Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Ikan Tongkol Lauk Nasi Lemak Terengganu Dan Umrah Kanak Kanak




Alhamdulillah kita bersua lagi. Insya Allah saya dan anak menantu serta cucu cucu di London akan mengerjakan umrah pada hari Sabtu 15 Februari 2026. Doakan agar semua urusan kami dipermudahkan dan mendapat umrah yang mabrur. 

Saya memang sangat ingin melihat anak cucu menunaikan umrah. Masa mengerjakan umrah, saya pasti terbayangkan cucu cucu saya di dalam masjid selepas melihat anak anak kecil yang berada di dalam masjidil haram atau masjid Nabawi. 

Umrah bagi kanak kanak yang belum baligh adalah sah dan dikira sebagai amalan sunat. Ibu bapa atau penjaga perlu berniat dan menguruskan ihram serta pantang larang bagi pihak anak. 

Meskipun tidak wajib, ibadah ini memberikan ganjaran pahala kepada anak dan penjaga. Namun ianya akan menjadi kewajipan selepas anak mencapai umur baligh dan memenuhi segala syarat syarat wajib umrah dan Haji ke atas mereka.

Jika tidak memenatkan mereka, elok juga jika mereka dibawa sekali sepanjang melakukan ibadah umrah. Macam Aliya, kami mula bercerita tentang umrah dan mula melatih dia untuk membuang air di bilik air. 

Insya Allah mudah mudahan kita semua dikurniakan anak anak dan seluruh keturunan yang soleh dan solehah yang mendoakan kita. Aamiin. 


Saya memang dah lama nak menyediakan lauk sambal ikan tongkol lauk nasi lemak Terengganu ni tapi asyik tertangguh tangguh. Untuk lauk ini, sedap menggunakan ikan tongkol hitam yang sirip nya lebih panjang. Isinya putih dan lebih lembut dan sedap. Harga pun lebih mahal. Tapi di London ni, mana lah nak cari ikan tu. Jadi saya gunalah ikan tongkol yang asal ada jer.

Resipi sambal ini sama seperti ibu sambal jadi boleh dibuat banyak banyak dan simpan dalam bekas kecil kecil dan masukkan dalam freezer. Maklumlah proses memasak sambal memakan masa yang lama, jadi berbaloi dibuat lebih sedikit untuk kegunaan lauk lain di masa hadapan seperti sambal tumis udang, sotong atau ikan.

Tapi serious sedap lauk ini sehingga makan menambah nambah. Cucu kami, Ammar Yahya pun makan nasi dengan ikan ni juga. Biasa dia tak suka makan lauk ikan. Saya hidangkan dengan nasi lemak, telur rebus, timun dan juga ikan bilis goreng. Nana pun memuji sedap rasa sambalnya.

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen YouTube Channel di SINI. Selamat mencuba….



Sambal Ikan Tongkol Terengganu 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan tongkol hitam - saiz sederhana 
2 sudu kecil garam
2-3 keping asam keping

Bahan kisar:
250 gram bawang besar - 2 biji
20 gram bawang putih - 6 ulas
15 gram belacan - tak letak

Bahan lain:
250 gram cili kering kisar - 10 sudu besar
200 gram minyak
10 gram pes asam jawa - ½ sudu kecil 
80-100 gram gula - 7 sudu besar 
10 gram garam atau secukupnya - 1 sudu kecil

Cara cara:
Rebus ikan bersama garam dan asam keping sehingga masak. Angkat dan keluarkan ikan rebus. Ketepikan. 



Kisar bawang dan belacan dengan minyak dan panaskan minyak dan tumis sehingga bahan kisar benar benar masak, baru masukkan cili kisar.

Tumis lagi sehingga cili benar benar garing dan terbit minyak. Masukkan air sedikit demi sedikit untuk memastikan cili masak sempurna. Boleh ulang beberapa kali proses ini. 



Masukkan garam dan pes asam jawa untuk mempercepatkan sambal garing.

Akhir sekali, baru masukkan gula. Sambal akan berubah menjadi warna gelap. 

Setelah sambal masak, boleh masukkan ikan rebus ke dalam sambal dan sedia untuk dihidangkan. 



Nota:
Lebih sedap menggunakan ikan tongkol hitam yang sirip panjang.

Jika suka, boleh jer goreng seketika sahaja ikan rebus sebelum dimasukkan ke dalam sambal. Resipi ori Terengganu, tak goreng kerana tak mahu isi ikan menjadi keras.

Jika ada sambal lebih, boleh masukkan dalam bekas dan simpan dalam peti beku sebagai ibu sambal. Boleh digunakan untuk memasak pelbagai masakan. 
 

Catat Ulasan for "Sambal Ikan Tongkol Lauk Nasi Lemak Terengganu Dan Umrah Kanak Kanak"