Rendang Minang Ori Turun Temurun
Insya Allah minggu depan umat Islam tak kira di mana berada akan menyambut hari raya Aidil Fitri, jadi saya hari ini masuk ke dapur untuk masak daging rendang Minang. Bukan untuk raya pun tapi untuk berbuka puasa petang nanti.
Resipi ini dikongsikan Cikgu Mahnun, sahabat baik saya sejak di bangku sekolah rendah. Resipi turun temurun ori Minang dari Bonda Mertua beliau yang berasal dari Padang. Memang resipi mereka turun temurun yang dimasak sehingga kini. Malahan kakak ipar cikgu Mahnun juga berniaga rendang Minang di sini.
Saya memasak di sini dalam keadaan bahan yang terhad, tidak seperti di tempat kita. Saya guna daun kunyit pun sikit jer sebab itu jer yang ada. Cukup lah untuk rendang ada bau dan aroma daun kunyit.
Lengkuas yang di beli di Loon Fung Market di Westfield Shopping Mall pun lain, tidak wangi macam tempat kita. Tak pasti lengkuas tu dari mana, samada Thailand atau Vietnam. Mungkin Vietnam.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…
Rendang Minang Ori Turun Temurun
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
600 gram daging - guna bahagian lemak lebih baik
500 gram santan segar pekat
1-2 helai daun kunyit - hiris
Gula Melaka
1 keping asam keping
1 sudu besar kerisik
2 batang serai - ketuk
¾ sudu besar garam atau secukupnya
Bahan kisar:
3 sudu besar cili kisar
3 biji cili padi - ikut pedas disukai
1 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
Bahan hiris:
3 genggam bawang merah - yang dah dihiris
4 ulas bawang putih
Cara cara:
Tuang bahan kisar, serai, bawang hiris dan daging ke dalam kuali.
Masak hingga air keluar dan daging kecut.
Setelah daging kecut, masukkan santan dan sedikit air. Kacau sesekali jer (untuk mengelak daging hancur) sehingga kering yang disukai.
Setelah terbit minyak, masukkan asam keping, garam, gula Melaka dan kerisik.
Akhir sekali, masukkan daun kunyit. Kacau rata dan pastikan daun kunyit masak dan bukan ditabur sebagai hiasan. Nota: Jika suka, boleh juga masukkan daun puding yang sederhana tua ketika kuah hampir nak kering. Kacau sehingga daun puding layu.
Rendang ini jika dimasak lama lama dan dipanaskan berkali kali, akan jadi gelap macam rendang Minang yang dijual di bazar Ramadhan. Tapi saya buat sedikit berkuah kerana nak makan dengan nasi impit.
Nota:
Sebaiknya jangan guna daging batang pinang kerana mudah hancur. Cari daging yang kurang cantik, yang ada lemak, seeloknya daging kerbau. Nota: di London ni, saya tak ada pilihan. Daging halal hanya menjual daging yang tanpa lemak sahaja.
Kalau risau daging/ayam hancur, boleh keluarkan dulu sehingga santan sebati dan agak kering, baru masukkan semula.
Jika suka serdak rendang yang banyak, untuk dicicah dengan lemang atau ketupat, boleh gandakan bahan bahan.
Jika dipanaskan berulang kali, warna akan menjadi gelap dan lagi sedap.






Catat Ulasan for "Rendang Minang Ori Turun Temurun"
Add your comment