingini, saya memutuskan untuk tidak ke mana mana. Jadi mahu tidak mahu saya terpaksa ke dapur memasak yang ringkas ringkas untuk makan tengahari saya, suami, Juita dan Aween. 

Resepi saya hari ini adalah Rendang Cili Padi yang dimakan dengan lemang periuk kera dan juga nasi impit. Ya lah masih dalam suasana raya kan... Telah bertahun saya meminta resepi rendang ayam cili padi dari Ali, rakan sekerja. Ianya selepas saya makan rendang ayam yang dimasak oleh isteri beliau di satu majlis makan makan di pejabat bebeerapa tahun lepas. Tapi saya gagal mendapatkannya sehingga majlis rumah terbuka Bank hari Jumaat di mana isterinya hadir bersama. Apalagi, saya terus bertanya resepi dari tuan punya diri. 

Kebetulan saya memang telah lama bercadang untuk memasak rendang ayam cili padi dan bersembang sembang dengan Maznah, rakan sekerja. Dia cakap reka sendiri lah kak zie bila saya beritahu yang saya telah lama mencari resepi rendang cili padi. Jadi sambil bersembang, saya menulis resepi untuk rendang ayam cili padi. 

Terdapat banyak versi ada yang ditumis, ada yang dimasukkan rempah jintan dsb. Jadi bila isteri Ali sudi berkongsi resepi, lebih mudah saya bertanya bahan yang digunakan. Cuma perlu compare sahaja bahan yang diberi dengan resepi yang telah saya tulis. 

Jom layan resepi yang telah saya tulis di bawah ini. Juga jangan lupa video di Azie Kitchen youtube channel di SINI.


Rendang Ayam Cili Padi Yang Sedap

Rendang Ayam Cili Padi

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - potong 14 
1 sudu besar serbuk kunyit - untuk cantikkan warna
1 helai daun kunyit - dihiris
3 helai daun limau purut
1/2 kg santan pekat 
1 sudu kecil cili kering kisar - opsyenal
2 sudu besar kerisik
1 sudu besar garam kasar atau secukup rasa
1 sudu besar gula

Bahan kisar:
2-3 biji bawang besar
15 tangkai cili padi hijau dan merah - boleh tambah jika suka pedas
3 batang serai
1 inci halia
4 hiris lengkuas
1 inci kunyit hidup

Cara cara:
Bahan bahan kisar dikisar dengan santan tapi jangan terlalu hancur supaya rendang akan lebih berserdak. 

Rendang Ayam Cili Padi Yang Sedap

Masukkan ayam, serbuk kunyit dan bahan kisar ke dalam kuali dan nyalakan api kecil  seketika agak agak air ayam kering. 

Rendang Ayam Cili Padi Yang Sedap

Setelah air ayam kering, masukkan santan dan daun limau purut. Saya juga letak sedikit cili kering kisar sekadar hanya untuk mencantikkan warna. 

Rendang Ayam Cili Padi Yang Sedap

Rendang Ayam Cili Padi Yang Sedap

Selalu dikacau di bahagian bawah kuali supaya tidak hangit dan melekat. Jangan kacau ayam, untuk mengelakkan ayam hancur. 

Setelah terbit minyak dan hampir kering, masukkan kerisik, garam dan gula. 

Masak sehingga kering yang disukai denga api yang kecil. Akhir sekali, masukkan daun kunyit yang dihiris halus. Tutup api. 

Rendang Ayam Cili Padi Yang Sedap

Nota:
Jika suka, boleh juga ditumis terlebih dahulu bahan kisar sebelum dimasukkan ayam dan santan. 

Jika mahu rendang yang kering, biarkan lama lama atas dapur dengan api yang kecil, kacau di bahagian bawah kuali supaya tidak hangit dan melekat. Cara mengacau juga penting. 


Resepi ini tidak menggunakan asam keping, tapi jika suka boleh letak 1 keping asam keping. 



Add your comment
EmoticonEmoticon