Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ikan Cencaru Sambal



Alhamdulillah hari ini adalah 10 Muharram, hari yang dinanti nantikan oleh umat Islam untuk berpuasa sunat kerana fadhilatnya yang cukup besar. Bulan Muharram adalah bulan pertama tahun baru kalendar Islam. 

Bulan Muharram adalah antara bulan bulan haram yang adanya hari Asyura yang mulia dan besar ganjarannya bagi orang yang berpuasa pada hari tersebut. Sebagai bulan haram, bulan Muharam juga dimuliakan dan sangat dihormati. Sepanjang bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang.

Seorang lelaki telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang bulan apakah yang baginda perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda S.A.W:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Maksudnya: Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah – Riwayat al-Tirmizi (741)

Fadhilat puasa ini yang sangat besar seperti yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya. – Riwayat Ibn Majah (1738)

Namun umat Islam digalakkan untuk berpuasa juga pada Hari Tasu’a iaitu hari sebelum (9 Muharam) atau hari selepasnya (11 Muharam). Ianya adalah bertujuan bagi menyelisihi amalan penganut agama Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharam sahaja. Penganut Yahudi berpuasa pada 10 Muharram sebagai mengingati hari di mana Nabi Musa diselamatkan dari Firaun selepas berjaya melalui lautan yang terbelah. 

Insya Allah semoga kita diberikan kesihatan yang baik dan kemudahan untuk berpuasa pada hari ini. Mudah mudahan Allah memberikan ganjaran pahala yang besar buat kita semua yang berpuasa sunat 10 Muharram. 



Saya menpunyai perangai yang sedikit pelik bila bab memilih makanan. Sekali dah suka satu satu lauk, saya akan pilih lauk yang sama setiap kali pergi walaupun memang teringin nak cuba lauk lain. Yang kedua, saya akan tengok lauk lauk yang dijual berkali kali dan kemudian tak jadi beli. 

Itu sebab bila nak makan nasi lemak di seksyen 8, saya akan minta Nana yang belikan. Kalau saya yang pergi, memang lepas tengok tengok akhirnya saya ubah fikiran dan tak jadi beli apa apa. 

Berbalik pada lauk sambal ikan cencaru ni, saya tengok di lori yang jual nasi lemak tu lah. Nampak sedap dan teringin sangat. Dah lebih 5 kali ke sana, tengok tengok macam dah terliur sangat. Akhirnya tak beli. Saya pun tak tahu kenapa saya tak beli sehingga kini. Itulah sebab nya saya rasa saya ni pelik sikit.  

Jadi sebab dah lama sangat teringin nak makan ikan cencaru sambal macam di gerai nasi lemak tu, saya beli ikan dan masak sendiri. Itu pun bila tengok pagi ni, ikan yang dibeli semalam tak ada. Agaknya saya terlupa ambil selepas diberi untuk disiang. Saya pun order ikan cencaru dengan grab jer. 6 ekor dengan harga RM24 termasuk grab fee. Haa habis cerita gitu. 

Ikan cencaru sambal ni lain sikit dengan ikan cencaru berlado kerana yang berlado menggunakan cili hidup dan masa memasaknya pun sekejap jer. Yang ni pula, memasaknya agak lama untuk bahan tumis benar benar masak dan garing.  

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Juga jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba…..


Ikan Cencaru Sambal 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
4 ekor ikan cencaru - lumur garam dan kunyit  goreng
2 sudu besar gula pasir
1 sudu kecil garam
Sedikit bahan perasa
1 keping asam keping
1 biji bawang besar - hiris bulat

Bahan kisar:
3 biji bawang besar - saiz kecil
6 ulas bawang putih
20-25 tangkai cili kering - 4 sudu besar cili kisar
¾ cawan minyak masak

Cara cara:
Tuang bahan kisar dan sedikit air ke dalam kuali. Nyalakan api sederhana besar.

Masukkan juga asam keping, gula,garam dan bahan perasa. Masak sehingga bahan tumisan betul-betul masak dan terbit minyak. Nota: bila sambal kering masukkan lagi air secara berulang bagi memastikan sambal masak dan garing.

Apabila sambal telah berubah warna sedikit gelap, masukkan air dan masak hingga sambal mendidih.

Masukkan bawang besar dan ikan goreng. Kacau rata sehingga bawang separuh layu, tutup api.




Nota:
Jika suka, boleh juga masukkan sos tiram dan sos cili ke dalam sambal. Tapi saya lebih suka resipi tradisional yang tiada penggunaan sos.


Nota:
Selain ikan cencaru, sedap juga menggunakan ikan selar.


Catat Ulasan for "Ikan Cencaru Sambal "