Isnin, 23 April 2018

Kari Ayam Cara Keluarga Saya

Kari Ayam Azie Kitchen

Bila badan terasa tidak sihat, selera makan jadi tidak menentu. Tiba tiba rasa ingin makan roti dengan dicicah kari ayam atau dipanggil juga gulai ayam. Walaupun ianya resepi berulang ulang tapi ianya adalah semata mata untuk melengkapkan pengisian entri dan penulisan saya pada hari ini. 

Teringin nak makan kari ayam cara masakan arwah Bonda dahulu. Kari ayam cara keluarga saya memang sangat simple. Sebetulnya arwah Bonda tidak pernah meletak daun kari dalam semua masakan kari. Pokok kari pun tak ada rasanya di rumah kami.

Mungkin anda tidak percaya kalau dikatakan, di rumah kami tidak pernah dimasak kari ikan. Tidak pernah sekali pun. Masakan kari hanya untuk ayam dan daging sahaja. Saya hanya makan kari ikan di rumah mertua sahaja. Ikan hanya akan dimasak gulai lemak selain digoreng atau dibuat ikan singgang. 

Kari Ayam Azie Kitchen

Lagi satu saya jarang meletak ubi kentang dalam kari kerana arwah Bonda pun tak pernah memasukkan ubi kentang. Pertamanya kerana kami tak pernah beli ubi kentang dan keduanya kerana itu, saya tak suka makan ubi kentang. Jadi kalau nak masukkan ubi kentang dalam masakan kari kerana orang lain memasukkannya, rasa macam membazir. 

Kalau dulu nak makan ayam kena sembelih ayam sendiri. Bukanlah saya yang sembelih tapi arwah bapa atau abang saya yang sembelih. Atau minta tolong jiran yang tolong. Rebus air sehingga mendidih, celurkan ayam ke dalam air mendidih. Cabut bulu ayam hingga licin. Ada ketika selepas dicabut bulu, perlu dilayur atau lalukan ayam atas api untuk membuang bulu ayam yang halus halus. 

Selepas itu, ditebuk bahagian dada dan perut untuk menyiangnya. Korek keluar isi perut ayam. Jangan buang kulit semua sekali. Kena ada sikit sikit. Hahaha dari nak share resepi kari ayam atau gulai ayam, dah termasuk pula cara memproses ayam kampung pulak. 

Jom layan resepi masakan kari cara saya masa dulu dulu. kalau di Kelantan, dipanggil sebagai gulai ayam. 


Kari Ayam Azie Kitchen

Kari Ayam

Bahan bahan:
1 ekor ayam 
3 sudu besar rempah Kari Adabi
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
2 batang kulit kayu manis
2 tangkai bunga lawang
1 kotak santan kotak
Garam
Gula Melaka/gula pasir
1 - 2 keping Asam keping
2 helai daun pandan - saya tambah

Cara cara:
Separuh bawang merah, bawang putih dan halia dihiris dan separuh lagi dikisar. 

Panaskan minyak secukupnya dan tumis bahan hiris dan bahan kisar sehingga wangi. 

Masukkan serbuk rempah kari dan kacau rata. Masukkan sedikit air. Tumis sehingga ianya terbit minyak. 

Masukkan ayam dan kacau rata dan biarkan sehingga air ayam kering dan bahan tumis pecah minyak sekali lagi. Ianya akan mengurangkan bau hanyir. 

Kari Ayam Azie Kitchen

Masukkan daun pandan. Yang ni saya tambah sendiri. Setelah terbit minyak masukkan air dan santan secukupnya. 

Setelah kuah hampir pecah minyak, masukkan  asam keping, garam, gula Melaka dan gula secukup rasa. 

Perlahankan api dan biarkan ianya mendidih sehingga kuah terbit minyak dan tiada lagi kelihatan berbuih. 

Kari Ayam Azie Kitchen

Kari Ayam Azie Kitchen

Bolehlah ditutup api dan dimakan dengan nasi putih panas panas. 



Add your comment
EmoticonEmoticon