Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Masak Tempoyak Tumis Ikan Kembung



Saya bukan ustazah tapi tanggungjawab untuk berkongsi ilmu adalah tanggungjawab semua. Apa yang kita pelajari, apa yang benar, kita kongsikan. Saya hari ini nak kongsikan kelebihan membaca ayat kursi, ayat yang ke-255 Surah Al-Baqarah dan biasanya dibaca, dihafal dan dibaca selepas solat fardu. Ayatul kursi atau ayat kursi merupakan ayat yang paling agung kerana mengisahkan keagungan Allah serta kekuasaan-Nya yang tidak terbatas.

Kita digalakkan membaca ayat kursi selepas solat fardhu kerana fadhilat jika kita amalkannya sangat besar seperti dalam hadis di bawah:

“Barang siapa yang membaca ayat Kursi setiap kali selesai dari solat fardu, maka tidak ada perkara yang akan menghalangnya untuk masuk ke syurga melainkan kematian. (Iaitu hanya kematian sahaja yang menghalangnya, setelah mati, dia akan mudah ke syurga) (HR al-Nasa’i dan al-Tabrani, dinilai Sahih oleh al-Albani).

Jadi walau macam mana sekali pun kita terburu buru mengejar masa, jangan sesekali kita meninggalkan membaca ayat kursi kerana kelebihannya yang sangat besar ini. OK cukup setakat ini dahulu, sekarang kita beralih bab resipi.


Suami saya memang suka makan lauk masak tempoyak tapi stail Perak lah. Kebiasaannya lauk tempoyak Perak berwarna sedikit kemerahan kerana mereka menggunakan cili merah atau kadang kadang cili kering.

Selain ikan sungai, ikan kembung lah biasa digunakan untuk lauk masak tempoyak di Perak. Selain itu, akan dimasukkan timun atau taugeh yang besar. 

Kali ini saya kongsikan masak tempoyak yang bahan bahannya seperti bunga kantan dikisar bersama dengan tempoyak. Jadi kuahnya lebih beraroma dan berperisa. Hmm memang sedap sangat tau. 

Jom layan resipi dan cara penyediaanya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba.... 


Masak Tempoyak Tumis Ikan Kembung
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
4 ekor Ikan kembung
3 batang serai - ketuk
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 biji timun
Daun kesum
Garam secukupnya
2 sudu besar gula atau secukupnya
Serbuk perasa aji no moto
Minyak masak

Bahan tumbuk kasar:
5 biji cili padi - ikut pedas disukai
½ biji bawang besar
2 ulas bawang putih

Bahan kisar:
1 kuntum bunga kantan - hiris
4 sudu besar tempoyak - 150 gram
Sedikit air

Cara cara:
Panaskan minyak tumis serai dan bahan tumbuk hingga wangi. Masukkan tempoyak kisar tadi.

Masukkan air secukupnya. Masukkan gula, serbuk kunyit, garam dan aji no moto.

Setelah mendidih, masukkan timun dan biarkan sehingga separuh lembut, masukkan ikan.


Akhir sekali masukkan daun kesum. Kacau rata dan tutup api.

Nota:
Kuantiti gula dan garam bergantung pada tempoyak. Kalau tempoyak baru yang masih manis, sukatan gula dikurangkan.


Catat Ulasan for "Masak Tempoyak Tumis Ikan Kembung"