Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Jemput Pisang Sedap



Sedar tak sedar, kita telah menghampiri musim tengkujuh. Kalau masa saya kecil di kampung dulu, bulan November dan Disember adalah dikenali sebagai musim bah. Bah atau banjir. Tahun ini tak pasti kalau PRU akan berlaku waktu banjir. Yang pasti parlimen telah dibubarkan. Banyak juga negeri sekarang mengalami banjir. 

Pagi tadi pun sewaktu kakak saya menelefo, dia ada memberitahu yang di kampung kami cuaca mendung dan gelap. Ini adalah menandakan musim hujan atau musim bah bakal menjelma.

Musim ini yang seronoknya, banyak ikan sungai atau ikan sawah yang akan dijual di pasar pasar. Banyak ubi ubi seperti ubi gadung, ubi badak, ubi keling dan banyak lagi. Kalau ikan pulak, akan keluarlah ikan pekasam yang dipenuhi dengan garam kasar dan isinya pun berwarna kemerahan. Pecahkan telur sebiji atas ikan yang telah digoreng hampir masak. Wallaa sedap, itulah kenangan makanan musim banjir.

Saya pernah mengalami kenangan pahit bila mana kaki saya luka kecil sahaja merebak menjadi bengkak sebesar penumbuk dan bernanah kerana bermain air banjir. Ketika itu pula, saya sedang menduduki peperiksaan STPM yang menyebabkan saya terpaksa membalut kaki dan memakai selipar ke dewan peperiksaan. 

Zaman dulu bukan macam zaman sekarang, ada banyak klinik swasta. Kalau pun ada mungkin tak mampu pun. Kalau mahu dapat rawatan, hanya ke pusat kesihatan. Jadi kalau kawasan anda dilanda banjir, jauhi anak anak dari bermain air banjir kerana air banjir ni kotor kerana ianya mengandungi pelbagai kotoran. OK sekarang meh kita bincang pula bab kuih kampung iaitu jemput pisang. 


Jemput pisang atau ada juga yang panggil sebagai cekodok pisang adalah antara kuih tradisional yang mudah disediakan dan tidak pernah jemu dimakan. Malahan pergi ke majlis kawin pun ada yang menyediakan jemput pisang yang digoreng panas panas masa tu juga. Sama macam apam balik yang dimasak panas panas untuk para jemputan. 

Cuma memasak jemput pisang ni ada pelbagai teknik dan pembaharuan yang diperkenalkan untuk menambah kerangupan di luar seperti menambahkan majerin dsb. Ada yang menambah serbuk penaik. Ada yang meletakkan sedikit kelapa parut atau santan. 

Saya tak suka yang jemput pisang kembang kerana rasanya dah seperti tekstur kek pisang. Saya suka yang tradisional sahaja, menggunakan pisang, tepung dan gula serta garam. Zaman dulu, tak letak gula pun terutama kalau pisang dah manis.  

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba...


Jemput Pisang Lembut Dan Sedap
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
500 gram pisang emas (anggaran 15 hingga 20 biji pisang bersaiz kecil)
1 cawan tepung gandum
1 sudu teh garam halus
2 sudu besar gula

Cara cara:
Lenyek pisang dan disatukan dengan semua bahan lain. Kacau sehingga sebati.

Panaskan minyak dan basahkan tangan. Jemput pisang ke dalam minyak panas dan kemudian perlahankan api. Goreng sehingga masak di kedua dua belah permukaan.

Angkat dan tos. Sedia untuk dihidangkan. 


Catat Ulasan for "Jemput Pisang Sedap"