Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Ayam Percik Kelantan Azie Kitchen Versi Mudah



Telah lebih seminggu saya kembali dari menunaikan ibadah umrah bersama anakanda saya, Juita. Tapi sehingga ke hari ini saya masih belum sihat sepenuhnya lagi. Saya memang batuk sebelum ke sana lagi dan berterusan batuk di sana. Semasa di sana, saya terpaksa berdoa setiap kali ke masjid agar wudhu saya kekal sehingga saya balik ke hotel. Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan. 

Selepas beberapa hari, saya telah ke hospital untuk melakukan ujian xray dan ujian darah. Ujian darah menunjukkan saya mengalami jangkitan kerana masalah resdung yang menjadikan saluran pernafasan saya bengkak. Jadi untuk beberapa hari ini, saya berehat sahaja di rumah sambil menghabiskan masa dengan anak anak dan cucu. 

Ramai follower saya yang bertanya tentang pakej umrah saya. Sebenarnya banyak pilihan pakej yang bergantung kepada bajet masing masing. Ada pakej orang “have have” yang lebih privacy, lebih kecil dan lebih mewah. 

Tapi saya memilih pakej biasa biasa sahaja dari Wira Saujana Travel yang telah beberapa kali saya pergi dengan mereka. Pihak pengurusan Wira Saujana pun sangat baik menyantuni jemaah samada di HQ atau semasa di tanah haram. Yang penting ianya menepati apa yang saya kehendaki iaitu hotel yang dekat. Itu sahaja. 

Ibadah umrah adalah ibadah individu antara seseorang dengan Allah. Jadi saya tidak kisah sangat dengan hotel mahal mewah dsb. Saya hanya mahukan hotel yang dekat untuk saya menjejakkan kaki saya bersolat di dalam Masjidil Haram dan masjid Nabawi. Saya ingin mendekati diri dengan Allah. Hotel dekat untuk memudahkan saya balik hotel untuk memperbaharui wudhu.

Kata anak saya, Nana bila saya bercakap berkenaan dengan pilihan pakej ialah, "Mama kena banyak bergaul dengan orang yang lebih susah, orang miskin". Saya terus menjawab yang saya tiada masalah, malah saya amat selesa bergaul dengan orang susah, sebaliknya saya tidak berapa selesa bergaul dengan orang kaya dan berkedudukan. 

Itu sebab saya seronok bersama sama dengan kumpulan umrah kami yang terdiri dari pelbagai peringkat golongan usia, ada yang muda, ada yang kanak kanak, ada yang perlukan wheel chair dsb. Itu semua tak menjadi masalah. Mendidik kita yang sihat untuk memahami dan menjadi lebih sabar. 

Malahan sepanjang di sana, bila melihat jemaah yang berusia yang ada masalah pergerakan, saya teringatkan arwah Bonda saya yang terpaksa menumpang kawan kawan yang muda dalam kumpulan untuk membantu. Semoga Allah membalas segala kebaikan yang mereka berikan pada Bonda saya. Insya Allah saya akan kongsikan catatan perjalanan umrah saya dalam entri entri yang akan datang. Jangan lupa membacanya. 



Resipi ayam percik Kelantan ada 2 jenis iaitu yang merah dan yang putih. Bezanya, satu dimasukkan cili kering untuk ianya sedikit berwarna kemerahan, tidak sampai pedas tau. Boleh rujuk entri sebelum ini SINI

Versi kali ini masih versi ayam percik mudah. Semua masih sama cuma cara ayam disediakan sahaja yang dipermudahkan. Kalau cara biasa, ayam selepas diperap, akan dikukus sehingga masak dan dibakar sebelum dilumur kuah percik. Itu sahaja. Kalau sekadar untuk makan cepat di bulan Ramadhan nanti, bolehlah ikut cara ini. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Kepada yang belum subscribe blog saya, boleh klik butang Follow Blog untuk dapat resipi dan entri terkini. Selamat mencuba semua.....  


Ayam Percik Kelantan Azie Kitchen Versi Mudah
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan;
Ayam - potong saiz ikut suka
Garam
½ - 1 inci halia - tumbuk halus
Sedikit serbuk kunyit

Lumur dan perap bahan di atas pada ayam. Panaskan minyak dan kemudian goreng ayam dengan masukkan semua sekali ke dalam kuali dan kacau rata. Goreng sekadar ayam masak sahaja. Nota: boleh juga goreng menggunakan air fryer.


Bahan tumbuk halus:
2-3 biji bawang merah 
1 batang serai - ketuk
2-3 sudu besar gula
Garam
1-2 keping asam keping
1 biji kelapa parut - santan pekat secukupnya
½ sudu kecil cili kisar - jika suka kuah warna kemerahan
1 sudu besar tepung beras - bancuh sedikit air

Cara cara:
Satukan santan, serai dan bahan tumbuk. Jika suka, kuah warna kemerahan, masukkan sedikit cili kisar. Masak atas api perlahan sambil terus dikacau sehingga mendidih.

Masukkan garam, gula dan asam keping. Kacau sehingga hampir pekat. Masukkan tepung beras yang dibancuh dengan sedikit air.

Masak sehingga kuahnya berkilat. Sesuaikan rasa dan bolehlah dimasukkan ayam yang dibakar atau digoreng.


Nota:
Kuah percik mesti ada rasa manis. Gula yang menjadikan kuah percik berkilat.

Masukkan ayam yang digoreng ke dalam kuah percik dan kacau rata. Sedia untuk dihidangkan. 




Catat Ulasan for "Ayam Percik Kelantan Azie Kitchen Versi Mudah"