Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Cencaru Sumbat



Insya Allah sama sama doakan agar kita dipanjangkan usia dan diberikan kesempatan untuk memburu malam Lailatul Qadr beberapa hari lagi. Hidupkan malam bermula dari solat Qabliah Maghrib dan diakhiri dengan solat Subuh berjemaah. 

Tapi andai kata kita tidak dapat melakukan semuanya, jangan tinggalkan semua. Kita buat yang terbaik dan terikhlas kerana Allah Taala. Kita dapat syurga bukan kerana banyaknya amalan kita tapi kerana ikhlas dan redha Allah. Kalau kita tengok kes pelacur yang memberi minum anjing yang sedang kehausan.  

Kisah ini diceritakan oleh Rasulullah SAW yang ertinya: Ketika seekor anjing berputar atau mengitari pada sumur, di mana dia hampir mati oleh kehausan, tiba-tiba salah seorang pelacur Bani Israel melihatnya. Pelacur itu melepas sepatu kulitnya dan memberi minum (dengan wadah sepatu) kepadanya. Maka perempuan itu diampuni sebab demikian. (HR Bukhari).

Imam Bukhari dalam sebuah riwayat berpendapat, kisah tersebut sebagai bentuk ungkapan terima kasih dari Allah SWT kepada sang wanita. "Kemudian, (Allah SWT) memberikan pengampunan padanya, dan memasukkannya ke dalam surga," Semuanya berlaku dengan izin dan redha Allah. 

Jadi sempena berada di bulan Ramadhan ini, perbanyakkan berdoa memohon redha Allah, memohon syurga firdaus. Angkat tangan ketika 1/3 akhir malam kerana Allah mahu beri keampunan pada yang memohon keampunan dan Allah mahu tunaikan hajat pada yang memohon hajat. Berdoa dengan penuh keyakinan. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu sekiranya seorang lelaki itu mengangkat tangan ke arah-Nya (dalam berdoa), lalu Dia membiarkan kedua tangan tersebut kosong dan tertolak. Riwayat Al-Tirmizi (3556)


Dah lama teringin nak makan ikan cencaru sumbat. Saya kadang rasa tak berbaloi nak masak ikan sebab anak anak semua tak suka ikan. Tapi bila nak beli, melihatkan ikannya dah langsung tak rasa berselera. Harga pun boleh tahan, yang ikan saiz kecil tu pun RM7 seekor. Tapi saiz macam ni, biasanya tak berapa lemak dan tak sedap. Kena cari saiz sederhana. 

Jadi mahu tak mahu, saya kena juga buat sendiri. Tapi buat sendiri, kalau sekadar 2 ekor jer macam tak berbaloi juga. Terus minta Hubby belikan 4 ekor ikan cencaru bersaiz sederhana. Baru berbaloi dan saya pun boleh makan meratah ratah. 

Serious sedap ikan cencaru sumbat saya hari ini. Lagi lagi menggunakan ikan segar. Cumanya, ikan bukan dibelah belakang lagi tapi dibelah terus sehingga ke kepala. Itu dah macam nak buat ikan kering. Hahaha saya terdiam sebab Hubby yang pergi membelinya dan minta supaya budak di kedai tu siangkan dengan dibelah belakang. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Ikan Cencaru Sumbat
Oleh: Azie Kitchen

Bahan tumbuk kasar:
3-4 genggam cili kering - rebus dan tos
Garam kasar secukupnya 
¼ keping gula melaka
Serbuk perasa - opsyenal
1 ketul asam jawa tanpa biji -  saiz bola pingpong
5-6 biji bawang merah - hiris

Cara cara:
Ikan cencaru dibelah belakang dan dilumur dengan garam.

Tumbuk kasar semua bahan di atas kecuali bawang merah. Sambal itu boleh dimakan begitu sahaja. Jadi pastikan sambal kita secukup rasanya. 

Setelah itu, masukkan bawang hiris dan gaul rata. 


Sumbat sambal ke dalam ikan dan balut ikan dengan daun pandan untuk kurangkan sambal keluar ketika menggoreng dan juga untuk aroma.


Panaskan minyak, masukkan serbuk kunyit ke dalam minyak dan goreng ikan sehingga masak.




Catat Ulasan for "Ikan Cencaru Sumbat"