Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Lempeng Lembut Sampai Esok dan Sambal Ikan Bilis



Sebelum masuk bab resipi, saya ingin kongsikan petikan video dari Tokku Pasir Gudang. Setiap kali rasa kesedihan, saya memang akan mencari video Tokku Pasir Gudang untuk mendengar nasihat yang boleh mengubat hati. 

Sesungguhnya Allah mengajar kepada Nabi Muhammad SAW sesuatu yang menpunyai kesembuhan dan kemenangan dan merupakan pintu masuk ibadah. Kata Amru bin Uthsman, Allah ajar NabiNya suatu benda yang menjadi punca kesembuhan pada semua penyakit dan punca kepada kemenangan. Dan pintu masuk kepada ibadah yang sebenar, iaitu yang disebut dalam surah Fussilat ayat 36, bermaksud kalau sekiranya kamu ditimpa dengan gangguan syaitan, maka berlindung lah pada Allah. 

Allah Mendengar lagi Maha Mengetahui, seolah Amru nak beritahu kita ada satu ayat ada satu doa ada satu zikir yang kalau kita baca akan menjadi penyembuh pada segala penyakit. Bahkan ia adalah kemenangan dan pintu masuk pada ibadah kita. Baca 

A’ uzu Billaahis Sami’ Ul Aleem minashaitan nirrajiim

Amalkan. Kalau ada penyakit, rasa lemah, rasa kalah, rasa tak bersemangat ibadah sebut bacaan di atas. Ini Allah ajar pada Nabinya kalau diganggu dengan syaitan dengan pelbagai cara, dengan penyakitnya, dengan lemah semangatnya, rasa kalahnya. maka baca zikir ini. 

Ajar anak anak kita benda yang mudah kalau sakit, kalau rasa lemah dan diganggu, rasa kecewa kerana putus cinta, perceraian atau apa sahaja. Kadang kita lemah semangat dalam hidup dan rasa lemah bila tengok semua projek tak jadi. Maka kita amalkan zikir mudah ini.

Mana ada hidup tak ditimpa ujian, mana ada hidup sepanjang masa rasa happy jer kan. Itulah namanya kehidupan. Dan kena ingat bersama kesusahan, adanya kesenangan. Bersama sama ya, bukan selepas kesusahan ada kesenangan. Jadi sabar dan mohon pertolongan Allah. Di samping itu, amalkan selawat 1000 kali sehari, dan selepas itu berdoa, Ya Allah Engkau tunaikan lah hajat ku di dunia ini dengan kemudahan. Aamiin. Sehingga di sini dulu, semoga bermanafaat. 



Saya buat lempeng ni dah lewat. Cuaca sejak masuk musim luruh ni agak tidak menentu. Dari pagi mendung dan hujan rintik rintik menjadikan kita rasa lapar. 

Oleh kerana nak cepat, saya tak perap pun adunan lempeng ni. Kacau pun pakai senduk sahaja. Tapi serious sedap dan lembut. Tengok lah saya gulung pun main hentam jer. Gambar ini saya ambil keesokan paginya. Masih lembut dan masih sedap. 

Masa kecil di kampung dulu, memang makan lempeng di musim banjir selain dari ubi kayu rebus. Lempeng ni makanan biasa bagi orang kampung. Kalau suka, masukkan sedikit kelapa parut muda. Jadi lebih berlemak lemak rasanya. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba….


Lempeng Gandum Lembut 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ½ cawan tepung gandum
1 sudu besar minyak masak
Secubit garam
2 cawan air
1 biji telur

Cara cara:
Satukan semua bahan dan kisar. Biarkan 30 minit. 

Lenser sedikit minyak pada kuali. Biarkan panas dan tuang adunan. 

Setelah bertukar warna kekuningan, boleh terbalikkan, jika suka. Angkat dan sejukkan. 

Bolehlah digulung dan dihidangkan dengan sambal ikan bilis atau sambal sardin atau kuah kari. 



Sambal Ikan Bilis

Bahan kisar:
2-3 biji bawang besar - ikut saiz
4 ulas bawang putih
3-4 sudu besar cili kering kisar

Bahan bahan:
1-2 genggam ikan bilis
½ sudu besar garam atau secukup rasa
½ sudu kecil serbuk pati ayam
1 ½ - 2 sudu besar gula - saya guna 1 ½ 
1 keping asam keping
Minyak masak

Cara cara:
Tuang bahan kisar ke dalam kuali (tanpa minyak) dan biarkan sehingga air hampir kering. 

Setelah kering, baru tuang minyak dan tumis sehingga bahan tumisan garing dan terbit minyak. Masukkan air dan tumis sehingga terbit minyak sekali lagi. Nota: boleh ulang proses ini beberapa kali untuk pastikan bahan tumis benar benar garing. 

Setelah terbit minyak, masukkan asam keping, garam, gula dan serbuk perasa. Tumis lagi sehingga sambal bertukar warna sedikit gelap. 

Masukkan ikan bilis dan kacau rata. Masukkan sedikit air dan masak sehingga ikan bilis masak dan sambal terbit minyak. Tutup api. 


Selamat mencuba…


Catat Ulasan for "Lempeng Lembut Sampai Esok dan Sambal Ikan Bilis"