Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Sagu Yang Lembut Dan Sedap



Sejak Nana tinggal di rumah kami selama dia membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan, saya banyak bersembang dan berbincang dengan Nana. 

Kadang kadang dia memberikan pendapat tentang sesuatu isu yang saya dah tahu cuma kita tidak begitu menghayatinya. Kita perlukan seseorang untuk memberitahu kita sebagai peringatan. Contoh, kita melihat kehidupan orang lain sebagai sangat ideal. 

Bak kata Nana, mereka juga menpunyai masalah yang hanya mereka yang mengetahuinya. Seperti juga kita, orang lain melihat kehidupan kita sempurna dan serba ada tapi hakikatnya hanya kita yang mengetahui apa cabaran dan ujian dalam kehidupan kita. Haa perkara biasa kan? Tapi sejauh mana kita mahu menghayatinya dalam kehidupan kita? Betul tak? 

Kami juga berbincang berkenaan hakikat mereka yang bekerja makan gaji di mana dengan keadaan ekonomi sekarang, agak sukar untuk hidup senang. Macam Nana sendiri yang baru memulakan kehidupan dengan membayar pinjaman rumah, kereta dan yuran pengajian anak serta penjagaan anak, pastinya adalah satu cabaran. 

Betul juga tu, belajar lebih sepuluh tahun untuk menjadi seorang doktor pakar tapi gaji yang diterima masih rendah berbanding dengan kos kehidupan sekarang ini. Apa yang perlu dilakukan adalah memberi keutamaan dalam hidup. 

Macam Nana, dia sangat mementingkan pelajaran Ammar dan penjagaan untuk Aliya. Mereka berhabisan untuk mendapat yang terbaik bagi kedua duanya. Adakala nya saya melihat Nana seperti saya melihat diri saya sendiri. Kami berani mengambil risiko. 

Kami tidak pernah pandai duduk diam dan sentiasa berfikir apa yang akan dilakukan di masa depan. Walaupun telah menjadi seorang doktor pakar, tidak menghalang untuk mengambil peperiksaan luar juga. Kami sangat mementingkan pendidikan dan akademik sebagai asas kehidupan. 

Alhamdulillah kerana Nana tidak pernah takut dengan cabaran dan saingan. Saya sangat berbangga kerana Nana kini satu satunya doktor Melayu berada dalam Young Ophthalmologists Commitee. Semoga Nana terus diberikan semangat yang tinggi untuk berkhidmat demi negara. Aamiin. OK setakat ini dahulu, sekarang kita masuk pula bab resipi dan masakan.
 

Kuih sagu adalah antara kuih muih tradisional kegemaran anak saya waktu berbuka puasa. Kuih yang lembut lembut kenyal gedik gedik memang sedap di kunyah dengan rasa pula kelapa parut yang lemak masin. Memang sedap.

Terdapat pelbagai cara penyediaan kuih ini. Ada yang dikukus dan ada yang hanya dimasak atas dapur sahaja. Teknik dan penyediaan berbeza menghasilkan tekstur kuih sagu yang juga berbeza.

Untuk kali ini saya menyediakan kuih sagu yang dimasak atas dapur sahaja. Tak perlu kukus dan ditambah sedikit bancuhan tepung jagung untuk melekatkan kuih supaya lebih cantik ketika dipotong. 

Jom layan resipi dan cara penyediaanya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Kuih Sagu Tanpa Kukus
Oleh: Azie Kitchen

Bahan A:
1 liter/ 5 cawan air
1 cawan sagu

Bahan B:
1 cawan air
100 gram/ ½ cawan gula
1 sudu besar sirap rose
1 sudu besar tepung jagung + sedikit air

Bahan C:
Kelapa parut
Sedikit garam

Cara cara:
Masak air sehingga mendidih atas api sederhana. Masukkan sagu dan kacau sekali sekala supaya tidak melekat.


Setelah 80% masak, iaitu biji sagu dah hampir jernih, angkat dan tuang ke dalam penapis. Lalukan di bawah air paip sambil dikacau perlahan untuk membuang sagu. Tos dan ketepikan.

Menggunakan periuk sama, sediakan pula bahan B dengan masak air, gula dan sirap ros sehingga mendidih. 

Masukkan sagu yang ditos tadi dan kacau rata. Bila sagu jernih, masukkan air bancuhan tepung jagung. Kacau rata.


Angkat dan tuang dalam loyang disukai. Setelah sejuk, boleh dipotong dan digaul dengan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.



Catat Ulasan for "Kuih Sagu Yang Lembut Dan Sedap"