Resipi · Tip Dapur · Citarasa Nusantara

Azie Kitchen

Malaysia Food Blogger

 ◆ ◆ ◆ 

Alhamdulillah Hari Bahagia Buat Nellisa

Azie 22/07/2026 3 ulasan



Selamat pengantin baru buat Nellisa dan Zulhilmi. Nelly atau Adik adalah nama panggilan manja di kalangan ahli keluarga. Saya merasa sangat sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya Nelly ditemukan jodoh. Gembira yang tidak terhingga bila mereka disatukan pada 18 Julai 2026. 



Nelly adalah anak kedua yang sangat manja dan cepat sensitif. Sebelum ini, setiap kali adik adiknya ingin berumahtangga, saya menjadi sangat sedih memikirkan dia. Saya sehinggakan pernah memberitahu Nana, andaikata Nelly ditakdirkan tidak bertemu jodoh, pastikan untuk berpesan dan mendidik Ammar atau Aliya untuk menjaga dia di hari tuanya. Itulah kerisauan saya setiap detik. 





Nelly sangat sayang dengan semua anak anak buahnya. Rajin membeli pakaian dan permainan untuk mereka. Rajin melayan mereka ke taman permainan atau membawa ke shopping mall. Dia lah favourite aunty di kalangan cucu cucu saya, Ammar, Medina, Aliya dan Haider. 



Tiada apa yang saya fikirkan sebagai seorang ibu selain untuk melihat semua anak anak mendirikan rumahtangga sementara saya masih ada di dunia ini. 

Namun untuk mengurangkan kesedihan, saya menyebut berulangkali pada diri sendiri dan meyakini dengan sepenuhnya bahawa jodoh adalah ketentuan Allah yang telah tertulis di Luh Mahfuz. Pastilah ada hikmahnya bila Nelly belum lagi ditemukan jodoh. Mungkin untuk dia menpunyai lebih masa bersama saya. 



Tapi bila membaca posting Nelly di Instagram menjadikan airmata saya mengalir laju di saat saya menulis ini. Dia menulis membawa maksud yang dia merasakan bahawa perkahwinan adalah suatu yang tidak mungkin berlaku dalam hidupnya. Apa lagi untuk dia memakai pakaian pengantin seperti hari ini. 

Kami tidak pernah bercakap perkara ini kerana ianya seperti ada persetujuan bersama bahawa ianya adalah suatu yang sensitif untuk dibincangkan. Setiap kali ke Tanah Suci saya pasti akan berdoa agar Nelly dikurniakan jodoh dengan seorang lelaki yang baik. 





Seperti mana menantu saya yang lain, saya agak memilih dalam memastikan calon menantu adalah seorang lelaki yang baik. Saya akan bertemu dan cuba mengenali hati budi mereka. Tidak ada syarat rupa, pangkat dan harta pun walaupun ada yang bercakap kononnya saya sangat cerewet dan memilih. 

Saya dan suami sendiri memulakan kehidupan dari zero sehingga ke tahap hari ini. Ini adalah kerana rezeki adalah ketentuan Allah. Apa yang kita ada semuanya adalah dari Allah. Bukan dari manusia. Jadi tak perlu dikuatiri kerana semuanya telah tertulis dan telah dijanjikan. 

Nelly datang ke London penghujung Ogos 2025 untuk memberikan khabar gembira dan sekali gus memohon “restu” saya. Majlis pertunangan diadakan pada 27 Disember 2025. Saya balik dan tiba sehari sebelum majlis. Kalau diikutkan saya mahu majlis pernikahan diadakan secepat mungkin. Tapi sebab kami akan balik dari London for good dalam bulan Mei, saya mencadangkan supaya majlis diadakan sebaik saya balik ke Malaysia. Oleh kerana saya berada jauh, semua urusan dan persiapan majlis diuruskan Nelly dan Papanya. 

Selepas majlis pertunangan dan sebelum balik ke London dalam Januari 2026, saya sempat menemani Nelly untuk menempah baju pengantin dan melawat wedding hall yang dipilih. Ikutkan cadangan asal, Nelly hanya ingin mengadakan intimate wedding dengan memakai satu pakaian sahaja. Tapi saya merasa terkilan andai ini berlaku kerana kesemua anak anak yang lain menpunyai 2 persalinan untuk majlis sebelah kami. 

Apa yang lebih mengembirakan saya ialah bila saya mencadangkan untuk dia memakai hijab ketika majlis kawin, Nelly terus memberitahu yang memang dia akan memakai hijab. Tanpa disangka rupanya Nelly terus memakai hijab sehingga selepas majlis. Alhamdulillah sehingga kini dan semoga sehingga selamanya. Saya lah seorang ibu yang sangat bahagia dengan keputusan dia. Terima kasih dan syukur ya Allah kerana makbulkan doa seorang ibu yang sayangkan anak anaknya menjangkaui dunia semata mata. 

Ini adalah kali pertama saya mengadakan majlis perkahwinan anakanda di siang hari secara buffet. Selain itu, kali pertama juga untuk majlis nikah dan resepsi diadakan pada hari yang sama.  Saya sangat berterima kasih pada BFF saya dari alumni Kolej Ketiga Universiti Malaya yang telah hadir dari awal pagi sehingga selesai majlis persandingan. Begitu juga seluruh keluarga saya yang turun dari Kelantan tanpa mengira masa dan wang ringgit demi menyokong saya. 

Tidak lupa juga kepada tetamu tetamu saya yang telah hadir di majlis yang sangat bermakna buat kami. Saya sangat menghargainya dan merakamkannya di dalam memori saya. Lagi lagi kepada teman teman sekerja dari Bank Negara Malaysia yang telah sudi hadir selepas menghadiri satu majlis perkahwinan lain sebelumnya. 

Seperti biasa warna tema majlis, anak anak akan meminta saya memberikan cadangan. Saya memilih tema warna rich brown kerana saya menpunyai baju dari french lace yang belum dipakai. Alhamdulillah semua setuju untuk mengikut warna baju yang saya ada. 


Kebetulan pula sebulan sebelum majlis, kaki saya terseliuh sehingga terdapat kecederaan pada ligamen dan tulang kaki. Saya perlu menggunakan wheelchair dan tongkat untuk bergerak. Alhamdulillah seminggu sebelum majlis, saya telah dapat berjalan tanpa tongkat. Tetapi sepanjang majlis agak kekok kerana kali pertama memakai kasut selepas insiden tersebut. Namun syukur kerana saya telah dipermudahkan di mana saya dapat naik tangga untuk ke pelamin. 

Sesungguhnya setiap kisah dan perjalanan hidup kita telah ditulis dan diatur. Saya dan anak anak saya menpunyai kisah sendiri. Kita hanya mengikut apa sahaja aturan yang ditetapkan. Maka begitu lah juga dengan takdir saya. 

Saya jalani dengan redha selagi nyawa masih dikandung badan. Saya sentiasa berpegang pada “Allah is all I have”. Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allah Maha Mendengar dan Maha Pengasihani. Ya Allah hambaMu memohon agar permudahkanlah urusan hidup kami sekeluarga. Aamiin. Ya Rabbal Aa lamiin.



Akhir sekali, selamat berbulan madu kepada kedua pengantin baru. Mama pasti akan merindui momen yang kita nikmati bila keluar bersama selama ini. Insya Allah saya akan kongsikan perjalanan majlis pernikahan mereka jika menpunyai kesempatan di entri akan datang. Salam sayang buat semua…



Sudah cuba resipi ini?
 

Ulasan

  1. Sebak pulak baca entri kali ni Kak Azie. Betullah, doa dan kerisauan seorang ibu itu sangat mahal harganya. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa Kak Azie dan kurniakan jodoh yang baik buat Nelly pada waktu yang paling indah. Berita Nelly mula bertudung pun buat rasa gembira sangat. Selamat pengantin baru Nelly & suami!

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah tahniah buat Kak Azie sekeluarga khususnya kpd kedua mempelai. Selamat Pengantin Baru utk Nelly & suami.

    BalasPadam
  3. Tahniah Kak Azie dpt menantu baru, semoga ikatan kekal hingga ke jannah

    BalasPadam

Catat Ulasan