Mee Sup Tulang Yang Sangat Sedap
Alhamdulillah kita masih diberikan peluang untuk bersua di sini. Tahun ini saya akan berhari raya di London. Insya Allah lagi 2 bulan, kami akan kembali ke tanah air. Saya ingin kongsikan satu tips yang ramai tahu tapi tak pasti kalau ramai yang melakukannya.
Di 10 malam akhir Ramadhan ini, kita digalakkan untuk banyak bersedekah tak kira lah wang ringgit atau pun tenaga. Tadi saya terlihat satu video berkenaan perkara ini yang sama dengan apa yang dilakukan oleh anak saya.
Macam anak saya, Juita setiap tahun dia akan memberi saya duit raya di malam malam 10 akhir Ramadhan ini. Dia akan memberikannya setiap malam selepas Maghrib sampai berakhirnya Ramadhan.
Inilah langkah yang bijak kerana satu malam dari 10 akhir Ramadhan ialah malam Lailatul Qadr di mana semua amalan dan kebaikan yang dibuat pada malam tersebut akan digandakan sebanyak 1000 bulan atau 84 tahun.
Jadi jika dia memberikan saya duit raya sebanyak RM30 pada malam tersebut, pahalanya seolah dia bersedekah setiap hari selama 84 tahun. 84 tahun tu, kadang usia kita pun belum tentu mencapai 84 tahun.
Insya Allah pasti dapat kerana satu malam dari 10 malam tersebut adalah malam Lailatul Qadr. Bila raya, dia tak lagi bagi saya duit raya. Begitu juga dengan sedekah sedekah lain. Setakat ini dahulu, saya nak kongsikan resipi yang saya sangat istimewa di hati saya. Lagi lagi bila tak lama lagi kita alan menyambut hari raya Aidil Fitri.
Setiap kali beraya di rumah sahabat kami di Putra Jaya, inilah makanan yang saya cari cari. Memang tersangat sedap mee sup sehingga saya menjadi malu nak menambah lagi. Resipi dipelajari dari ayahnya sendiri.
Hari ini saya share cara menyediakan kuah sup sahaja. Di London ni, bukan senang nak cari bahan bahan untuk masakan kita. Jadi kenalah adjust sendiri jika nak buat mee atau mee hoon sup. Kami makan dengan nasi putih sahaja. Itu sebab, saya tambah karot dan batang saderi. Kalau nak makan dengan mee, tak perlu masuk kerana ianya akan mengubah rasa mee sup.
Alhamdulillah sangat sedap sup ini dan kena dengan selera saya. Semasa dimasak pun, harum semerbak satu rumah. Tiba tiba rasa rindu nak berhari raya di tanahair.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba.....
Mee Sup Tulang Yang Sangat Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan;
½ kg tulang lembu - bahagian tengkuk, lagu sedap
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
1-2 ulas bawang putih
1 inci halia
Bahan B:
½ inci lengkuas - ketuk
1 sup bunjut
Rempah penumis - pelaga, kayu manis, bunga lawang
Daun pandan - opsyenal
Bahan perasa:
Garam
Serbuk perasa Ajinomoto
Sedikit gula
Bahan lain:
Mee kuning - celur dan tos
Sayur sawi - celur
Bawang goreng
Daun sup
Daun bawang
Sambal kicap
Cara cara;
Rebus tulang lama lama sehingga daging ¾ empuk dan air tulang sebati dengan kuah. Sekali sekala, cedukkan keluar bahagian berlemak di permukaan air rebusan, jika ada.
Masukkan rempah 4 sekawan, bahan kisar dan sup bunjut. Masak lagi sehingga daging benar benar empuk dan kuah sedikit pekat. Renih dalam 1-2 jam atas api kecil.
Masukkan garam, gula dan serbuk perasa, ikut citarasa masing masing. Masukkan daun pandan, jika suka.
Panaskan minyak dalam kuali dan goreng bawang merah hiris sehingga keperangan. Tuang ke dalam sup dan tutup periuk. Biarkan beberapa minit sebelum dikacau.
Nota: saya tidak makan dengan mee atau mee hoon (kerana tiada stock), jadi saya tambah karot dan batang saderi.
Hidang bersama mee kuning yang dicelur atau mee hoon. Tabur bawang goreng, daun bawang dan daun sup. Masukkan juga sawi yang dicelur. Sedia untuk dihidangkan bersama sambal kicap.
Nota:
Rebus tulang lama lama supaya air tulang akan mengeluarkan gelatin yang memekat dan menyedapkan kuah sup.





Catat Ulasan for "Mee Sup Tulang Yang Sangat Sedap "
Add your comment