Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kari Daging Dan Hari Raya Aidil Adha Di London



Alhamdulillah, hari ini kami di London telah pun beraya Hari Raya Aidil Adha iaitu 10 Zulhijjah. Saya bangun pagi dan mandi sunat dahulu dan kemudian menunaikan solat sunat Aidil Adha. Terasa sangat penat mungkin kerana pertama kali semalam berpuasa yang sangat lama. 

Hari Raya Aidil Adha adalah hari perayaan yang berkait dengan pengorbanan dan memperingati peristiwa Nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anaknya, Ismail, sebagai tanda ketaatan kepada perintah Allah. Kemudian, Allah SWT menggantikan Ismail dengan seekor kibas, yang menandakan kasih sayang dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya. 

Kita sebagai umat Islam yang taat perintah Allah disarankan untuk melaksanakan ibadah korban di mana haiwan ternakan seperti lembu, kambing, atau unta disembelih dan dagingnya diagihkan kepada mereka yang memerlukan. 

Daging korban dibahagikan kepada 3 bahagian. Orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, mengagihkan 1/3 kepada golongan fakir miskin dan 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya seperti saudara-mara atau jiran-tetangga. 

Ibadah korban bukan sahaja menuntut pengorbanan harta, tetapi juga melambangkan sifat reda dan tawakal kepada Allah SWT. Maklum untuk satu bahagian ibadah korban lembu antara RM700-RM1000. Manakala untuk seekor kambing pula, antara RM1200-RM1500. Untuk korban seekor kambing, kita boleh meniatkan untuk satu keluarga. Teringat arwah Bonda saya yang setiap tahun menyimpan duit untuk melakukan ibadah korban sehingga meninggal dunia. 

Selain itu, pada Hari Raya Aidil Adha kita disunatkan untuk perbanyakkan bertakbir mulai pagi hari Arafah sehingga memasuki waktu solat Asar hari Tasyrik terakhir. Takbir juga dilakukan setiap kali selepas selesai solat fardhu. Takbir adalah tanda kesyukuran yang kita lakukan dengan mengagung dan membesarkan Allah.

Lafaz takbir ialah seperti di bawah:

Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Laa ilaaha illallahu wallahu akbar
Allaahu akbar walillaahil hamd’

Ulang sebanyak 3 kali

Allahu akbar Allahu akbar Allahu akbar
Allahu akbar kabiiraa Walhamdulillaahi katsiiraa Wasubhaanallaahi bukrataw wa asiillaa
Laa ilaaha illallallahu Walaa na’budu illaa iyyaahu Mukhlishiina lahuddiin Walau karihal kaafiruun
Laa ilaaha illallallahu wahdah Sadaqa wa’dah Wanasora ‘abdah Wa a’azza jundahu Wahazamal ahzaaba wahdah
Laa ilaaha illallaahu wallaahu akbar
Allaahu akbar walillaahil hamd’

Jadi jom kita sama sama amalkan sebaik mungkin dan sebanyak yang termampu sementara kita masih ada hayat lagi. Selagi kita hidup, kita masih boleh menambah amalan dan menambah pahala dengan melakukan ketaatan dan segala perintah Allah. Juga jangan lupa untuk terus berselawat sebanyak 1000 kali sehari kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW. OK setakat ini dahulu, semoga bermanafaat.


Saya ni kalau memasak masakan Melayu, baru ada selera sedikit. Tapi masakan menggunakan bahan yang dibawa dari Malaysia, baru terasa macam Malaysia. Kebetulan saya ada bawa rempah kari dari Malaysia hari tu, jadi dapat le memasak kari kita. Hahaha.

Serious kari ini sangat sedap juga dimakan dengan roti. Saya makan dengan roti jer. Daging di sini pun mudah empuk tak perlu nak masak lama lama. Kalau kat tempat kita, masak sekejap ni mesti daging akan liat. Jadi kalau masak daging, saya mesti guna pressure cooker untuk jimatkan masa di dapur. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…




Kari Daging dan Telur
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
300 gram daging
2 biji telur rebus
1-2 sudu besar serbuk kari daging
Pes asam jawa
Garam
Sedikit gula dan gula Melaka
1 sudu besar kerisik
200 ml santan

Bahan hiris:
1 biji bawang besar - saiz sederhana
3-4 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan hiris sehingga naik bau dan layu, masukkan rempah kari yang dibancuh dengan sedikit air. Tumis sehingga terbit minyak. Masukkan air dan tumis lagi sehingga terbit minyak. 

Masukkan daging dan masak sehingga daging separuh empuk. Masukkan santan dan masak lagi sehingga daging benar benar empuk. 

Masukkan pes asam jawa, gula, gula Melaka dan garam secukupnya. Setelah mendidih dan terbit minyak, masukkan kerisik. 

Jika nampak kuah pekat dan tidak terbit minyak, masukkan air sedikit demi sedikit. Untuk kuah terbit minyak cantik, minyak kena banyak, santan tak boleh banyak. 


Setelah daging empuk, saya masukkan telur rebus. Kacau rata dan boleh tutup api. Nota: setelah sejuk, kuah akan jadi lebih pekat, jadi pastikan kepekatan kuah adalah sederhana. Sedia untuk dinikmati. 


Catat Ulasan for "Kari Daging Dan Hari Raya Aidil Adha Di London"