Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Sambal Tempoyak Daun Kayu Nogori



Saya ingin kongsikan satu doa yang kita jangan tinggalkan setiap malam sepanjang bulan Ramadhan iaitu "Allaahummaj’ Alna Min Utaqoo Fii Shahri Romadhan". Kita tak boleh hafal doa dalam bahasa Arab, boleh jer berdoa dalam bahasa kita supaya lebih penghayatan. Saya belajar doa ini dari Ustaz Ibrahim Muhammad ketika beliau memberikan tazkirah Zohor di Surau BNM beberapa tahun dahulu. 

Kita berdoa Ya Allah masukkan nama aku dan seluruh ahli keluarga ku dalam senarai nama nama mereka yang dibebaskan dari api neraka. Aamiin". Ini adalah kerana setiap malam dalam bulan Ramadhan, Allah akan membebaskan 60,000 nama penghuni neraka. Masya Allah. 

Banyak kelebihan bulan Ramadhan yang merupakan anugerah pada umat Nabi Muhammad SAW yang perlu kita rebut selain malam Lailatul Qadr dan pahala berganda bagi amalan wajib. Tak dapat melakukan semua, jangan tinggalkan semua. Rugi kalau kita tidak merebutnya. Sekarang kita tak rasa rugi sebagaimana rugi kewangan. 

Tapi bila kita meninggal, kita akan menyesal. Menyesal kerana tidak berbuat kebaikan dan tidak mendapat pahala. Kedua menyesal kerana tidak membuat lebih banyak kebaikan supaya dapat lebih banyak pahala. Orang berbuat baik dan jahat, kedua dua akan menyesal. 


Boleh klik entri sebelum ini di SINI. Kebetulan semua bahan ada dalam peti ais, itu yang jadi jer nak masak tempoyak daun kayu ini. Daun pucuk ubi dan daun kaduk memang ada di belakang rumah, ada juga sepokok pokok terung pipit. Isi petai memang dah ada dalam freezer. Yang beli cuma, daun kunyit sebab selalu tak mahu hidup bila ditanam walaupun beli anak yang dah besar. Huhuhu.

Takut saya nak tulis resipi sambal tempoyak daun kayu saya hari ini sebagai ori Nogori, kan ada yang komen mengatakan ianya bukan cara Nogori. Saya memang baca dalam blog cara menyediakan sambal tempoyak ori Nogori. Cara kali ini berbeza dengan sebelum ini di mana dulu, saya masukkan pucuk yang dihiris dulu sebelum dimasukkan santan. 

Walaupun saya tahu masakan Nogori pun banyak cara memasaknya contoh bab masukkan santan cair, santan pekat dalam masakan lemak cili padi.  Sama juga dengan asam pedas Melaka, terdapat pelbagai versi. Ada yang masukkan bawang putih, ada yang tidak, ada yang sekadar diketuk sahaja. Tak ada satu yang standard untuk seluruh negeri gitu. Ikutlah selera ibu ibu yang memasak. Dapur mereka, jadi mereka lah yang in charge. Betul tak? 

Apa pun, untuk rujukan masa depan lauk saya hari ini teramatlah sedap. Makan masa berbuka dan sambung makan pula masa sahur. Memang sangat sedap. Lauk lauk macam ni memang dapat membangkitkan selera. Tak perlu lauk banyak banyak. Ada satu lauk ikan goreng pun dah memadai untuk digandingkan dengan lauk ini. 

Jom layan resipi dan penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa video penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINISelamat mencuba...


Sambal Tempoyak Daun Kayu
Oleh: Azie Kitchen

Bahan kisar: 
6-8 biji cili padi - ikut pedas disukai
2 inci kunyit hidup

Bahan hiris halus:
2 cekak pucuk ubi
15 helai daun kaduk
2 helai daun kunyit
2 batang serai
Segenggam petai

Bahan lain:
¼ kg santan segar - guna 269 gram
3-4 sudu besar tempoyak - 170 gram
Segenggam terung pipit
5-6 ekor udang
2 sudu besar ikan bilis - tumbuk pecah
½ sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil garam atau secukupnya

Cara cara:
Masukkan bahan kisar dan kunyit hidup kisar ke dalam kuali dan masak seketika sekadar untuk memasakkan cili. Masukkan tempoyak dan kacau rata. Masukkan santan dan biarkan sehingga santan mendidih.

Masukkan serai, terung pipit, pucuk ubi dan daun kaduk hiris. Masak sehingga daun agak lembut. Jika perlu, masukkan sedikit air untuk mempercepatkan daun lembut.

Masukkan ikan bilis dan daun kunyit. Kacau rata. Akhir sekali, masukkan petai, udang dan garam secukupnya.

Masak sehingga pekat dan pucuk lembut, boleh tutup api. 








Catat Ulasan for "Sambal Tempoyak Daun Kayu Nogori"