Sup Kaki Lembu Yang Teramat Sedap
Saya percaya setiap manusia pasti diuji dengan pelbagai ujian. Namun ujian yang mampu kita tanggung. Allah tidak akan menguji di luar kemampuan seseorang. Yakin lah dengan perkara ini. Semua yang terjadi telah diatur dan hidup kita hanya mengikut aturan Allah.
Saya juga sentiasa melihat positif pada setiap ujian yang menimpa kerana bersama kesusahan, adanya kesenangan. Seberat mana pun yang kita rasa, pasti ada jalan penyelesaiannya. Ada kala saya rasa lemah dan sedih kerana kita manusia biasa namun saya akan cepat cepat mengingati Allah. Saya yakin pertolongan Allah akan sentiasa ada.
Tiada lagi masalah saya yang tidak dapat diselesaikan. Antara cepat dan lambat sahaja. Cara yang paling cepat ialah dengan berzikir terutama istighfar dan berselawat. Selain itu dengan cara mengaji. Insya Allah kesakitan yang dialami, sesaknya dada semuanya akan kembali seperti biasa. Allah akan bagi ketenangan hati. OK setakat ini dahulu, semoga memberi manafaat.
Sup kaki lembu adalah lauk pertama yang saya masak sekembali dari London. Tulang kaki dari ibadah korban Juita. Kaki lembu ini dihantar oleh kakak saya dari Kelantan. Kalau kaki lembu memang sedap yang dari Kelantan kerana di sana memang sangat terkenal. Penjual daging juga tahu bagaimana cara untuk menjualnya.
Tidak seperti di sini, penjual daging di sini menjual kaki kaki lembu yang memang tulang semata. Ada daging di tulang pun sangat sedikit. Berbeza dengan Kelantan, daging banyak.
Bila kita sebut kaki lembu bermakna sebatang tulang kaki lembu sehingga ke kasutnya. Kasut perlu dibakar untuk buang kasut keras. Kalau di sini, bahagian lembut ditulang dijual sebagai keting.
Saya suka sup yang ringkas dan kuahnya tidak banyak berempah. Jadi ini lah caranya. Jika suka kuah berempah, saya akan letak 1-2 sudu besar serbuk rempah sup.
Biasanya untuk kaki lembu, kita akan rebus ketulan tulang besar. Selepas empuk, keluarkan dan hiris supaya menjadi ketulan yang sederhana untuk mudah dimakan. Saya suka meratah bahagian tulang ini.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….
Sup Kaki Lembu
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Kaki lembu
1-2 ketul sup bunjut
Garam
Daun bawang
Minyak
Limau nipis - ospyenal
Cili padi - opsyenal
Bahan hiris:
6-7 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
1-2 inci halia
Cara cara:
Rebus tulang kaki lembu sehingga dagingnya empuk. Saya guna periuk tekanan direbus selama 35 minit. Setelah empuk pindahkan ke dalam periuk dan nyalakan api.
Masukkan garam secukupnya.
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris dan sup bunjut sehingga bawang keperangan. Tuang ke dalam periuk rebusan tulang. Nota: jangan tuangkan minyak sebab tulang berlemak.
Akhir sekali, tabur daun bawang. Masa dihidangkan tabur cili padi dan bawang goreng serta perah asam limau.
Nota:
Sup kaki biasanya berlemak. Jadi biasanya selepas empuk, saya biarkan kuah sejuk sehingga lemak timbul. Buang lemak dan baru dituang ke dalam periuk. Boleh letak kiub ais untuk cepat lemak membeku.






Catat Ulasan for "Sup Kaki Lembu Yang Teramat Sedap "
Add your comment