Biskut Buah Campuran Dan London Yang Akan Dirindui
Semalam kami sekeluarga telah sahkan tarikh penerbangan balik ke Malaysia. Ya tidak lama lagi kami akan balik. Gembira kerana Nana akan menamatkan program fellowship dan akan menjadi Doktor dengan dua kepakaran dalam bidang Medical Retina. Dia akan kembali bertugas di Hospital UiTM Puncak Alam. Siapa nak mendapatkan rawatan mata di sana, boleh lah jumpa dia. Juga tak sabar nak balik, kerana rindu rumah sendiri. Rindu cucu cucu di sana. Rindu makanan di sana.
Sedih pula kerana akhirnya kami akan meninggalkan London yang merupakan destinasi percutian faveret saya. Walaupun di sini, saya jarang jer keluar ke central London. Lagi lagi sejak winter hari tu kerana waktu solat yang terlalu pendek. Kalau keluar, ada lah solat yang terbabas waktu.
Sekarang Ramadhan lagi saya tak keluar. Kalau tak ada tujuan tertentu, tak ada lah saya keluar kerana malas nak memakai pakaian berlapis lapis, kena letak krim dan lotion dsb.
Satu yang saya suka di sini dan pasti akan miss ialah kerana saya berada 24 jam dalam aircond tanpa perlu menekan remote aircond. Hahaha. Saya memang jenis tak tahan panas, badan cepat berpeluh. Bayangkan masa saya balik baru ni, kepala saya menjadi sangat gatal. Rupanya kerana kulit kepala saya berpeluh.
Berada di bawah aircond, angin sejuknya lain dengan berada di bawah aircond semulajadi macam di sini. Ya lah rumah kita mana lah fully aircond, jadi akan ada bahagian yang panas macam di dapur. Kalau di London ni, seronok jer memasak kerana seolah memasak di bawah aircond. Tak berpeluh, tak kepanasan.
Dah balik ni, tak tahu bila nak ke sini lagi. Tiga orang anak saya belajar dan menamatkan pengajian di sini. Saya pula tak menggalakkan anak saya bekerja di sini. OK setakat ini dahulu, kita masuk pula bab biskut raya.
Saya kalau zaman baru berkahwin, memang tak pernah membeli biskut raya. Semua saya buat sendiri dengan pembantu rumah saya. Awal awal tu bakar dengan oven bulat sahaja.
Saya akan buat 4-5 jenis biskut yang antaranya ialah tart nenas yang saya kongsikan di blog saya. Saya buat 2-3 adunan untuk setiap jenis. Saya beli bekas tupperware yang kedap udara untuk menyimpannya.
Bila anak anak dah besar, saya dah tak buat kerana mereka masing masing nak buat biskut mengikut citarasa sendiri. Saya pulak, suka membuat biskut yang sedap menggunakan bahan bahan sedap seperti almond, walnut dll.
Tapi semuanya yang simple. Yang disenduk dengan sudu atau dibulat bulatkan sahaja. Memang tak larat lah nak buat yang banyak corak. Kecuali biskut tart jer yang kena canai dan terap dengan acuan bunga.
Sementara ada di London ni, saya buat lah satu jenis biskut. Kami ada juga beli dari Malaysia untuk dimakan pada hari raya. Kalau di rumah kami, memang tak perlu beli biskut raya kerana banyak dapat dari kawan kawan dalam bentuk hamper dan lain lain. Dah nak masuk raya Haji pun, biskut tak habis lagi.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba semua….
Biskut Buah Campuran
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
200 gram tepung berserbuk penaik
25 gram tepung jagung
50 gram gula kaster
80 gram mentega
100 gram buahan campuran
1 biji kuning telur - saya guna 2 kerana telur saiz kecil
Sedikit air sejuk
Cara cara:
Ayak bersama tepung berserbuk penaik dan tepung jagung. Satukan tepung bersama gula, mentega dan buah buahan campuran. Gaul hingga sebati.
Masukkan kuning telur dan uli sehingga menjadi doh. Jika adunan nampak keras, saya tambah sedikit air sejuk sedikit demi sedikit.
Ambil sedikit doh dan kepalkan doh menjadi bulat dan tekan dengan garfu membentuk garisan memanjang.
Susun atas dulang pembakar yang ditabur dengan sedikit tepung ubi. Bakar pada suhu 180C selama 15 minit ikut oven masing masing. Nota: oven di London saya bakar 11-12 minit sahaja.
Nota: Saya tak tabur tepung pun, hanya lenser sedikit mentega sahaja atau guna kertas pelapik.







Catat Ulasan for "Biskut Buah Campuran Dan London Yang Akan Dirindui "
Add your comment