Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Pulut Pagi Dan Bab Musim Panas



Saya tidak menyedari yang sebenarnya saya telah berada di musim panas atau summer di United Kingdom. Kenapa saya tidak sedar? Ianya kerana ianya tidaklah sepanas yang saya sangkakan. Masih ada mendung, masih ada redup dan masih ada angin sejuk yang bertiup bila kita berada di luar atau ketika pintu dibuka. 

Saya tidak pernah ke sini di musim panas. Yang paling hampir ialah bulan September 2023 ketika kami sekeluarga datang untuk majlis graduation Nana untuk Fellowship di Royal College of Surgeons in Ophthalmology. Sepatutnya bulan September dah masuk musim luruh dan tidak panas. 

Ketika itu memang panas sehingga memang tak tertahan. Berpeluh peluh terutama bila di rumah. Nak tidur memang sangat tak selesa walaupun di bawah kipas. Aliya dan Haider memang tak berbaju ketika di rumah. Naik bas dan naik uber, muka berpeluh berminyak seperti berada dalam sauna. 

Jadi tertunggu juga bagaimana keadaannya kalau di musim panas sebenar. Hmm Alhamdulillah kerana kini walaupun panas tapi dengan buka kipas di siang hari, sudah rasa OK. Atau saya berpindah duduk di ruang meja makan yang agak teduh, sudah merasa nyaman. Tidur malam dengan kipas pun sudah selesa. Malam tadi, saya tidur tanpa kipas pun dah nyaman. Cuma buka tingkap sahaja. 

Sejak saya menamatkan pengajian dan bekerja, saya mulai hidup dan bergantung dengan aircond hampir 24 jam sehari. Dari pejabat, dalam kereta dan di rumah. Rutin setiap hari sehingga bersara, hidup di bawah aircond sahaja. Setelah saya bersara, masa saya banyak di rumah dan sentiasa kepanasan. Dalam rumah panas, keluar rumah pun panas. 

Kadang kadang tak tahan juga untuk sentiasa buka aircond kerana bil elektrik di rumah kami pernah mencecah RM3000 sebulan. Jadi saya buka hanya sesekali sahaja di siang hari. Akibatnya saya dan Aliya berpeluh peluh dan berminyak muka kerana kepanasan. 

Oleh kerana bill yang tinggi, Nana dan adik beradik berpakat untuk memasang solar bagi mengurangkan bil elektrik. Tapi saya dah ke sini ketika solar dipasang. Harapnya ia akan membantu mengurangkan bil di rumah kami. 

Di sini, saya merasa hidup selesa tanpa aircond. Antara sebab kenapa saya suka pergi bercuti ke negara 4 musim ialah kerana cuacanya yang sejuk menjadikan kita nyaman. Ianya seolah kita berada di dalam bilik aircond yang besar. Aircond semulajadi yang sejuk dan nyaman. Make up pun tak cair tak perlu nak touch up. 

Alhamdulillah syukur kerana Nana menyambung pengajian sub specialty dalam Medical Retina beliau di Moorfields Eyes Hospital London ini, dapatlah saya merasai hidup di negara 4 musim. Semasa Juita dan Aween belajar di sini, saya tidak berpeluang pun untuk datang dan tinggal lama kerana saya masih bekerja. Maka nikmat apa lagi yang hendak engkau dustakan. OK setakat ini dahulu, jom masuk bab masakan.   


Biasalah bila dah masuk bulan ketiga di perantauan ini, mula lah rindukan pelbagai masakan Malaysia. Saya tidak pernah meninggalkan Malaysia lama kecuali semasa mengerjakan ibadah Haji sahaja. 

Saya belajar pun di Universiti Malaya jer dulu. Orang lain berpeluang hidup di luar negara masa belajar. Adui bila terpandang pula masakan kegemaran masa kecil, lagi lah rindu membuak buak. 

Saya menanya Dilla di mana atau macam mana cara nak proses buah kelapa kerana saya nampak ada kedai berdekatan rumah kami yang menjual buah kelapa yang dah dikupas sabutnya. 

Biasalah Dilla, bila saya menanya sesuatu, akan terus di offer kelapa parut dalam stock di rumahnya. Sedangkan Dilla berniaga kuih muih Melayu yang menggunakan kelapa parut seperti kuih kaswi. Terima kasih Dilla kerana banyak membantu kami.

Kalau ikutkan pulut yang dimakan dengan kelapa parut ditanak atau dikukus dengan air sahaja. Tapi saya nak pulut yang rasa lemak lemak sedikit, jadi saya tuanglah sedikit sahaja santan untuk menjadikan santan cair cair. 

Masya Allah sangat sedap, lembut dan rasa lemak santan dan garamnya. Alhamdulillah atas nikmati yang diberi. Tak ada ikan kering, hanya ada ikan bilis dan ikan rebus yang digoreng.  

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....


Pulut Pagi
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 gelas beras pulut Thai
Santan cair secukupnya
Sedikit garam
Sedikit minyak
Kelapa parut + sedikit garam
Ikan rebus - digoreng

Cara cara:
Masukkan beras pulut yang telah dibasuh dan ditos ke dalam loyang. 

Tuang santan cair melebihi sedikit dari paras beras pulut. Masukkan minyak dan garam. Ratakan. Nota: biasanya untuk pulut pagi, masak pulut dengan air sahaja. Tapi saya nak ada sedikit lemak, saya guna santan cair sahaja. 


Panaskan periuk sehingga air mendidih. Kukus sehingga santan kering. Kemudian kacau dan kukus sekejap lagi. Nota: saya kukus lebih kurang 20-25 minit. 



Akhir sekali, hidang dengan kelapa parut yang digaul dengan garam dan ikan rebus goreng. 


Catat Ulasan for "Pulut Pagi Dan Bab Musim Panas "