Sayur Lemak Putih Kelantan Dan Pengalaman Puasa di London
Entah kenapa kali pertama berpuasa di London ni, saya rasa lain sekali. Alamdulillah puasa tidak lama sangat kerana sekarang pukul 5.42 dah masuk waktu berbuka. Di sini, waktu berbuka berubah setiap hari. Jika semalam waktu berbuka 5.40, hari ni dah 5.42 dan esok pula 7.46 petang. Pengalaman begini, memang tak pernah dialami di tempat kita. Hari mula balik dari umrah hari tu, pukul 4 lebih dah berbuka, dah masuk Maghrib.
Tapi itu lah selain waktu berbuka yang berubah setiap hari, saya juga jadi cepat mengantuk. Masa berbuka tu, mata dah rasa pedih keliling sebab mengantuk. Selepas solat Isyak, saya memang dah mengantuk sangat. Adakala terpaksa tidur seketika sebelum bangun untuk mengerjakan solat terawih.
Tak tahu lah kalau faktor usia menjadikan perubahan ini berlaku, atau faktor cuaca dsb. Namun, saya berdoa agar Ramadhan ini, saya diberikan kekuatan untuk melakukan ibadah seperti mengaji dan berzikir. Amatlah rugi jika Ramadhan ini tidak dipergunakan sepenuhnya untuk mendapat keampunan Allah dan juga pahala berganda. Jom kita masuk pula bab masakan.
Saya memasak lemak putih Kelantan selepas berjaya mendapatkan kubis bulat di kedai Oriental di Stratford Shopping Mall. Biasa beli yang bulat keras tu, daunnya keras dan aroma pun lain.
Bila dah jumpa ni, mesti nak masak sayur putih. Sayur lemak putih ini adalah lauk legend di Kelantan. Saya mula memasak lauk ini dari sekolah rendah lagi. Ingat lagi jiran sebelah rumah dok ketawa mengatakan sayur lemak tak letak asam keping. Saya tak faham pun masa tu. Hahaha tapi kenangan itu saya ingat sampai sekarang.
Nak bagi lagi sedap, kena campurkan beberapa jenis sayuran seperti terung, timun, petola, kacang panjang, kubis bulat, lada solok. Guna santan segar dan isi ikan rebus, baru kuah jadi pekat pekat sikit. Alaahai makan pula dengan ikan kering atau ikan rebus goreng. Heaven. Perasa yang mesti ada ialah gula atau perasa aji. Jangan risau, kami dari kecil makan makanan ada aji, sihat dan cerdas jer pun.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah. Selamat mencuba...
Sayur Lemak Putih Kelantan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
Sayur bokchoi
Sayur kubis bulat
Lobak merah
Cili merah - hiris
Daun bawang
Santan
Garam
Gula/perasa aji
Serbuk lada hitam
Bahan kisar:
1 biji bawang besar - saiz sederhana
Isi ikan rebus secukupnya
Cara cara:
Masukkan semua bahan kisar dan sayur yang agak keras. Masak seketika. Masukkan sayur lain dan santan.
Masukkan garam, serbuk lada hitam dan gula. Masak sehingga mendidih dan sayur separuh lembut.
Akhir sekali, masukkan cili merah dan daun bawang. Kacau rata. Tutup api.
Nota:
Sayur lain yang sedap dicampur ialah terung, petola, petola ular, timun dan kacang panjang.




Catat Ulasan for "Sayur Lemak Putih Kelantan Dan Pengalaman Puasa di London "
Add your comment