Saya percaya seluruh negara berdukacita membaca berita pemergian sekeluarga kerana terbabas ke dalam Sg Korok. Lebih menyedihkan mereka didapati berpelukan di tempat duduk sebelah kiri penumpang belakang. Mungkin suami cuba untuk melakukan sesuatu dengan berpindah ke belakang.
Kematian secara slow death adalah suatu yang sukar untuk kita gambarkan. Semoga mereka semua diberikan ganjaran mati shahid. Aamiin. Dalam keadaan panik dan gelap dengan air yang deras, ramai tidak tahu untuk mengambil tindakan. Lagi lagi dikatakan mereka keluar rumah pukul 5.30 pagi. Mungkin mengantuk dan terbabas.
Saya pun baru baca juga di mana langkah pertama ialah buka tali pinggang keselamatan dan turunkan tingkap dalam masa 30-60 saat pertama. Keluar ikut tingkap, bukan pintu. Jangan buka pintu kerana tekanan arus kuat dari luar. Jika tingkap tidak boleh dibuka, pecahkan tingkap menggunakan pemukul keselamatan atau kepala penyandar. Saya percaya bukan sahaja saya tidak ada knowldege keselamatan ini tapi ramai lagi orang di luar sana.
Begitu juga saya membaca berkenaan seorang petugas keselamatan wanita yang memanjat pagar tempat duduk stadium kerana tidak jumpa pintu untuk turun ke padang dan berlari untuk menyelamatkan pemain bola sepak yang jatuh. Tapi sudah terlambat.
Sedangkan ketika itu, ramai orang di sekeliling tapi tiada yang cuba melakukan CPR. Mungkin kerana mereka tiada ilmu berkenaan langkah kecemasan tersebut atau mungkin berada dalam suasana panik. Ajal maut ditentukan Allah tapi kita kena berusaha.
Dalam hidup ini, kita kena berilmu dalam segala gala aspek kehidupan. Jangan hanya ada ilmu tentang kerja kita sahaja. Kena ada ilmu bab sosial, ekonomi, politik, perubatan, sains dll. Saya paling pantang bila menanya sesuatu yang mungkin memerlukan general knowledge (bukan bab teknikal pun) tapi jawapan yang diterima adalah tidak tahu.
Kot ya pun sebelum jawab tidak tahu, jawab mengikut logik akal fikiran dahulu dan kemudian jawab tidak pasti tapi mungkin jawapannya ialah bla bla bla. Bukan terus jawab tak tahu, lagi lagi orang muda di zaman ilmu hanya berada di hujung jari sahaja. At least google dulu ke. Tolong lah jangan terus jawab tak tahu tanpa berusaha. Jangan lah nampak sangat kemalasan otak untuk berfikir. Itu sahaja, sekarang kita masuk pula bab masakan.
Saya menyediakan sambal ubi kentang dengan ikan bilis kerana nak menghabiskan ubi kentang yang Nana beli minggu lepas. Secara jujur saya sebenarnya bukan penggemar lauk berasaskan ubi kentang kecuali begedil. Ini adalah kerana saya tidak kenal ubi kentang pun ketika di kampung dulu.
Kalau saya masak kari dan saya masukkan ubi kentang pun saya tak makan. Saya masuk hanya sekadar untuk melengkapkan masakan sahaja. Begitu juga saya bukan penggemar kentang goreng.
Namun begitu, tidak dinafikan ubi kentang dimasak sebagai lauk sangat sedap. Samada masak sambal atau masak berlado. Nak lagi sedap, kena lebihkan ikan bilis. Saya letak sedikit sahaja kerana stock ikan bilis kami dah nak habis.Tinggal sedikit sahaja lagi untuk dijadikan perencah nasi goreng. Saya bawa ikan bilis dari Malaysia.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....
Sambal Ubi Kentang Dan Ikan Bilis
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
3 biji ubi kentang - potong wedges
Segenggam ikan bilis
2-3 sudu besar cili kering kisar
1 sudu sos tiram
1 sudu cili cili
Garam
½ sudu besar gula
Minyak
Bahan kisar:
1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
Cara cara:
Goreng kentang sehingga masak. Angkat dan ketepikan. Goreng pula ikan bilis sehingga garing. Angkat dan ketepikan.
Kurangkan minyak dan tumis bahan kisar dan cili kering kisar sehingga terbit minyak.
Masukkan sedikit air dan tumis lagi sehingga cili benar benar masak dan terbit minyak sekali lagi.
Masukkan semua bahan perasa seperti garam dan gula, sos cili dan sos tiram. Kacau rata sehingga sebati.
Masukkan ubi kentang goreng dan kacau rata. Tutup api. Biarkan sehingga benar benar sejuk, baru dimasukkan ikan bilis goreng. Kacau rata.
Catat Ulasan for "Sambal Ubi Kentang Dan Ikan Bilis Dan Bab Langkah Kecemasan "
Add your comment