Sambal Ayam Untuk Berbuka Puasa Hari Arafah
Alhamdulillah ini adalah kali pertama saya berpuasa di London dengan waktu siang yang panjang. Alhamdulillah dipermudahkan untuk kami bangun bersahur. Risau juga kalau tak terjaga. Maklumlah masuk solat Isyak pun dah 10.30 malam.
Keliling kelopak mata dah pedih pedih kerana mengantuk menunggu masuk waktu Isyak. Lepas solat terus tidur. Waktu solat Subuh pula, 2.48 pagi. Semoga dipermudahkan urusan kami dan kita semua hari ini.
Teringat kenangan sewaktu mengerjakan Haji Disember 2006 di mana ketika ini, kami sedang mengerjakan wukuf di Padang Arafah. Waktu itu, saya tidak nampak pun kesesakan di Padang Arafah. Yang nampak hanya jemaah dalam khemah kami sahaja. Urusan tandas pun OK juga tidaklah menunggu terlalu lama. Urusan keberangkatan ke Mudzalifah juga dipermudahkan.
Begitu juga dengan ketibaan di khemah di Mina. Lancar sahaja. Malahan saya dan 2 orang sahabat saya adalah orang pertama yang masuk khemah. Ambil tilam dan terus baring, saat jemaah lain lain baru nak masuk khemah dan bersesak sesak di dalam khemah.
Hanya sekarang baru saya tahu yang sahabat kami yang pergi dengan pakej Tabung Haji pada masa yang sama dengan kami, mengambil masa berjam jam lamanya untuk ke Mina kerana kesesakan jalanraya.
Perjalanan Haji adalah perjalanan kita untuk mematuhi perintah Allah. Kebersamaan di antara kita di mana semua memakai pakaian ihram warna putih. Itulah gambaranya kita di Padang Mahsyar bila mengadap Allah. Tapi sekarang mengerjakan ibadah Haji juga ada kasta dan kelas kelas. Yang berduit boleh duduk di tempat selesa dengan kemudahan peti sejuk dsb.
Tak mengapa lah, mungkin itu rezeki mereka. Begitu lah juga kasta di akhirat kelak. Siapa yang banyak amalannya akan mendapat keistimewaan di saat manusia lain dalam saat genting, dahaga dan kritikal. Jadi sementara kita masih ada nyawa dan masih dalam puasa Hari Arafah, jom perbanyakkan berzikir, berselawat, mengaji dan berdoa.
Saya menyediakan sambal yang yang sedikit kering dan berpalut dengan ayam ini untuk dimakan waktu berbuka puasa hari ini iaitu sempena puasa Hari Arafah di London.
Memasak sambal ini sangat mudah kerana bahan bahan yang digunakan tidak banyak. Tapi teknik untuk memasak sambal itu yang perlu betul betul caranya bagi memastikan sambal masak sempurna dan sedap.
Sambal ini boleh juga menggunakan telur rebus yang digoreng seketika, telur goreng mata, ikan dsb. Memang sedap bila sambal digaul gaul dengan nasi putih panas panas. Tak perlu lauk lain dah. Cukup kalau ada ulam timun. Wallaa sedap dan boleh makan bertambah tambah ni.
Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....
Sambal Ayam Terpaling Sedap
Oleh: Azie Kitchen
Bahan:
½ ekor ayam - lumur dengan kunyit dan garam
½ sudu kecil pes asam jawa
1 ½ sudu besar gula - kena ada rasa manis sikit
½ sudu kecil garam atau secukupnya
Kicap lemak manis secukupnya
1 biji bawang besar - hiris
Minyak masak
Bahan kisar:
2 sudu besar cili kering kisar
1 ½ biji bawang besar
3 ulas bawang putih
Cara cara:
Goreng ayam sekadar masak. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak sama (keluarkan sedikit jika terlalu banyak), tumis bahan kisar sehingga terbit minyak. Tuang air dan tumis lagi sehingga terbit minyak lagi. Ulang proses tuang air sehingga 2-3 kali sehingga sambal benar benar garing dan terbit minyak.
Setelah terbit minyak dan masak sempurna, baru masukkan pes asam jawa, gula, garam dan kicap lemak manis. Kacau rata.
Masukkan bawang besar dan kacau rata sehingga bawang separuh layu.
Masukkan ayam goreng tadi dan kacau rata. Renihkan seketika bagi memastikan sambal sebati dengan ayam.
Tutup api dan sedia untuk dimakan dengan nasi putih panas panas.
Nota:
Sambal ini jenis kering dan berpalut, bukan sambal basah seperti sambal udang atau sotong. Tapi kalau terlalu kering, boleh masukkan sedikit air panas dan kacau rata.
Catat Ulasan for "Sambal Ayam Untuk Berbuka Puasa Hari Arafah"
Add your comment