Ahad, 8 Julai 2018

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Memang tiada rezeki saya. Itu sahaja yang mampu saya katakan. Dua minggu berturut turut bulan Syawal, saya tidak sihat. Jadinya saya tidak dapat hadir majlis rumah terbuka yang diadakan oleh kawan kawan dan juga jemputan majlis perkahwinan. 

Hari raya tahun ini, saya hanya dapat hadir satu majlis rumah terbuka sahabat saya di Shah Alam. Itu pun ketika itu, saya sudah mulai demam, namun saya gagahkan juga. Lebih memburukkan keadaan, bila minggu ini pula, saya mengalami vertigo yang teruk. Kata doktor mungkin disebabkan selsema yang lama. Saya terpaksa dipimpin untuk menuruni tangga rumah dan terpaksa solat secara duduk. Terasa sangat azab dengan ujian kali ini sehingga saya merasakan semuanya tidak bermakna lagi ketika itu. 

Namun teringat pesanan Ustaz Ibrahim Muhammad supaya saya bersabar kerana kesakitan ini adalah kerana Allah ingin menghapuskan dosa dosa kecil saya. Aameen. Di saat saya menulis entri ini, telah terdapat sedikit perubahan bila saya dapat bersolat seperti biasa. Alhamdulillah, tidak terbanding nikmatnya bila kita dapat sujud di dalam solat. 

Masuk bab masakan pula, telah lama saya tidak memasak Asam Pedas ayam atau Daging Tetel. Sekali sekala sedap sekali dicicah dengan roti. Saya terus memesan daging tetel dari jiran kami yang berniaga daging segar. Setiap minggu, beliau akan menyembelih lembu, jadi saya tidak ada masalah untuk mendapat bekalan daging segar. 

Saya merebus terlebih dahulu daging supaya empuk sementara saya menyediakan bahan bahan untuk asam pedas. Memang saya akan melakukan beberapa kerja dalam satu masa. Dengan cara ini, kerja menjadi cepat dan tidak banyak masa terbuang. 

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Ketika saya sedang memasak, Nana dan Alain hendak keluar menghadiri majlis rumah terbuka kawannya. Tapi bila dia nampak asam pedas yang baru siap di dalam kuali, terus dia memberitahu yang dia ingin makan sebelah malam nanti. Lauk ini juga saya sediakan sebagai lauk berbuka puasa untuk Juita petang nanti.  

Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Memang sangat sedap dan secukup sahaja kepekatannya. Asam pedas daging tetel mesti sedikit pekat, baru sedap. Jangan lupa menonton video di Azie Kitchen youtube channel di SINI


Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Asam Pedas Daging Tetel

Bahan bahan
1/2 kg daging tetel - rebus hingga empuk
1-2 batang serai
1 mangkuk cili kering kisar - kali ini guna 1 1/2 senduk nasi
1 biji buah tomato
1 sudu kecil pes asam jawa
Daun kesum/daun limau purut
Garam

Bahan kisar
8 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
Sebesar ibu jari belacan
1 biji buah keras 

Cara cara:
Tumis bahan kisar sehingga naik bau dan masukkan serai dan cili kisar. Tumis sehingga cili masak dan garing menggunakan api perlahan. 

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Masukkan daging yang telah direbus bersama air rebusan sekali. Kacau rata sehingga daging empuk. Jika belum empuk, boleh tambah air lagi. 

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Setelah daging empuk, masukkan daun limau purut, buah tomato dan pes asam jawa. Biarkan mendidih lama lama dan kuah sedikit pekat. 

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Akhir sekali, masukkan garam. Bolehlah angkat dan sedia untuk dihidangkan. 

Asam Pedas Daging Tetel Yang Sedap

Nota:
Boleh juga jika tidak mahu daging direbus dulu terutama jika guna daging batang pinang. 


1 ulasan:

  1. Kena try ni,resepi kak azie xpernah mengecewakan..mmg sedap😊

    BalasPadam

Add your comment
EmoticonEmoticon