Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Bilis Goreng Kentang dan Petai Dan Muhasabah Diri

 


Entah kenapa tiba tiba pagi ni, teringat seorang sahabat rakan sekerja yang pada saya best untuk dijadikan teman bercakap. Cakaplah topik apa pun, pasti dia boleh memberikan pandangan dengan bernas dan saya boleh terima. Ianya menampakkan perbezaan jika seseorang banyak membaca dan berilmu. Saya memang seorang yang tidak sekadar menerima jawapan ya atau tidak. Sebaliknya sekali dengan penjelasn kalau ya, kenapa ya dan kenapa tidak. 

Bukan sahaja bab dunia, bab pekerjaan tapi juga bab agama. Malahan apa apa sahaja topik. Dia tak pernah mengecewakan saya. Bila dah bersara, saya terasa sangat missed sahabat seperti ini. Ada beberapa perkara di mana jawapan kepada pertanyaan saya membuatkan saya terfikir, betapa di luar kotaknya pemikiran dia. 

Masih ingat nasihat dia, bila saya beritahu saya sebelum bersara lagi, semasa dalam mesyuarat, saya banyak lupa perkataan atau sesuatu istilah yang nak disebut dan lupa nama orang juga. Katanya kotak memori kita dah mula filter untuk menyimpan dan mengingati hanya “what matters to us”. Lebih kurang begitu lah kata katanya. Maknanya kalau saya tak ingat nama seseorang, jangan risau kerana bermaksud ianya tidak menpunyai kepentingan untuk berbuat demikian. 

Betul juga kerana dari muda, otak kita seperti hard disk yang menyimpan semua memori suka duka yang berlaku sepanjang hidup sehingga memory full. Lagi macam saya yang mengingati semua perkara. Kadang kadang setiap yang berlaku di masa lalu, masih dapat diingati dengan jelas umpama video atau filem. Saya tak pernah delete. 

Lagi satu, bila usia meningkat, kita sepatutnya melupai perkara perkara yang tidak lagi memberi apa apa kebaikan. Patut lah dulu, arwah Bonda saya akan mendiamkan diri jika ada sesuatu perkara yang boleh membawa kepada perbahasan atau kata kata yang tidak baik dari seorang ibu. 

Saya mengalaminya kini. Kadang kadang saya malas nak menjawab dan berbahas dengan anak anak bila ada sesuatu yang saya rasa tak “senang hati” dengan kata kata mereka. Saya tak mahu hati saya terluka atau berkecil hati sehingga membawa dosa pada mereka. Jadi saya mendiamkan diri untuk mengelakkan mereka mendapat dosa. 

Sebagai ibu, kadang kadang “pandangan” mata anak anak pun kita boleh baca dan faham. Kita lebih mudah terasa. Kehidupan ini umpama roda. Dulu mak kita alami, sekarang kita alami, di masa depan, anak kita juga pasti akan faham dan mengalaminya sendiri dengan anak mereka pula. Pasti sekali jika mereka tidak melakukan muhasabah diri dari sekarang. 

Biarlah kehidupan ini mengajar kita semua. Ini adalah kerana kita tak suka diberitahu atau diajar sehingga kita sendiri mendapat pelajarannya. Kadang kadang pelajaran itu dah terlambat. Saya sendiri telah mendapat jawapan dan pelajaran dari kehidupan saya. Saya akan berkata di dalam hati, agaknya inilah yang bonda saya rasa dengan saya dulu. Tapi dah terlambat kerana Bonda saya tiada lagi di dunia ini. 

Setinggi mana pun kejayaan dunia seorang anak, dia tetap seorang anak yang tidak akan melebihi taraf ibunya. Apa lagi kalau kejayaan dicapai belum lagi setanding apa yang telah dicapai ibunya samada bab dunia atau pun bab akhirat. Hanya orang usia seperti saya sahaja yang akan faham apa yang saya coretkan di sini. OK setakat ini dahulu, kita masuk bab masakan. 




Bila Ramadhan dah hampir berakhir, kita punya selera makan pun dah berkurangan. Rasa nak makan yang simple simple jer. Makan nasi putih jer pun. 

Saya memang kehabisan idea apa nak dimasak dengan baki petai yang ada. Jadi saya buatlah ikan bilis goreng petai dan kentang. Saya masukkan kentang untuk menambahkan lauk sebab petai yang ada pun sikit sahaja. Alhamdulillah sedap dan kena dengan selera. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba.....


Ikan Bilis Goreng Dengan Kentang dan Petai
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:

1-2 genggam ikan bilis

1 genggam isi petai

1 biji ubi kentang

½  sudu kecil garam 

1 sudu kecil gula


Bahan kisar kasar:

1 biji bawang besar

3 biji cili 


Cara cara:

Panaskan minyak dan goreng kentang sehingga keperangan. Angkat dan ketepikan.



Masuk pula petai. Goreng sekejap sahaja jika suka rangup. Angkat dan ketepikan.

Goreng pula ikan bilis sehingga garing. Angkat dan ketepikan. 

Menggunakan minyak sama, tumis bahan kisar sehingga garing. Masukkan sedikit air dan kacau rata sehingga terbit minyak. 

Masukkan garam dan gula. 

Akhir sekali masukkan kentang dan petai. 


Bila sambal sejuk, baru masukkan ikan bilis. Kacau rata dan sedia untuk dihidangkan. Boleh ceduk keluar minyak berlebihan. 



Catat Ulasan for "Ikan Bilis Goreng Kentang dan Petai Dan Muhasabah Diri"