Ayam Ungkep Lauk Pertama Berbuka Puasa Di London
Alhamdulillah kami tahun ini menyambut Ramadhan di Mekah dan kemudian bertolak ke Madinah. Masya Allah syukur sangat kerana berpeluang merasai Ramadhan bersama anak menantu dan cucu cucu di tanah suci ini. Biasanya saya sendirian bersama kawan kawan yang datang mengerjakan umrah Ramadhan.
Tapi perjalanan umrah saya kali ini jauh berbeza dengan sebelum nya. Pertama mungkin kerana faktor usia, saya dah tak larat lagi nak berlama lama di dalam masjidil Haram, tak larat lagi nak berebut rebut tempat duduk. Jika biasanya saya akan beriktikaf dan solat dalam masjid.
Kali ini saya banyak menunaikan solat di dataran masjid. Lagi pun saya tidak berapa sihat sepanjang di sana. Demam dan batuk serta selsema. Solat di dataran masjid juga sangat mencabar kerana semua jalan untuk masuk ke ruang solat di tutup. Mereka akan halau kita ke pintu masjidil haram dan naik escalator untuk ke roof top. Saya pernah lah sekali naik, tapi tak tahan bab bersesak dan berhimpit dengan jemaah lelaki di atas escalator dan sepanjang jalan tu.
Kali ini saya memang solat di pelbagai tempat, semuanya merasa termasuk lah solat di dataran kaabah atau mataf untuk solat Maghrib. Solat di belakang tangga juga merasa. Kalau di dataran masjid, merasa juga solat di tepi kaki lima Mall dan solat di lobi mall.
Saya menanyakan ustaz kalau ianya dikira berjemaah bersama imam. Jawapannya ya kalau saf bersambung di mana pintu mall terbuka luas waktu solat. Apa apa pun tugas kita sebagai hambaNya hanya lah menjalankan segala perintahnya. Segala pahala dan ganjaran, hanya Allah yang menentukan. Kita mampu berdoa agar segala ibadah kita diterima dan kita mendapat keredaan dan pengampunan Allah seterusnya mendapat syurga Firdaus tanpa hisab. Aamiin. OK kita masuk pula bab masakan.
Saya menyediakan lauk ini pada hari kami tiba dari mengerjakan umrah di Mekah dan Madinah. Kami tiba di London dalam tengahari, saya berehat sekejap dan terus masuk dapur. Kiranya hari pertama kami berbuka puasa di London. Walaupun letih terpaksa juga memasak kerana pertama memang tak lalu nak makan makanan sini dan kedua kerana teringin sangat nak makan ayam ungkep dengan nasi impit.
Saya makan dengan nasi impit sahaja. Manakala Nana dan Alain pula makan dengan nasi. Memang sedap sebab dah lama tak pekena makanan macam ni. Saya letakkan juga 2 biji telur rebus di dalam lauk Ungkep ini. Jadi adalah kiranya macam 2 lauk.
Sepanjang di Mekah dan Madinah, kami hanya makan makanan Arab sahaja. Itu pun kalau lama lagi, tak tahu lah nak makan apa. Last last makan roti cicah milo jer. Sepanjang di sana, saya makan nasi Mandy Romansiah yang memang sedap. Tapi sedap pun, kalau hari hari, jadi muak juga kan.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Seelamat mencuba semua....
Ayam Ungkep Jawa
Oleh: Azie Kitchen
Bahan kisar:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
5 tangkai cili padi - boleh tambah
1 inci halia
1 inci kunyit hidup
Sangai & kisar sederhana halus:
2 sudu besar ketumbar
2 sudu besar jintan manis
Bahan Lain:
1 kg ayam
2 batang serai - ketuk
1/2 - 1 sudu besar gula
1 cawan air
Garam secukup rasa
Minyak masak
Cara cara:
Gaul bahan kisar dengan ayam dan perap selama 30 minit.
Panaskan minyak dan tumis serai sehingga naik bau dan masukkan ayam. Tutup periuk dan perlahankan api.
Masak sehingga kering. Tambah air, jika ayam belum empuk. Perasakan dengan garam dan gula.
Nota:
Sedap dimakan dengan lontong.
Saya letakkan juga 2 biji telur rebus.



Catat Ulasan for "Ayam Ungkep Lauk Pertama Berbuka Puasa Di London"
Add your comment