Udang Kam Heong Dan Kasih Seorang Ibu
Saya kali ini ingin menulis bab kasih sayang seorang ibu yang tidak terbatas. Bak kata perumpamaan seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak tapi 10 orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.
Ibu adalah seorang manusia yang sangat penting pada seorang anak walaupun ada juga berita yang kita dengar ibu yang tidak menyayangi anak. Ibu yang Allah perintahkan untuk kita taati. Ibu yang dikatakan syurga di bawah tapak kakinya.
Usahkan manusia, ibu haiwan juga mengasihani anak. Tengok jer kes ibu gajah yang sangat bersedih dengan kematian anak gajah di Gerik hari tu. Ibu gajah tidak berganjak berada di tepi lori yang melanggar anaknya ketika anaknya terperuk di bawah lori tersebut.
Tapi biasa jer kita dengar kisah anak yang tidak menyayangi ibu. Mereka dibiarkan di hari tua mereka, disinggung perasaan mereka dengan kata kata yang sarkastik. Lagi lagi kalau ibu yang tidak kaya, tidak berpangkat dan menumpang anak anak.
Sangat beruntung mereka yang masih menpunyai ibu. Saya yang walaupun telah berusia, masih mencari ibu saya saat saya menpunyai masalah. Apa sahaja masalah, hatta masalah dalam pekerjaan. Masih meminta ibu saya mendoakan segala urusan saya.
Kini setelah 11 tahun, ibu meninggal, saya masih terasa kehilangan orang yang sangat ikhlas menyayangi saya. Sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kebaikan saya dunia dan akhirat. Sentiasa memastikan saya mengamalkan ibadah dan zikir zikir tertentu, memastikan saya mengenali dan mendalami ilmu agama. Yang mahukan syurga untuk saya.
Saya mengakui sebagai seorang anak dahulu, saya tidak melakukan perkara yang terbaik dan saya merasa amat menyesal sehingga kini. Cuma kini saya mampu mendoakan agar roh kedua dua ibubapa saya berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah. Supaya mereka diberikan ganjaran syurga firdaus tanpa hisab atas segala kasih sayang dan didikan mereka pada kami adik beradik.
Kini saya sendiri berada di posisi ibu saya dahulu tapi saya tak pasti kalau anak anak saya memerlukan saya seperti mana saya memerlukan ibu saya dahulu. Hmm tak pasti... Cuma ada anak anak yang setiap kali akan menduduki peperiksaan atau temuduga, akan meminta doa saya supaya urusan dipermudahkan.
Sebagai seorang ibu, saya merasa sungguh beruntung seorang ibu yang menpunyai anak yang berbakti kepada beliau di hari tuanya. Menyantuni mereka dengan penuh kasih sayang. Ianya adalah kebahagiaan dunia buat ibu berkenaan. Pastinya juga kebahagiaan akhirat buat anak anak.
Saya melihat seorang sahabat universiti saya yang kini sedang terlantar sakit, tidak boleh bangun dan berjalan. Pada saya beliau seorang yang beruntung kerana anak anak telah menjaga kebajikan beliau dengan mendapatkan seorang pembantu rumah untuk menjaga beliau di kampung. Saya dapat tahu gaji pembantu adalah RM2000 sebulan.
Dengan kerasnya hidup di zaman ini, ianya adalah suatu jumlah yang besar untuk 3 orang anak anak berkongsi memperuntukkan duit sebanyak itu kepada seorang ibu. Duit sebanyak itu untuk seorang ibu berikan pada anak anak, adalah perkara mudah. Tapi sukar, jika sebaliknya.
Tapi ada juga anak anak orang miskin, anak orang kampung yang serba kekurangan, bila berjaya berazam untuk membantu keluarga. Contoh dalam kes peserta Akademi Fantasia seperti Mawi dan lain lain. Bila ditanya kenapa menyertai program realiti AF, beliau memberitahu untuk membantu keluarga.
Ramai anak anak yang berkorban wang ringgit demi untuk melihat ibu bapa hidup senang sehingga wang yang diperolehi digunakan untuk membina rumah ibu, menghantar ibunya mengerjakan haji dan umrah. Tidak ramai anak yang seperti ini. Beruntung ibubapa mereka. Semoga mereka diberikan ganjaran pahala yang besar. Aamiin.
Saya memang kalau udang, asyik masak yang sama sahaja, samada sambal tumis atau goreng garam kunyit atau masak lemak sahaja. Ada lah sesekali saya masak kari. Bukan apa, udang kan dah sedap. Jadi masakan ringkas akan mengekalkan keenakan rasa isi udang.
Hari ini dah agak lewat, baru saya masuk ke dapur. Saya pada mulanya macam malas nak memasak kerana tak tahu apa yang nak dimasak. Tapi selepas melihat ada bungkusan udang dalam freezer, saya keluarkan dan barulah mencari apa resipi yang sesuai dengan bahan bahan yang ada di dapur.
Bahan untuk udang kam heong ini kira banyak juga tapi sebab semua bahan yang asas ada tersedia, saya pun mula lah memasak. Maka jadilah udang kam heong untuk makan malam nanti. Alhamdulillah sedap kerana Allah yang menjadikan ianya sedap.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Udang Kam Heong
Oleh: Azie Kitchen
Bahan-bahan : Goreng udang
7-8 ekor udang
Garam
Serbuk kunyit
Tepung jagung
Bahan kisar kasar:
1 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia
Segenggam cili padi - ikut pedas disukai
1 sudu besar serbuk kari ikan
Bahan sos:
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
Bahan lain:
Daun kari
Garam - jika perlu
Gula/serbuk perasa
Sedikit air untuk kuah (opsyenal)
Cili padi merah
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng udang sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak sama, tumis bahan kisar kasar sehingga layu.
Masuk serbuk kari dan kacau rata dengan cepat. Masukkan sedikit air supaya rempah kari tidak hangit. Kacau rata sehingga naik minyak.
Masukkan semua bahan sos dan sedikit air untuk kuah.
Akhir sekali, masukkan udang goreng tadi dan cili padi merah sebagai hiasan. Kacau rata.
Nota:
Jika suka, boleh juga masukkan daun kari ketika menumis untuk menambah aroma.
Catat Ulasan for "Udang Kam Heong Dan Kasih Seorang Ibu"
Add your comment