Ayam Masak Kicap Dan Bab Threads
Telah lama saya ingin menulis berkenaan kegerunan saya melihat komen komen di Threads yang mana maki hamun dan sumpah seranah yang keterlaluan terutama berkaitan dengan pernikahan Fattah Amin baru baru ini. Komen komen itu merata rata dari orang Melayu yang beragama Islam dan majoriti adalah kaum wanita dan perempuan yang sudah berkahwin atau yang masih bujang. Bahasa sangat dasyat, nak tulis di sini pun tak tergamak.
Kalau post di Threads yang mereka tidak sependapat, maka akan dikomen macam macam. Ada yang komen di post saya tak sangka Azie Kitchen mulut jahat, muka buruk dan macam macam lagi. Ada yang tulis supaya saya dok baca yassin jer. Ianya semata mata kerana saya menulis berkenaan teman serumah. Ada pula seorang lelaki menulis yang saya kekeringan idea kerana hanya share resipi ayam sahaja. Punya sampai ke situ komennya. Ingat tau, komen tu dah tercatat.
Post saya tidak memaki hamun pun tapi mereka terasa dan tak bersetuju kerana saya tidak memihak pada terma "rakan serumah". Ya lah kenapa rakan serumah, kan lebih manis teman hidup atau suri hati ke. Itu jer maksud saya. Ya lah semua orang berhak untuk menpunyai pendapat sendiri, tapi kalau tak setuju skip sahaja kerana saya menulis di rumah sendiri, bukan menulis di rumah orang lain. Menulis pun dengan tiada maki hamun pun. Faham tak maksud saya.
Akhirnya saya delete post itu, bukan kerana takut tapi kerana untuk menjaga ketenangan hati saya sendiri dan demi anak anak saya. Ya anak anak saya, memang semuanya educated dan classy, tak ada masa nak bermain medsos dan meninggalkan komen yang tak berfaedah ini dan memberi kebaikan dalam kehidupan. Mereka pun tak pernah masuk dan komen di mana mana medsos saya. Mereka biasanya akan tahu kecaman pada saya bila kawan kawan mereka yang memberitahu. Yang pasti, mereka akan meminta saya delete dengan serta merta. Itulah anak anak saya yang sangat classy.
Sejujurnya saya sedih kerana ramai wanita yang tidak memahami nasib wanita, ramai wanita rela ditindas walaupun tidak mendapat hak mereka. Ada wanita yang tidak sanggup ditindas akan mencari jalan keluar dari perkahwinan tapi mereka dipandang serong. Sedangkan ramai wanita di luar sana yang tidak mendapat nafkah, tidak dilayan dengan baik rela hidup dalam memendam perasaan. Namun begitu, kita tidak boleh mengutuk mereka yang tidak sanggup memendam rasa kan?
Saya sebagai wanita, isteri dan ibu, saya mengakui apa yang diberitahu oleh Fazura sebagai alasan perceraian beliau adalah perkara biasa yang berlaku dalam mungkin majoriti perkahwinan di Malaysia. Saya tidak mengiakan kesahihannya kerana hanya mereka berdua yang tahu kebenarannya.
Namun pemerhatian sekeliling, betapa ramai lelaki yang lemah sebagai seorang ketua keluarga, lemah dan perlu dibantu dalam rumahtangga. Kalau 50:50 tu biasa lagi, tapi ada yang menjadi biawak hidup di dalam perkahwinan. Suami tidak mampu menyediakan benda basic pun seperti tempat tinggal. Baca jer di Threads betapa ramai isteri yang menderita dalam diam menanggung suami yang kedekut dan menumpang isteri untuk tempat tinggal, makan pakai, persekolahan anak dsb.
Tidak semua tapi ramai yang sebegitu. Arwah ayah saya, abang abang saya, anak anak buah saya, semuanya menyediakan tempat tinggal dan makan pakai untuk anak isteri mereka. Mereka bekerja untuk mencari rezeki demi menyara keluarga. Itu yang saya katakan tidak semua. Ramai lelaki yang takutkan Allah, akan mematuhi perintahNya.
Percaya lah tanggungjawab ini adalah ditetapkan oleh agama. Gagal melakukannya tidak melepaskan seorang suami di akhirat kelak. Jangan semata mengharap isteri menghalalkannya. Lagi lagi kalau anda sengaja mengengkari perintah agama dalam bab nafkah dan tanggungjawab seorang suami dalam menyediakan tempat tinggal, makan dan pakai kepada isteri dan anak anak.
Hatta kalau dah bercerai sekali pun, tidak melupuskan catatan dosa dan kegagalan lalu yang telah dilakukan kepada bekas isteri ketika masih dalam perkahwinan. Takutilah dosa yang melibatkan hak dan penganiayaan pada orang lain. Ok setakat ini dahulu, semoga catatan saya ini memberi manafaat untuk sesiapa yang mahu membaca dengan hati yang terbuka.
Saya memang memasak ayam kerana ianya kegemaran anak dan cucu cucu saya. Saya kini tidak lagi memasak untuk produk review, tapi saya memasak untuk hidangan keluarga. Jadi saya akan memasak apa yang mereka suka makan.
Lagi pun dalam blog saya ada beribu ribu pelbagai jenis resipi yang telah saya kongsikan. Masuk sahaja ke sana dan dapatkan resipi secara percuma sahaja tanpa perlu memujuk rayu untuk mendapatkan resipi.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba.....
Ayam Masak Kicap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
8 ketul ayam
4 sekawan
1 biji bawang besar - hiris
1 batang lada merah - belah dua
Daun bawang
Bahan kisar:
1 sudu besar cili kering kisar
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci halia
Bahan perasa:
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar sos cili
Kicap manis mengikut kepekatan
1 keping kecil asam keping
Secubit gula - opsyenal
½ sudu kecil garam
½ sudu kecil serbuk perasa
Cara cara:
Lumur garam dan serbuk kunyit serta serbuk pati ayam pada ayam. Goreng sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
Tumis semua bahan kisar sehingga garing dan betul betul masak
Masukkan sos cili, sos tiram dan kicap secukupnya.
Masukkan garam, serbuk perasa dan asam keping.
Masukkan sedikit air untuk kuah. Masak sehingga mendidih, masukkan ayam yang digoreng separuh masak. Kacau rata.
Masukkan bawang besar hiris dan cili hidup. Akhir sekali taburkan hirisan daun sup atau daun bawang sebagai perhiasan.
Catat Ulasan for "Ayam Masak Kicap Dan Bab Threads "
Add your comment