Friday, 29 June 2018

Sayur Bayam Goreng Ala Fasha Sandha

Sayur Bayam Goreng

Kebelakangan ini saya dalam mood sedih, sedih dan geram dengan perkembangan yang berlaku dalam negara yang kadang kadang terbawa bawa pada perkara lain. Saya suka mendengar lagu lagu sedih dengan memainkannya berulang ulang kali. Antaranya lagu Si Jantung Hati nyanyian Ade Putra yang menpunyai kisah tersendiri di sebalik lagu itu. Kali pertama mendengar lagu ini dalam tahun 1986 ketika keluar bersama sama rakan rumah sewa ke Jalan Chow Kit. 

Senikata dan iramanya membuatkan saya menjadi sangat pilu. Badan ku kurus bukannya kurang makan, mata ku merah bukannya kurang tidur. Sedih hati ku kerana si jantung hati. Ianya menyamai apa yang sedang saya alami ketika itu. Seperti mana senikata lagu tersebut, badan saya yang memang telah kurus menjadi kurus kering. Lalu saya membeli kaset dan memainkannya berulang ulang kali ketika saya bersedih. 

Walaupun telah lama berlalu, hati saya masih bersedih setiap kali mendengar lagu ini. Kisah cinta saya dengan si jantung hati yang saya cintai separuh mati telah melukakan hati saya sehingga saya membawa diri menjalani kehidupan baru di luar kampus. 

Kini saya bertekad untuk tidak lagi menyintai sesiapa sepenuh hati. Saya tidak mahu lagi menyiksa perasaan sendiri bila cinta dan pengorbanan tidak dihargai. Cinta hanya untuk Allah yang akan memberikan ketenangan hati. Insya Allah.

Sayur Bayam Goreng

Sekarang kita masuk sedikit bab resepi. Saya suka mengintai Instagram Fasha Sandha selepas dia bercerai. Bila ke dapur, dia akan menyediakan sayur bayam goreng, ikan goreng, sambal belacan dan ayam masak kicap. Terasa macam sedap pulak gandingan lauk pauk yang disediakan. 

Itu yang menyebabkan saya memasak sayur ini seperti mana yang Fasha sediakan. Hahaha. Apa apa pun sangat sedap dan paling penting berkhasiat. Fasha bangkit dari kegagalan rumahtangga dan mula membina kehidupan baru tanpa seorang lelaki bergelar suami. Inilah yang patut dicontohi oleh wanita yang dilukai hatinya. Tidak perlu menangis meratap kerana Allah sentiasa ada untuk mendengar rintihan kita. 

Jom layan resepi yang saya tulis di bawah ini. Juga jangan lupa menonton video penyediaan di Azie Kitchen youtube channel di SINI. Selamat mencuba.


Sayur Bayam Goreng

Sayur Bayam Goreng

Bahan Bahan:
2 ikat bayam
1/2 mangkuk udang
1 batang karot
Garam
2-3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 tangkai cili merah

Cara Cara:
Bawang dikisar atau ditumbuk kasar.

Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga wangi. Masukkan udang dan kacau.

Masukkan karot dan kacau rata. Tuang sedikit air bagi melembutkan karot.

Sayur Bayam Goreng

Setelah karot lembut, masukkan batang bayam terlebih dahulu sebelum dimasukkan daun. kacau sehingga bayam lembut.

Masukkan garam dan juga cili merah hiris. Sedia untuk diangkat dan dihidangkan.

Sayur Bayam Goreng



Add your comment
EmoticonEmoticon