Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kerang Rebus Serai dan Akhlak Baik Ketika Mengerjakan Haji



Alhamdulillah saya bersiaran lagi. Haa jangan lupa untuk klik iklan yang keluar di blog tau. Bila dah bersara ni tak ada beza hari kerja, hari cuti, hari minggu, hari kelepasan am dsb. Pagi pagi bangun untuk menghantar Aliya ke sekolah, sekali Hubby cakap hari ni cuti. Adui baru ingat hari ini Hari Thaipusam. 

Saya pernah dengar orang bersara ini  hanya menunggu mati sahaja sehari harian. Setiap hari memperbanyakkan ibadah sebagai persiapan dan bekalan. Semakin hari usia semakin pendek dan singkat sebenarnya bukan usia semakin meningkat seperti yang diperkatakan setiap kali bila tiba hari lahir. 

Elakkan membuat dosa penganiyaan dan kezaliman sesama manusia apa lagi membalas dendam. Apa sahaja, jika ada biar sahaja Allah Yang Membalasnya. Dosa sesama manusia ini, hanya boleh diselesaikan dengan manusia di Padang Mahsyar. Sanggupkah kita? Jangan lah kerana ada kuasa, kita bertindak dengan tidak adil dan bermotif kepentingan peribadi. 

Hari ini saya kongsikan petikan dari kuliah Zoom Tokku Pasir Gudang berkenaan akhlak yang baik. Tapi saya hanya mengambil kaitan akhlak yang baik dalam mengerjakan ibadah Haji. Semasa saya mengerjakan Haji dulu, ustaz berpesan jaga jaga, supaya tidak gugur Haji. Tanpa memberi penjelasan. Secara jujur masa tu, saya tidak faham apa yang dimaksudkan kerana tidak dijelaskan.  

Semua ibadah yang disyariatkan dalam Islam adalah untuk mendidik akhlak. Ada falsafah baik. Contoh, semasa mengerjakan Haji, buang pangkat, buang title dengan semua memakai kain ihram sama yang berwarna putih. Matlamat semua jemaah Haji adalah sama. Semua mencari pengampunan dan keredaan Allah dan mencari mustajab doa. Kita diajar berakhlak baik dan tidak marah marah supaya tidak rosak ibadah haji kita. Kepentingan akhlak baik ialah kerana ianya menyempurnakan ibadah.

Ada yang bertanya soalan berkenaan mereka yang pergi menunaikan Haji dengan pakej Haji kayangan. Jawapan ustaz ialah sombong dan meninggi diri tak berkait dengan pangkat, harta, rumah besar. Tawadduk bukan apa kita pakai tapi hati kita merendah diri pada Allah. 

Pakej Haji yang mahal tak ada kaitan dengan tawadduk. Ada orang yang bayar pakej Haji murah tapi berakhlak sombong dan suka membangga diri. Yang penting ialah haji yang mabrur. Bagaimana kita berusaha memperbaiki akhlak untuk mendapat haji yang mabrur. 

Tawadduk adalah perintah Allah. Kaya miskin adalah ujian. Bukan apa yang kita makan atau yang kita pakai. Tapi apa yang ada di hati kita menunjukkan tawadduk kita. Jangan menghina sesama manusia. Setiap orang menpunyai rezeki masing masing. Ada orang macam ni. Ada barang berharga mahal dan ada yang murah. Bila kaya, kita tidak menghina orang miskin tapi menikmati apa yang Allah lapangkan untuk kita. Cukup setakat ini dan semoga bermanafaat.


Kerang adalah antara masakan laut yang menjadi kegemaran Aween. Beberapa kali dia meminta saya belikan kerang bila saya ke kedai Acheh. Tapi setiap kali ke sana, tak ada kerang kerana katanya harga kerang yang mahal menjadikan tidak ramai yang membelinya.

Satu hari ketika ke kedai Acheh untuk membeli ayam, ternampak ada kerang yang segar, tersengih sengih. Hahaha itu tandanya kerang segar walaupun dikatakan tersengih sengih macam kerang busuk. Kerang segar akan terbuka bila dibiarkan dalam bekas. 

kalau memasak kerang, lebih sedap memasak dengan resipi yang simple yang tidak menghilangkan kemanisan kerang. Jadi saya memasak dengan merebus sahaja kerang dengan serai. Jika suka, boleh juga tambahkan daun kunyit untuk memberikan lebih aroma. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba....


Kerang Rebus Serai
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
500 gram kerang - bersihkan 
4 batang serai - ketuk 
3 ulas bawang putih - ketuk 
1 sudu kecil serbuk perasa 
Garam secukup rasa 
Air secukupnya

Cara cara: 
Masukkan kerang, serai, bawang puth, garam dan serbuk perasa dalam periuk.

Kemudian masukkan air secukupnya dan kacau sebati.

Biarkan mendidih sehingga kerang sekadar terbuka. Jangan masak lama kerana isi kerang akan menjadi kecut. Tutup api dan sedia untuk dinikmati. 



Catat Ulasan for "Kerang Rebus Serai dan Akhlak Baik Ketika Mengerjakan Haji"