Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Asam Pedas Ikan Bawal



Assalamualaikum semua. Lama saya tak memasak asam pedas ikan kerana anak anak kurang gemar makan ikan. Ammar makan ikan tapi ikan mesti digoreng dulu. Jadi kalau masak lauk ikan, 2 ekor ikan kembung pun dah cukup.

Sebelum masuk bab resipi, meh kita sentuh sedikit bab kecurangan dalam rumah tangga. Ramai pasangan terutama suami yang suka bermesej mesej mesra dengan perempuan lain. Siap panggil sayang sayang lagi. Konon atas alasan kerja atau suka suka sahaja dsb. Tapi tanpa sedar mereka sedang mencari masalah dalam rumahtangga.

Yang peliknya lelaki yang tak mampu dari segi kewangan dan dari segi kesihatan, yang duit sentiasa tak cukup, makan anak anak tak diambil peduli, hutang keliling pinggang dan berpenyakit pula, pun ada hati nak buat perangai macam ni. 

Kubur dah memanggil manggil, badan pun dah berbau tanah tapi masih tak sedar diri. Sebenarnya kesian orang seperti ini kerana mereka tidak mendapat hidayah mungkin kerana mereka tidak berusaha mencari hidayah tersebut. Jika ada suami atau ayah ayah yang berperangai seperti ini, teruslah berdoa agar dia diberikan hidayah sebelum dijemput Illahi. 

Hidup hanya sekali, jika tidak mengambil kesempatan untuk berbuat kebaikan semasa masih bernafas, adalah suatu yang merugikan dan mengesalkan kerana setelah mati, tiada lagi peluang untuk ini. 

Jika diri sendiri tidak menyediakan bekal diri sendiri, apakah ada orang lain yang akan menyediakan bekal untuk kita. Jika kita malas mengaji, apakah ada orang akan rajin mengaji untuk kita. Renung renungkan lah. 


Sebenarnya memasak asam pedas ini, yang paling utama ialah bahan tumis mesti ditumis sehingga benar benar masak dan garing. Tumis atas api sederhana, bila dah benar benar masak, barulah asam pedas kita menjadi lebih sedap. 

Bahan lain lebih kurang sahaja cuma berbeza sedikit di sana sini. Contoh, ada orang menggunakan serai atau daun limau purut. Ada orang letak belacan dll. Itu sahaja tapi tak menjejaskan rasa dan keenakan asam pedas pun.  

Jom layan resipi dan cara penyediaanya di bawah ini. Jangan lupa video di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba....


Asam Pedas Ikan Bawal
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ikan bawal hitam - 350 gram
2-3 sudu besar cili kering kisar - ikut pedas disukai
½ sudu kecil pes asam jawa
10 kacang bendi
1 bunga kantan - belah 2
½ sudu besar garam
Daun kesum
400-500 ml air
Sedikit serbuk perasa - opsyenal
⅜ cawan minyak masak
 
Bahan kisar:
2 biji bawang besar - saiz sederhana
4 ulas bawang putih
1 inci halia
½ sudu kecil kunyit hidup kisar - 1 inci kunyit hidup
Belacan - jika suka

Cara cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis atas api sederhana sehingga benar benar masak dan terbit minyak.

Masukkan bunga kantan, pes asam jawa dan biarkan mendidih lagi.

Masukkan air secukupnya. Setelah mendidih, perlahankan api dan renih sehingga kuah menjadi sedikit pekat.

Setelah kuah sedikit pekat, masukkan ikan, garam dan daun kesum. Biarkan mendidih dan masukkan kacang bendi.

Masukkan serbuk perasa. Bolehlah tutup api.


Nota:
untuk menghasilkan asam pedas yang sedap, bahan tumis mesti benar benar masak.

Kuah dimasak sehingga sedikit pekat. 




Catat Ulasan for "Asam Pedas Ikan Bawal "