Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Sotong Cumi Dan Bila Diri Diuji



Semua kita tahu yang bila Allah sayangkan kita, kita akan diuji. Sesiapa yang sabar dan redha dengan ujian, akan mendapat 3 perkara. Dia akan diberikan pahala, akan mendapat Rahmat Allah dan akan diberikan hidayahNya. 

Namun keadaan sebenar, sabar sebenar dan redha sebenarnya hanya akan diketahui setelah kita sendiri diuji.Bila ditimpa ujian, saya kembali membaca catatan di SINI, mencari video video untuk mengubat hati, untuk hati supaya tabah dan redha. Berulang kali mengingatkan diri bahawa Allah tidak akan menguji di luar kemampuan saya. Ujian juga tidak akan lama. Saya sebut ini kepada diri sendiri secara berulang kali. 

Namun tidak mudah, bila malam menjelma, dada terasa sesak dan pedih seperti tikaman sembilu yang tajam. Dengan sekuat hati, saya berzikir untuk melawan kesakitan itu sehingga saya terlupa bagaimana rupanya lagi. Saya seolah tidak lagi dapat membayangkannya dalam ingatan. Inilah pertolongan Allah yang Maha Besar untuk meredakan kesakitan. 

Saya mengucapkan berulang kali Innaalillaahi wainnaa ilaihiroojiuun. Allahumma’ jurni fii musibatii, wakhlufli khairan minhaa. Sesungguhnya kita milik Allah. Kita tidak kehilangan apa apa kerana kita tidak miliki apa apa. 

Diri kita milik Allah, maka apa yang kita punya juga kepunyaan Allah. Jika kita sabar, Allah akan mengganti sesuatu yang lebih baik samada di dunia atau pun di akhirat. Inilah yang saya lakukan. Saya juga melihat sekeliling dengan pandangan berbeza. Ramai orang jujur dalam dunia ini, ramai orang yang mencari syurga berbanding kesenangan dunia yang sementara. 

Ok setakat ini dahulu, doakan agar saya terus kekal istiqomah dalam apa jua yang saya lakukan.


Saya pagi pagi hari pertama di London dah masuk dapur. Pertamanya kerana saya tak dapat tidur. Masih jet lag. Bila tak dapat tidur, perut mula berkeroncong. Saya terus menyediakan sambal sotong cumi untuk dimakan dengan nasi lemak atau nasi putih pun ok. 

Tapi sebab Nana nak makan mee hoon goreng, saya makan menghidangkan sambal sotong ini dengan nasi lemak keesokannya. 

Serious lah sedap sambal sotong ni. Terasa lemaknya sambal walaupun saya tak guna santan pun. Nak masak nasi lemak sedap, boleh rujuk entri sebelum ini di SINI


Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Sambal Sotong Cumi 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan: 
500 gram sotong cumi
Garam - jika perlu
Pes asam jawa
Gula secukup rasa
Minyak masak

Bahan kisar:
2 biji bawang besar - saiz besar
5 ulas bawang putih
4-5 sudu besar cili kering kisar

Cara cara:
Rendam sotong cumi seketika dan basuh bersih. Tos dan ketepikan.

Masukkan semua bahan kisar ke dalam kuali dan masak sehingga air kering. Tuang minyak masak dan tumis seperti biasa sehingga sambal benar benar masak dan terbit minyak. Boleh masukkan air sedikit demi sedikit dan tumis lagi sehingga terbit minyak. Boleh ulang proses ini bagi memastikan sambal masak dan garing sempurna. 

Masukkan garam, gula dan pes asam jawa secukupnya. Setelah sambal masak sempurna dan terbit minyak, masukkan sedikit air supaya sambal lebih basah dan masukkan sotong cumi. 


Masak sehingga sotong lembut. 


Nota: 
jika suka, boleh masukkan bawang hiris ketika ini. Kacau sehingga bawang layu.

Catat Ulasan for "Sambal Sotong Cumi Dan Bila Diri Diuji"