Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Keria Tradisional



Ini adalah posting hari terakhir tahun 2022. Insya Allah esok kita akan melangkah ke tahun baru, 2023. Semoga tahun 2023 menjanjikan lebih kebahagiaan buat kita semua. Aamiin.

Semalam saya ikut Juita ke Shah Alam untuk urusan buka akaun saham. Alang alang di sana, kami singgah di sebuah restoran terkenal di seksyen 10. Saya beli lah sedikit lauk pauk untuk di bawa balik. Harga di sini memang dah mahal, terasalah mahalnya.

Yang tak puashatinya ikan pari bakar yang dibeli nampak macam masih mentah dan tak segar. Aduii terus tak lalu nak makan. Ini bukan kali pertama, dulu sekali saya beli ikan cencaru sumbat. Bila nak makan, isi ikannya pun macam masih mentah. Langsung tak ada yang makan. Saya sekadar jamah sedikit kelapa sumbat di bahagian luar yang garing sikit.

Saya tak pasti kalau restoran seperti ini, tuannya ada sekali sekala membuat pemeriksaan kualiti kerana saya pasti lauk pauk ini dimasak oleh pekerja mereka yang mungkin dah tak lalu pun nak makan lauk yang dimasak setiap hari. 

Saya geramnya tu kerana ikan pari tak tebal mana dan tak besar pun, tak sepatutnya masih mentah. Walaupun daun pisang nya yang membalutnya nampak dah keperangan tapi isinya tak masak. 

Sekarang ini, barang semua mahal. Orang bukan ada duit nak membazir dengan membayar makanan yang akhirnya tidak dapat dimakan. Jadi mana mana peniaga makanan, pastikan lah makanan yang dijual boleh dimakan. Kalau saya makan di sana, pastinya saya akan tunjuk pada tuanpunya. Tapi ini bawa balik ke rumah. 


Saya rajin menyediakan kuih keria dan kuih chek mek nolek setiap kali menpunyai stok ubi keledek di rumah. Kuih ini selain mudah disediakan juga sangat sedap. Kalau dibeli, harganya boleh tahan juga mahalnya. 

Ada pelbagai versi kuih keria. Ada yang meletakkan sedikit tepung beras di dalam adunan. Pendek kata ianya telah dipermodenkan. Dan yang paling terkenal ialah kuih keria gula Melaka. Tapi saya masih suka versi tradisional yang tak lupuk dek zaman. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa klik di SINI untuk menonton video di Azie Kitchen Youtube Channel. Selamat mencuba....  


Kuih Keria Tradisional 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
335 gram ubi keledek lenyek 
¾ cawan tepung gandum

Cara cara:
Rebus ubi keledek sehingga empuk. Buang kukit dan ditumbuk halus. Masukkan tepung gandum dan gaul rata sehingga menjadi doh. 


Ambil 35 gram doh dan bulat bulatkan. Ambil satu doh dibulatkan dan ditekan leper sedikit dengan kedua tapak tangan. Celup jari dalam sedikit minyak masak dan buat lubang di tengah tengah. 

Panaskan minyak dan goreng sehingga keemasan. Angkat dan tos. Sejukkan seketika sebelum disira. 





Bahan Sira:
¼ cawan gula + 2 sudu besar gula
¼ cawan air + 2 sudu besar air 
1 sudu besar tepung gandum

Cara cara:
Masak air, beberapa titis minyak dan gula sehingga mendidih berbuih dan sedikit pekat. Masukkan keria yang telah digoreng dan kacau sebati atas api perlahan. 



Masukkan tepung gandum dan terus tutup api. Kacau sehingga nampak tepung gandum larut. Terus kacau sehingga gula melekat dan kering pada kuih. 




Nota:
Penambahan sedikit tepung beras menjadikan kuih keria rangup di bahagian luar, tapi lembut di bahagian dalam.Tepung beras juga menjadikan kuih keria tidak serap minyak.

TIPS menggunakan sedikit minyak semasa menyira menjadikan hasil kuih keria selepas disira menjadi berkilat dan kuali menyira licin kerana gula sira melekat kesemuanya pada kuih (bukan melekat pada kuali). 

Penggunaan tepung gandum sebagai agen pelekat dalam sira menjadikan hasil sira bertahan lama (lambat mencair).

Catat Ulasan for "Kuih Keria Tradisional"