Thursday, 24 May 2018

Sambal Tumis Sotong

Sambal Tumis Sotong

Bulan Ramadhan adalah bulan keampunan dan untuk kita minta keampunan. Allah membuka seluas luasnya pintu syurga dan ditutup pintu neraka. Mohon supaya Allah tunjukkan kepada kita pintu pintu kebaikan dalam kehidupan kita. Hanya melalui pintu kebaikan sahaja kita dapat memperbaiki hidup. 

Bulan Ramadhan adalah satu madrasah untuk kita dekat diri kita pada Allah dan Allah redha pada kita. Satu kesempatan besar untuk kita bertaubat dan mendapat keampunan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. 

Dalam kuliah Zohor Ustaz Zawawi, disuruh kita untuk merebut ruang masa mustajab untuk berdoa. Kalau Raudhah orang berebut dan berlari untuk duduk di Raudhah kerana ianya tempat mustajab doa. Tapi bila Nabi yang sama yang menyebut doa orang berpuasa sangat mustajab iaitu dari dia mula berpuasa sehingga saat berbuka, kenapa kita tidak merebutnya. Nak duduk di Raudhah kena bayar pakej umrah atau Haji yang nilainya beribu ribu. 

Khususnya saat sebelum berbuka adalah waktu mustajab berdoa. Tapi kita sibuk di dapur. Masa mustajab doa yang ada kita sia siakan. Apa yang kita nak minta dari Allah? Mintalah sesuatu yang paling utama iaitu keampunan. Jangan minta yang kecil kecil atau keduniaan semata. 

Umpama kita satu satunya orang yang terpilih dipanggil mengadap Sultan. Bila Sultan tanya apa yang kita mahukan kerana Sultan mahu perkenankan. Kita hanya mahu roti canai. Tak kan lah hanya roti canai. Itu lah analoginya. Mohonlah yang paling utama yang kita perlukan dari Allah iaitu keampunan. 

Sambal Tumis Sotong

Hari ini saya ingin kongsikan satu lagi resepi ringkas yang cepat disediakan untuk bulan Ramadhan. Tidak banyak masa di habiskan di dapur. Dengan memasak sendiri, bukan sahaja hidangan lebih sedap tapi juga dapat berjimat. 

Satu petua penting dalam menyediakan sambal tumis sotong ialah dengan memasak sotong dalam kuali terlebih dahulu bagi mengeluarkan air sotong. Dengan cara ini sotong menjadi cantik, lembut tidak liat dan kuahnya juga tidak berair. 

Jom layan resepi dan cara saya menyediakan sotong. Saya katakan cara saya kerana ada orang menggunakan bahan dan teknik berbeza. Cara saya hanya menggunakan bawang merah dan bawang putih. Tiada halia. 

Ada orang menggunakan air asam jawa. Pun boleh juga. Ada juga yang memasukkan sedikit sos cili untuk menjadikan sambal cantik berkilat. Tapi saya lebih suka cara dulu dulu yang hanya menggunakan bahan seperti yang saya gunakan di bawah ini. 

Ada ketika, saya juga memasukkan sos cili. Jangan lah rigid sangat bila memasak. Guna kreativiti dan gerak hati sahaja. Yang penting, ianya ikhlas dari kita. Insya Allah pasti sedap. Bulan Ramadhan ini walaupun simple tapi ianya sedap. Pahala juga sangat besar di mana kita mendapat pahala puasa mereka yang memakan hasil masakan kita tanpa mengurangkan pahala puasa mereka.


Sambal Tumis Sotong

Sambal Tumis Sotong

Bahan bahan:
1 kg sotong 
5-6 sudu besar cili kisar
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 biji bawang besar - hiris nipis
Gula
Garam
1 keping asam keping

Cara cara:
Masukkan sotong ke dalam kuali dan masak seketika sehingga air sotong keluar. Tutup api dan tos keluar air sotong. Ketepikan.

Sambal Tumis Sotong

Sambal Tumis Sotong

Panaskan minyak yang sesuai dengan jumlah bahan yang hendak ditumis dan tumis bawang merah dan bawang putih kisar sehingga wangi. Jika terlebih minyak, boleh diceduk keluar selepas masak.

Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak dan garing dengan menggunakan api perlahan.

Masukkan sedikit gula dan kacau supaya sambal berwarna cantik. Ketika ini, cili akan bertukar warna kemerahan serta berkilat.

Masukkan sedikit air, garam serta asam keping. Sesuaikan rasa.

Selepas sambal terbit minyak dan cantik, bolehlah masukkan sotong dan kacau rata. 

Sambal Tumis Sotong

Akhir sekali, masukkan bawang besar. Kacau rata sehingga bawang layu. Bolehlah tutup api kerana sotong tidak boleh dimasak terlalu lama kerana ia akan menjadi liat.

Sambal Tumis Sotong

Nota:
Jika suka, boleh juga masukkan petai. 


Add your comment
EmoticonEmoticon