Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Hari Raya Aidil Adha 29 Jun 2023 Yang Penuh Kenangan



Hari raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban memang meriah di Kelantan. Selang beberapa rumah akan ada penyembelihan lembu atau kambing korban. Setelah sekian lama tidak balik melakukan korban di kampung, tahun ini saya dan menantu Alain Iylia memutuskan untuk melakukan korban bersama adik beradik dan keluarga di rumah kakak.

Ini juga kali pertama saya balik sendiri kerana Nana terpaksa On Call di hari raya. Saya balik pada hari Selasa 27 Jun 2023. Seronok pula bila balik sendiri, kerana saya boleh berada di kampung lama lama mengikut masa yang saya sukai. Saya boleh habiskan masa dengan adik beradik dan anak anak buah. Memang hasrat saya sebaik bersara untuk balik kampung dan habiskan masa yang lama tapi saya bersara masa PKP, jadi hasrat itu tidak menjadi kenyataan. 

Kakak dan anak buah menunggu saya di airport. Semasa dalam perjalanan balik kami singgah di Kedai Mok Yoh Pak Kob untuk membeli lauk kerutuk itik serati. Alhamdulillah masih ada walaupun dah agak lewat. 


Saya bungkus untuk dibawa balik berbuka puasa. Kebetulan anak tuan kedai adalah menantu sahabat saya semasa di Universiti Malaya, jadi saya diberikan juga ikan gelama bekok yang sangat sedap.  Tidak lupa, lauk ikan percik di sini sangat sedap. Terasa sangat ori Kelantan punya ikan percik.



Seperti biasa, pagi pagi kami telah ke masjid untuk bersolat sunat raya. Solat sunat hari raya Korban dibuat awal untuk membolehkan urusan korban dibuat secepat mungkin. Maksudnya boleh selesai sebelum tengahari. 


Korban tahun ini sangat menyeronokkan kerana semua adik beradik dan anak buah ada bersama sama untuk membantu urusan menyembelih kemudian bersama sama melapah daging sehingga urusan membahagi daging pada mereka yang miskin dan jiran tetangga,

Tahun ini lembu kepunyaan kakak saya yang dikorbankan sangat besar. Bayangkan untuk menumbangkan lembu hampir 10 orang juga anak anak buah saya yang terpaksa memegang tali. Berat keseluruhan daging untuk lembu ini ialah 210 kg. Untuk satu bahagian, kita dapat 52 kg termasuk tulang. Daging untuk 1 bahagian ialah 30 kg. Bermakna daging yang kita boleh makan sendiri ialah 1/3 dari 30 kg iaitu 10 kg. Haa banyak tak? Baki lagi 20 kg akan dibahagikan pada golongan orang miskin dan jiran tetangga. 



Memang setiap tahun kakak saya akan beli lembu dan bela dulu untuk bagi gemuk sebelum dijadikan haiwan korban. Jadi haiwan korban kami biasanya memang gemuk dan cantik kerana dibela dan dijaga elok. Saya tidak dapat membawa balik daging korban dengan flight kerana terlalu berat. Maklum daging untuk bahagian saya dan Alain dah 20 kg, belum termasuk tulang lagi. Jadi ianya dikirimkan pada anak buah yang balik ke KL dengan kereta.

Sebaik selesai melapah daging, kakak ambil beberapa kilo daging untuk digoreng dan dimakan bersama sama selepas semua urusan selesai. Selain daging goreng, kakak saya juga menyediakan solok lada kerana dia tahu itu adalah makanan kesukaan saya. Ada juga kerutuk itik serati, gulai ayam kampung dan kerabu perut. Masya Allah dah lama tak makan sedap sedap macam ini. 

Keesokannya saya ke rumah kawan sepersekolahan Puan Maznah yang mengadakan majlis akikah dan kesyukuran di rumah baru beliau. Saya meminta anak buah, Dee untuk menghantar saya. Selepas makan makan, saya kemudian ke rumah abang kerana esoknya dah nak balik. 


Makanan hidangan hari raya di sana yang utama ialah ketupat palas, tapai pulut. Ketupat palas dimasukkan inti sambal daging. Pencucui mulut pula agar agar. Agaknya makan bermacam macam, menjadikan perut saya meragam berhari hari.

Hari Sabtu 1 Julai saya bertolak balik, kakak dan anak anak buah menghantar saya ke airport. Kemudian saya bertemu dengan sahabat mengaji dan sahabat umrah saya, Puan Roslina Yaacob. Kami dah lama tak bertemu sejak dia berpindah ke Kota Bharu.



Akhirnya saya tiba di lapangan terbang Subang dengan disambut oleh anak anak dan cucu. Alhamdulillah kerana akhirnya selesai ibadah korban kami pada tahun ini. Memang saya berazam selagi ada rezeki, saya akan melakukan ibadah korban. Mudahan ibadah kita semua diterima Allah Taala. Aamiin. 

Haa setiap kali balik ke sini, pasti tidak lupa untuk menikmati air tebu Laman Tebu Laris Ori yang diusahakan oleh adik ipar saya yang sangat sedap. Ianya dalam bentuk segar dan frozen. Kalau frozen tu, kita boleh nikmati bila bila masa rasa teringin. Boleh lawati Instagram dan Tik Tok mereka juga tau untuk membuat pembelian. 





1 ulasan for "Hari Raya Aidil Adha 29 Jun 2023 Yang Penuh Kenangan"