Rendang Daging Sedap dan Tahan Lama





Resepi rendang sedap dan tahan lama ini telah banyak kali saya gunakan. Lebih lebih lagi kalau mahu memasak rendang dalam jumlah yang banyak. Bila memasak dalam jumlah yang banyak, tak adalah rendang menjadi basi sebelum ianya dihabiskan. Bila dapat tahu, yang resepi ini juga sedap untuk memasak rendang daging, saya pun tidak teragak agak untuk mencuba sendiri. Memang sedap. Lagi pulak, bila menggunakan daging, kita tidak risau untuk mengacau dalam kuali lama lama. 




Jika suka, boleh dicampurkan juga dengan sedikit limpa. Untuk menjadikan rendang ini sedap, ianya mestilah dikacau agak lama dengan menggunakan api perlahan sahaja. Minyak yang keluar akan akhirnya meresap semula dalam rencah rendang menjadikan rendangnya berwarna gelap seperti rendang minang. Resepi ini pun sebenarnya resepi Rendang Minang turun temurun keluarga sahabat saya. Lagi lama dimasak, ianya akan menjadi lebih sedap. 




Saya memasak rendang ini waktu malam kerana sebaik tiba di rumah, saya terus ke dapur menyediakan Kuah Kacang Berdaging Istimewa dulu. Sementara rencah untuk kuah kacang sedang ditumis, saya mula menghiris bawang bawang yang hampir 1/2 kilo. Bab menghiris bawang inilah yang agak remeh dan memakan masa sedikit. Bila malam, ambil gambar pun tak cantik. Ambil video pun jadi gelap semacam. Tapi apa nak buat. Wanita bekerja seperti saya memang terpaksa mencuri curi masa untuk ke dapur. Siap memasak dah pukul 10 malam. Jadi saya sambung mengeringkan lagi rendang keesokan harinya. Rendang ini lagi lama di masak, lagi sedap. Boleh lihat video penyediaannya di Instagram Azie Kitchen. 

Jom layan resepi rendang daging sedap yang saya sediakan hari ini. Sedap dimakan dengan lemang, nasi impit, nasi atau dengan mee hoon juga.



Rendang Daging Sedap dan Tahan Lama

Bahan bahan:
1 kg daging
Sedikit limpa - jika suka
2 batang serai - titik
2 senduk cili kisar - ikut suka pedas
Kayu manis, buah pelaga, bunga lawang
2 kg santan
1-2 keping asam keping - ikut rasa
Garam
Gula
Daun kunyit - opsyenal

Sedikit kerisik - opsyenal utk warna gelap

Bahan hiris:
1/2 kg bawang merah 
1 1/2 labu bawang putih 
2 inci halia 

Bahan tumbuk:
2 inci lengkuas 
1 inci kunyit hidup 


Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis rempah penumis bersama bahan hiris serta serai sehingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar dan kunyit serta lengkuas yang ditumbuk. Tumis sehingga cili benar benar garing.

Masukkan daging yang telah direbus terlebih dahulu dan gaul rata. Masukkan santan dan masak dengan api perlahan sahaja.

Akhir sekali, masukkan kerisik, garam, gula dan asam keping secukup rasa. Masak sehingga kuah kering dan pecah minyak. Jika suka, boleh taburkan daun kunyit yang dihiris halus sebelum ditutup api.






Rendang Daging Sedap dan Tahan Lama Rendang Daging Sedap dan Tahan Lama Reviewed by Azie on July 28, 2016 Rating: 5

1 comment

  1. Kebetulan tengah mencari resepi rendang daging yang sedap dan terjumpa ini. Hujung minggu ni saya nak cuba buat!

    ReplyDelete