21 Sep 2017

Masak Asam Pedas Ikan Merah Yang Terlajak Sedap




Masak Asam Pedas Ikan Merah Yang Terlajak Sedap



Sejak dari Hari Raya Aidil Adha, lauk pauk di rumah saya, banyak berasaskan daging. Hari ni, kita tukar pada menu berasaskan ikan pulak. Kalau ada yang nak ke pasar pagi ini, jangan lupa beli ikan. Pilih ikan yang segar segar. Jom kita masak lauk ikan. Saya suka mengikuti Instagram Bonda Rozita, yang juga Pengasas Sedayu Tinggi terutama ketika beliau memasak. Sama seperti saya, beliau bila memasak apa pun, akan meletak serbuk perasa atau serbuk pati ayam. Rasa macam tak lengkap, kalau tak diletak serbuk perasa. Tangan dengan sendiri akan mencapai botol atau plastik serbuk perasa. 

Memasak asam pedas yang sedap memang kena sabar. Sabar untuk menunggu bahan yang ditumis masak garing berkali kali. Barulah sedap. Bukan sahaja sedap tapi betul betul sedap. Wallaa gitu. Melengkapkan masakan asam pedas saya, pastinya Maggi Cukup Rasa. Sebetulnya bila kita telah menggunakan Maggi Cukup Rasa, kita tak perlu lagi memasukkan garam dalam masakan kerana ia memang telah memberi secukup rasa.

Memang berbaloi memasak hari ini kerana Hubby menghirup kuah setengah pinggan. Sebelum tu dua kali dia menambah nasi dengan kuah asam pedas yang banjir. Keesokannya, saya memanaskan baki lauk Asam Pedas ini, bukan sahaja Hubby tapi Aween dan Boy juga meletakkan kuah Asam Pedas banjir dalam pinggan masing masing. Pemandangan luar biasa kerana saya tidak pernah melihat keadaan serupa ini sebelumnya di rumah kami.  



Masak Asam Pedas Ikan Merah Yang Terlajak Sedap

Sebetulnya, lauk seperti Asam Pedas, dimakan selepas sehari lagi sedap dan berasa. Kalau di restoran Melaka, diasingkan kuah dan ikan. Ketika hendak dihidangkan, baru diletak ikan sebab tak mahu ikan yang lembut menjadi hancur. Tapi kalau kita masak di rumah, kena berhati hati jer bila menceduk supaya ikan tidak hancur. Berlembut dan berhemah. 

Kalau diperhatikan, saya banyak berkongsikan pelbagai resepi Asam Pedas yang saya pelajari dari kawan kawan. Kalau dah orang Malaysia, mana boleh dipisahkan dengan lauk pauk tradisional kan. Boleh klik di SINI untuk resepi yang saya belajar dari kawan anak buah saya. Di SINI pulak, untuk resepi yang saya belajar dari Ayu, isteri Ustaz Muaz manakala di SINI dan SINI untuk resepi dari Ita.



Masak Asam Pedas Ikan Merah Yang Terlajak Sedap


Jom layan resepi yang saya gunakan hari ini. Hahaha belum pernah lagi saya menengok Hubby menghirup kuah asam pedas. Tapi serious memang sedap dan secukup rasa. Selamat mencuba...


Masak Asam Pedas Ikan Merah Yang Terlajak Sedap

Asam Pedas Ikan Merah Yang Terlajak Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan kisar
1 biji bawang besar Holland - saiz besar
3 ulas bawang putih
4 hirisan lengkuas
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup

Bahan bahan:
2 batang serai - ketuk
1 sudu besar asam jawa - bancuh dengan 1 mangkuk air
1 kuntum bunga kantan - belah 2
7-8 sudu besar cili kisar - lebih kurang 1/2 mangkuk 
1-2 sudu kecil Maggi Cukup Rasa atau secukupnya
Garam - jika perlu
500 ml air 
Minyak masak

Sayuran:
Bendi
Buah tomato - belah 4

Cara cara:
Panaskan minyak yang agak banyak sesuai dengan jumlah bahan kisar. Tumis bahan kisar bersama serai sehingga garing dan naik minyak. 





Masukkan cili kisar dan tumis lagi sehingga cili masak garing dan naik minyak. 

Masukkan air asam jawa dan masak sehingga pecah minyak lagi sekali. Masukkan air mengikut kepekatan yang disukai dan biarkan mendidih, baru dimasukkan ikan dan bunga kantan. 

Kemudian masukkan sayuran seperti bendi tomato atau apa sahaja yang disukai. 

Kecilkan api dan biar ianya merenih lama lama sehingga sayur separuh lembut. Sayuran akan terus menjadi lembut ketika kuah disejukkan. Saya suka sayur yang tidak terlalu lembut ketika dimakan. 






Masukkan Maggi Cukup Rasa. Sesuaikan rasa dan bolehlah diangkat. Masukkan garam, jika perlu








1 ulasan so far

Sedapnya... saya suka sangat asam pedas :)


EmoticonEmoticon