Sambal Tumis ikan Bawal Dan Bab Nafkah
Saya semasa kecil melihat contoh ibubapa saya sendiri. Arwah ayah sebelum itu menanam padi atau dipanggil pesawah. Arwah ibu akan bersama sama membanting tulang di bendang untuk urusan menanam padi dari menyemai sehingga memukul padi. Memukul adalah istilah orang Kelantan untuk proses mengasingkan buah padi dari batang pokok padi. Ini adalah proses manual menggunakan tulang 4 kerat. Proses terakhir untuk mendapatkan padi yang kemudian disimpan untuk kegunaan setahun. Tengahari mereka balik rumah untuk solat, makan dan pergi lagi.
Setelah kerajaan mengambilalih tanah kediaman dan tanah sawah, kami berpindah dan kedua ibubapa menanam tembakau. Pun mereka bersama sama menanam tembakau. Bila di rumah mereka saling bersembang. Bila arwah emak memasak di dapur, arwah ayah akan duduk di kawasan dapur juga menemani. Mereka solat berjemaah bersama sama.
Semua duit hasil pencarian bersama akan dipegang oleh arwah ibu. Dia yang menguruskan semuanya perbelanjaan keluarga, perbelanjaan persekolahan anak anak. Jadi dengan kata lain, semua nafkah dan perbelanjaan keluarga adalah diusahakan oleh arwah ayah dengan dibantu arwah ibu.
Insya Allah hidup mereka penuh harmoni, tiada bercampur dengan orang lain tanpa urusan yang mustahak. Tidak mengata mengumpat orang lain. Tiada dosa seperti yang banyak berlaku sekarang ini. Walaupun ada televisyen, jarang mereka menontonnya.
Dua hari yang lalu, bestfriend saya menghantar video menunjukkan bagaimana seorang suami yang membuka dompet isterinya yang sedang bersiap sedia untuk keluar. Bila di dapati, dompet isteri tersebut kosong, si suami dengan diam diam telah memasukkan duit ke dalamnya. Hahaha beruntung sungguh kedua duanya.
Dunia akhir zaman ni, dengar perkataan dosa, tak rasa apa apa pun. Ramai suami tak menunaikan kewajipan memberi nafkah pada isteri pun tak takut dosa, tak takut neraka. Suami seperti ini bukan kerana tak ada duit. Masa dapat income berpuluh ribu pun tak bagi. Lagi disorok dari isteri takut isteri minta hutang hutang yang dipinjam. Sementelah lah kalau bergaji rendah, lagi liat nak bagi nafkah.
Hairan sungguh melihat keberanian orang macam ni untuk mengadap Allah. Kita kalau dengar dosa, dengar padang mahsyar, dengar titian sirat, rasa seriau seluruh badan.
Sejak kecil dah selalu diberitahu titian sirat tajamnya melebihi tajam mata pedang, halusnya umpama sehelai rambut dibelah tujuh. Itu lah cerita yang mengerikan di dengar sejak kecil. Apa lagi dengar azab neraka yang membakar kulit dan ditumbuhkan kulit baru untuk penghuni neraka merasai azabnya api neraka yang berpuluh kali ganda kepanasan api di dunia.
Itu lah sebab kita kena ada ilmu. Kalau tak ada ilmu, kena mencari ilmu. Supaya kita tahu apa langkah untul menjauhkan diri dari api neraka dan apa amalan yang memberi banyak pahala dan menjanjikan syurga.
Ramai orang yang badan dah berbau tanah masih melakukan dosa yang nyata. Nyata seperti berbohong, menipu mencuri membunuh. Masih tak nak berubah, masih hidup dalam kejahilan agama.
Aduhaai belum lagi melihat dosa terang terangan yang dibuat di media social dengan maki hamun dan sumpah seranah pada orang yang dia pun tak kenal kita. Tapi kita memaki seolah dialah musuh kita.
Akhir zaman banyak perkara yang menjadi kabur. Yang benar, nampak seperti salah. Yang salah nampak seperti hero. Jaga diri kita dengan berhati hati umpama melangkah di tempat yang penuh dengan duri sembilu. Salah langkah, kaki akan tertusuk duri. Ok setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.
Saya sebenarnya teringin sangat nak makan sambal tumis ikan temenung lemak. Tapi tak jumpa. Jenuh juga mencarinya. Saya dulu yang tahu adalah ikan kembung sahaja. Tak tahu pun spesis iqk kembung ni banyak.
Antaranya ialah ikan temenung lemak yang menpunyai perut yang labuh sikit dan menpunyai ekor warna kekuningan. Ianya dikatakan sangat sedap digoreng atau dimasak sambal.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…
Sambal Tumis Ikan
Oleh: Azie Kitchen
Bahan kisar:
5 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
Segenggam cili kering - rebus
Bahan bahan:
½ ekor ikan bawal - 500 gram - lumur garam kunyit
3 ulas bawang putih - hiris
1 keping asam keping
1 cawan air
½ sudu besar gula
½ sudu kecil garam
½ kiub pati ayam
Sedikit gula Melaka
1 biji bawang besar - hiris bulat
Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bawang putih hiris sehingga naik bau. Masukkan bahan kisar. Tumis sehingga terbit minyak atas api perlahan.
Masukkan sedikit air, asam keping. Masak sehingga terbit minyak lagi. Ulang ulang masuk air sehingga sambal terbit minyak beberapa kali. Ini bagi memastikan sambal betul betul masak.
Masukkan gula, garam dan serbuk perasa.
Akhir sekali masukkan bawang besar hiris dan ikan goreng. Kacau rata dan tutup api.
Catat Ulasan for "Sambal Tumis ikan Bawal Dan Bab Nafkah"
Add your comment