Udang Terung Kentang Goreng Berlado
Samada kita sedar atau tidak, masa sangat pantas berlalu. Tengok sahaja sekeliling kita. Jika hari tu, rasa Aliya masih baby, sekarang dah besar dah boleh bersembang sembang dengan kita. Boleh siap menegur kita bila lupa melakukan sesuatu. Hari tu masa dalam bas ke Central London, Aliya memanggil saya, Tok Mama, hold tight. Siap lagi tunjuk cara pegang di tiang di dalam bas.
Belum lagi dikenang kembali ketika usia 20an, terasa sangat risau bila nak masuk usia 30. Begitu seterusnya, nak masuk 40an, 50an. Akhirnya kena terima hakikat bahawa penuaan adalah proses semulajadi, usia tidak boleh ditahan, masa akan terus berjalan. Dulu ketika kita muda remaja, kita melihat ibubapa kita yang tua. Sekarang kita berada di tempat mereka, bila melihat anak cucu yang berada di usia 20an.
Cuma saya mahukan penuaan yang gracefully. Bergaya sesuai usia. Menjaga kulit wajah untuk mengekalkan kelembapan kulit dsb. Bila makin berusia, kulit akan hilang keanjalan dan juga tona wajah akan menjadi tidak sekata. Kos produk skincare untuk menjaga kulit berusia juga mahal. Kita perlukan serum dan moisturiser yang kuat dari biasa.
Saya yang dari remaja tidak pernah menpunyai kulit wajah yang mulus seperti mana rakan sebaya, jadi saya memang dah menerima keadaan ini tanpa mahu beria ia memulihkannya. Dah biasa dengan masalah muka berjerawat yang akhirnya hilang sendiri tat kala usia meningkat.
Bila bekerja pula, saya juga tidak mampu untuk mendapatkan rawatan muka sepertimana orang lain. Komitment tinggi dengan anak anak yang ramai, menjadikan saya tidak berpeluang untuk mendapatkan itu semua sehingga sekarang. Pendek kata, saya bersyukur dengan dikurniakan dengan apa yang ada pada diri saya sekarang tanpa perlu membuat apa apa perubahan. OK setakat ini dahulu, coretan merapu dari saya. Hahaha.
Saya makan lauk ini semasa ke Cardiff Januari baru baru ini di mana sahabat saya, Umi Anne telah menjemput kami ke rumahnya untuk makan malam. Antara lauk yang dihidangkan ialah lauk udang terung kentang berlado. Bila berada di perantauan, jumpa masakan Melayu memang lah sedap.
Lagi pulak saya memang suka terung. Terung berlado, pajeri terung atau goreng terung biasa jer pun sedap. Tapi terung kat sini lain sikit, besar macam buah labu air pulak. Kata Umi, kalau terung macam di Malaysia harganya lebih mahal. Tak kisahlah terung macam mana pun kan, asalkan terung dan rasanya juga rasa terung. Hahaha.
Bila Nana dan Alain beli udang segar ketika mereka ke Billinggate, saya terus teringat untuk memasak lauk ini. Udang yang ini memang saiz sangat besar. Jadi saya guna 6 ekor sahaja. Lagi pulak saya masih lagi allergy, jadi tak berani nak makan udang dulu.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Udang Terung Goreng Berlado
Oleh: Azie Kitchen
Bahan bahan:
5-6 ekor udang - goreng
1 biji terung - goreng
2 biji ubi kentang - goreng
1-2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula
Garam secukupnya
Bahan kisar kasar:
2 biji cili merah
1 biji cili padi hijau
1 biji bawang besar - saiz kecil
3-4 ulas bawang putih
Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng udang, terung dan kentang secara berasingan. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak yang sama, tumis bahan kisar sehingga masak. Masukkan sedikit air dan tumis lagi sehingga terbit minyak.
Masukkan sos tiram, gula dan garam secukup rasa.
Akhir sekali, masukkan semua bahan yang telah digoreng tadi. Kacau sehingga semua bergaul rata dan tutup api.
Selamat mencuba…
Catat Ulasan for "Udang Terung Kentang Goreng Berlado"
Add your comment