Sotong Masak Kicap Mudah Dan Ayat 1000 Dinar
Sebelum ini bila saya diajar untuk mengamalkan ayat 1000 dinar, saya terus mengamalkannya. Sehinggalah suatu hari seorang kawan saya Encik Ahmad Nizar kebetulan ada di meja pejabat saya kongsikan erti ayat ini dan bagaimana kita perlu menghayati makna bagi setiap ayat ayatnya. Bukan sekadar membaca tanpa memahaminya.
Sejak itu, setiap kali dalam kebuntuan atau apa sahaja saya membaca ayat ini dengan permohonan dan pegnharapan untuk Allah memberikan jalan penyelesaian dan rezeki yang tidak disangka sangka dengan bertawakkal kepada Allah. Yakin bahawa Allah yang akan menyusun semuanya.
Orang Melayu frame dan letak di dinding rumah tapi dia tak baca. Ini ayat sangat besar. 1000 dinar tu 1000 ringgit tak. Apa pelajaran dari ayat ini? Siapa tawakkal pada Allah, Allah akan berikan jalan, Allah akan susunkan sesuatu yang kepala kita tak boleh fikir. Contoh macam mana kita boleh terlepas dari accident saat orang lain semua kena. Sikit lagi nak kena.
Allah boleh buat walaupun akal kita tak boleh bayangkan sebagaimana terjadi pada keluarga Nabi Ibrahim, tak pernah dibayangkan tinggalkan anak dan isteri di padang pasir tempat tak ada manusia nak bertandang, tiba tiba hari ini jutaan manusia berebut rebut untuk masuk ke sana bagi mengerjakan umrah dan Haji, tidak pernah dibayangkan di mana tempat tidak ada air, tiba tiba keluar air zam zam dari celahan jari Nabi Ismail, hari ini air zam zam tidak pernah kering diminum jutaan manusia. Tidak pernah dibayangkan bagaimana anak nak disembelih tiba tiba digantikan dengan seekor kibas dalam keadaan bagaimana boleh jadi.
Jadi siapa bertawakkal pada Allah, serah semuanya pada Allah, lapang dada dengan Allah, tingkatkan pengharapan pada Allah, sangka baik pada Allah dan Insya Allah hati kita tak akan rungsing.
Saya paling rindu nak makan sotong seperti di Malaysia. Yang gemuk dan segar. Tapi di sini memang tak jumpa lagi sotong seperti itu. Yang ada sotong kurus panjang, itu pun tak segar. Atau macam sotong katak. Memang di sini, sotong sangat tak menarik.
Betapa beruntung kita di Malaysia. Bukan sahaja sotong, lain lain seafood pun tak menarik di sini. Hahaha. Untuk kita menghargai apa ada di sekeliling kita ialah dengan berpindah ke tempat lain. Seperti mana ikan pun tak merasai air kerana ianya memang berada dalam air.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba….
Sotong Masak Kicap Mudah
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
300-400 gram sotong
1 biji ubi kentang - hiris
1 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar - hiris
4-5 ulas bawang putih - hiris
1 kulit kayu manis
Kicap manis secukupnya
Garam
Serbuk perasa
Bahan lain:
Bawang Holland - hiris
1 cili merah - hiris
Daun bawang
Cara cara:
Panaskan kuali dan masukkan sotong dan masak sehingga air sotong keluar. Angkat dan tos.
Panaskan minyak dan goreng ubi kentang. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak sama, masukkan cili kering kisar. Kacau rata sehingga garing, masukkan kulit kayu manis dan bawang besar serta bawang putih. Tumis sehingga naik bau.
Masukkan kicap dan air secukupnya untuk dijadikan kuah. Masukkan serbuk perasa dan garam. Kacau sehingga mendidih.
Masukkan ubi kentang, bawang hiris dan kacau lagi.
Akhir sekali masukkan sotong dan kacau rata. Sotong tidak boleh dimasak terlalu lama, akan jadi kecut dan liat.
Tabur cili merah dan daun bawang sebagai hiasan. Siaap...






Catat Ulasan for "Sotong Masak Kicap Mudah Dan Ayat 1000 Dinar"
Add your comment