Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Mee Goreng Kegemaran Famili Saya



Nana memberitahu saya, Mama, kawan kakak beritahu dalam blog mama ada banyak sangat resipi mee goreng, jadi ramai tak pasti mana satu resipi yang sedap. Saya menjawab mama seorang blogger yang akan mencuba pelbagai resipi untuk satu satu masakan. Semua yang dikongsi dalam blog, Insya Allah yang telah dicuba dan semua sedap. Hahaha.

Buat mereka yang tak pasti mana satu resipi nak ikut, boleh guna resipi mee goreng terbaharu ini yang telah saya olah dan ubahsuai. Sebenarnya ianya sama dengan resipi dulu dulu, cuma saya ubahsuai sedikit dengan memasukkan sos tiram. 

Selain itu saya juga memasukkan telur, jika dulu saya memang tak suka masukkan telur dalam mee goreng dan akhir sekali, saya masukkan sayur taugeh, yang dulu dulu saya tak berapa gemar taugeh di dalam mee goreng. Yang lain semuanya sama. 

Juga kalau belah belah Kelantan, akan dituangkan setitis dua cuka makan dalam mee goreng untuk rasa masam masam. Atau sebagai pilihan, boleh dihidangkan dengan hirisan limau nipis yang diperah airnya sebelum mee dinikmati. 


Alhamdulillah, setakat ini anak anak saya suka jer dengan perubahan yang saya buat. Cuma kalau tak ada taugeh, saya tak letaklah taugeh tu. Kalau suka pedas, boleh lebihkan cili kering kisar. Saya guna 1 sudu besar sahaja untuk 1 paket mee kuning sebab anak saya memang tak tahan pedas.

Haa kalau ada yang nak mencuba, boleh ikuti resipi dan step penyediaannya di bawah ini. Selamat mencuba…

Mee Goreng Azie Kitchen

Oleh: Azie Kitchen


Bahan bahan:

1 pek mee kuning  

¼ cawan minyak masak

1 sudu besar cili kisar - jika suka pedas, guna 2

2-3 sudu besar sos cili

1 sudu besar sos tiram

1 sudu besar sos tomato

Kicap lemak manis secukupnya

2 biji telur

5-6 ekor udang 

2 keping fish cake

2 pokok sayur sawi

4 biji cili padi ketuk - opsyenal

1-2 genggam sayur taugeh  


Bahan tumbuk:

2-3 biji bawang merah

3 ulas bawang putih


Cara cara:

Mee kuning dibasuh manja bawah air paip dan tos. Ketepikan.

Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk sehingga naik bau. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga cili masak dan terbit minyak. Jika perlu, masukkan air sedikit demi sedikit untuk pastikan cili masak sepenuh.

Masukkan udang dan fish cake. Kacau rata.

Masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram. Kacau rata dan biarkan masak sebati.

Masukkan batang sawi. Kacau sehingga agak agak separuh lembut.

Masukkan mee kuning dan daun sawi. Kacau rata. Nota: jika suka, boleh masukkan cili padi ketuk beberapa biji.

Masukkan kicap secukupnya sehingga warna mee yang disukai. Boleh tambah sos cili sedikit lagi, jika perlu. Kacau rata.

Ketengahkan sedikit mee dan pecahkan telur di tepi kuali. Biarkan sehingga telur separuh masak, baru dikacau rata supaya bergaul dengan mee.

Akhir sekali, masukkan taugeh dan kacau rata. Terus ditutup api. Sedia untuk dihidangkan.




Nota:
Jika suka lebih basah, tambah kicap dan sos. Kicap, sos dan telur berperanan untuk mee lebih basah dan lebih kering.


Catat Ulasan for "Mee Goreng Kegemaran Famili Saya"