Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Widget HTML #1

Kuih Kaswi Sedap Dan Lembut Gedik



Sebelum kita masuk bab resipi, saya ingin kongsikan petikan dari video Tok Ku Pasir Gudang, Ustaz Md Esa Deraman. Ianya agak panjang tapi berbaloi jika anda membacanya. Jika tidak, boleh skip dan terus ke resipi.  Ianya berkenaan dengan hubungan antara kita dengan Allah. 


Bagaimana cara kita hidup di dunia. Semuanya dalam tanggungjawab kita. Satu perkara yang perlu kita sedar, tak ada orang yang akan beramal untuk kita bila kita telah mati. Jadi jaga ibadat puasa dan solat kita dengan bersungguh sungguh. Ditanya kenapa? Jawabnya, siapa yang akan puasa untuk ku dan solat untuk ku, siapa akan sedekahkan untuk ku? Orang lain tak boleh buat amalan untuk kita. 


Dalam masyarakat kita, bila ada orang mati akan dibaca tahlil. Itu amalan bersifat sementara. Itu bukan pendapatan utama kita dengan Allah. Kalau kita kira gaji, ada orang bagi duit kat kita. Ada masa orang bagi dan ada masa tak bagi. Kita tak akan rasa tenang kalau tak ada income sendiri. Apa lagi amalan. Tak akan sama amalan yang kita buat sendiri dengan yang orang lain buatkan. Orang mati pun nak hidup semula untuk buat sendiri. Tak ada orang nak istigfar untuk kita, tak ada orang nak mengaji untuk kita. Jadikan kesibukan kita untuk beramal sendiri. 


Kedua, bukan orang beri pahala pada kita. Buat baik bukan nak pujian orang. Tak ada orang nak buat baik untuk kita.  Lakukan muhasabah diri. Bila buat baik, bukan nak suruh orang nilai. Yang beri pahala adalah Allah. Bukan orang. Macam mana orang puji tapi kalau Allah tolak. Tak berguna juga. Macam mana orang keji tapi kalau Allah terima. Siapa yang Allah hina dan tolak tak ada orang akan muliakan kita. 


Hakikat teman yang betul. Manusia suka berkawan di dunia ni. Wujudkan group WA. Dulu teman sepermainan. Sekarang bila berkawan nak manafaat. Tak nak berkawan dengan orang yang memberi mudarat contoh yang menyebabkan kita dibuang kerja atau duit kita habis. Manafaat sebenar di sisi Allah ialah kenal dengan kawan yang jadikan kita buat baik. Jauhi kawan yang jadikan kita suka buat jahat dan bermasalah dengan Allah. Kena pandai pilih kawan bila dah umur 60 tahun pilih kawan yang boleh dorong kita buat baik. Jangan kawan yang bawa kehancuran. Kawan sesatkan aku dari ingat Allah selepas benda itu aku tahu. 


Musuh sebenar punca kita tak solat, punca kita buat tak baik, buat benda haram. Punca kita tak bayar zakat. Bangga kawan yang dorong kita buat baik. Kawan yang ingatkan pada agama. Bukan sebaliknya, bukan kawan yang ubah landasan hidup kita ke arah kehancuran. Sesatkan aku dari petunjuk Allah selepas aku mengetahuinya. 


Taqwa maksudnya kita sentiasa ada halangan dan hadangan. Contoh masa perang sentiaa pakai baju kalis peluru sebagai pertahanan diri. 


Kawan baik, akan ajak kita buat baik, maka jangan bagi alasan. Nanti dia tak ajak kita lagi. Cari jalan untuk ikut bersama. Kalau ke arah jahat, cari alasan supaya tidak ikut sesat untuk jaga agama. Masa dengan Allah sikit. Kalau masa dengan manusia banyak. Bila orang beri kita beri terima kasih. Sedangkan yang gerak hati dia untuk beri pada kita ialah Allah. 


Allah tawar pada kita masa doa mustajab seperti Mekah. Ramai ke Mekah bawa 1001 hajat. Ada yang hajatnya untuk nak dapat anak. Mesti bawa hajat apa yang nak didoa di Mekah. Itu bukan tercela. Allah berikan waktu mustajab doa. 


Waktu mana doa mustajab, manusia ada iman akan luang masa untuk mengejarnya. Contoh, malam lailatul qadr. Manusia akan beriktikaf. Ganjaran nya Allah telah janjikan. 


Hari Jumaat juga hari mustajab doa. Jadi buatlah apa apa amalan seperti membaca surah kahfi, baca Yasin, pergi masjid awal. Waktu dan berkat doa mustajab. Ada satu waktu yang bila hamba minta, Allah akan bagi. 


Bila kena musibah, rasa tak ada orang boleh tolong kita. Waktu kena musibah juga, doa mustajab mulakan dengan


 إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali. Ya Allah, berikanlah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpaku dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya”.


Musibah jadikan dunia lebih terang. Bukan lebih gelap. Kita jadi lebih bersih selepas badan kita kena kekotoran. Bila kena kotoran kita akan basuh dengan sabun supaya lebih bersih dan wangi. Itu lah musibah. Waktu tu lah doa mustajab. Kereta rosak, Allah ganti kereta lebih baik. 


Kalau nampak rezeki dari sisi Allah. Banyak dan luas rezeki. Bila Hubungan dengan Allah bermasalah kita rasa tutup sini, tak ada dah rezeki yang lain. Jodoh pun sama. Bila tak dapat yang ni, rasa dah tak ada yang lain sehingga nak berbunuh. Manusia nampak nikmat sempit. Bila pinangan tak diterima, putus tunang, mula nak membunuh atau kecewa hingga nak bunuh diri sedangkan ramai perempuan lain yang lebih baik. Rezeki Allah tak pernah habis. Jangan dengki dalam bab rezeki. Rezeki isteri, rezeki anak, rezeki harta. Sampai masa akan sampai tak perlu dengki pada sesiapa. 


Ziarah orang sakit dengan men doa yang baik baik kerana malaikat akan aamiinkan doa kita. Doa bukan untuk orang sakit tapi juga untuk kita. Doa supaya kita tak akan kena penyakit orang yang diziarahinya sampai mati. Ini jaminan. Baca slow. Jangan baca kuat. Doa untuk kita dulu, kemudian baru doa untuk pesakit. Segala puji bagi Allah kerana selamatkan aku dari penyakit ini. Syarat kena ziarah dulu. Tengok orang stroke kita pergi. Doa untuk kita kemudian doa untuk dia. Ini waktu doa mustajab untuk kita dan dia. Untuk kita supaya kita terselamat dari penyakit macam dia. Mereka telah dihapus dosa. Orang sakit yang sabar banyak kelebihannya. Kalau boleh jangan tinggalkan dia sehingga dia doakan untuk kita. 


Masuk jer waktu zohor, doa mustajab. Nabi terus solat 4 rakaat sebelum zohor waktu Allah buka pintu langit. Waktu solat Zohor pergi awal ke surau. Lepas azan solat qabliyah dan doa banyak kerana langit sedang terbuka dan amalan naik waktu ini. 


Waktu mustajab juga ialah bila kita terkejut dan terjaga malam. Bukan niat nak bangun. Ada gangguan tidur seperti nak buang air. Siapa baca doa, 


Laa ilaaha illallaah, wahdahu laa syariikalah, lahul mulku wa lahul hamd, wa huwa 'alaa kulli syai-in qodiir, 

Alhamdulillaah, wa subhaanallaah, wa laa ilaaha illallaah, wallaahu akbar, wa laa haula wa laa quwwata illaa billaah.

Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya.
BagiNya kerajaan dan pujian. Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Segala Puji bagi Allah, Maha Suci Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.

Kemudian dia mengucapkan:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Allaahummaghfir lii.

Ya Allah, ampunilah dosaku.

Atau dia berdoa (dengan doa yang lain), maka akan dikabulkan doanya, jika dia berwudhu dan melaksanakan shalat maka akan diterima shalatnya." HR. al-Bukhari 1103, Abu Dawud 5060, at-Tirmidzi 3414 dan Ibnu Majah 3878, shahih.

Waktu ini doa mustajab. Supaya kita tahu Allah sentiasa bersedia bersama kita. Makhluk nak bersama kita, bila dia ada keperluan dengan kita. Ini cara pengisian masa kita dengan Allah. 


Manusia ada hawa nafsu masa dengan orang banyak dan terima kasih kepada manusia banyak. Sedangkan dengan Allah kurang. Yang bersungguh sungguh untuk sampai ke jalan dengan membuat suruhan Allah dan tinggal larangan Allah serta sabar dengan ujian Allah pada diri, anak pada kerja kita. Jangan turut pada nafsu, cari alasan untuk lawan nafsu yang nak tidur. 


Bila orang minta sedekah. Allah janji ganti 100 kali ganda. Pujuk nafsu supaya bagi. Akhirnya nafsu kalah. Bila nafsu suruh buat benda buruk, marah dan lawan nafsu itu. Mampu sabar dalam semua hal walaupun pahit. Cari 1001 alasan untuk bangun qiamullail. Setiap hawa nafsu yang akan jahanam kita, kita kena lawan sehingga kita bertemu Allah. Ini jihad sebenar jihad melawan hawa nafsu. OK setakat ini dahulu, semoga kita semua mendapat manafaat di dunia dan akhirat.


Kuih kaswi pandan ini sangat lembut sedap tergedik gedik. Pada saya secukup sahaja rasanya. Jika anda tak suka manis, boleh kurangkan gula tapi kuih muih kena ada sedikit rasa manis tapi jangan pula terlebih manis. 

Saya memang syorkan anda mencuba resipi kuih kaswi ini. Pertama kerana ianya sangat mudah disediakan, bahan mudah dan simple serta rasanya yang sedap. Tak perlu buat banyak, cukup sekadar untuk sekali atau dua kali makan sahaja. Zaman ekonomi seperti sekarang, kita kena berjimat cermat. Makan sekadar untuk hidup, bukan hidup untuk makan. 

Boleh klik entri sebelum ini di SINI yang menggunakan bahan sama cuma sukatan tepung gandum dan tepung ubi yang berbeza. Resipi di SINI pula resipi menggunakan tepung gandum dan tepung beras. 

Jom layan resipi dan cara penyediaannya di bawah ini. Jangan lupa untuk melihat video penuh penyediaannya di Azie Kitchen Youtube Channel di SINI. Selamat mencuba...


Kuih Kaswi Lembut Gedik
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:

½ cawan gula kaster

2 ½ cawan + 4 helai daun pandan + pewarna hijau

¾ cawan tepung gandum 

¾ cawan tepung ubi

½ sudu kecil air kapur 

½ sudu kecil garam

Kelapa parut + sedikit garam


Cara-cara:

Panaskan periuk pengukus sehingga air mendidih.

Satukan semua bahan dan kacau sebati kecuali kelapa parut. Tuang dalam periuk atas dapur dan masak sekadar keluar wap. Tutup api.

Tuang dalam loyang saiz 4”x8" yang telah dilenser dengan minyak. Kukus selama 30 minit atau sehingga masak. Biarkan dikukus selama 5 minit tanpa tutup pengukus untuk mengeringkan air di permukaan kuih. Nota: boleh juga keringkan dengan tisu dapur, jika suka untuk serap air lebihan yang bertakung atas permukaan kuih. 

Setelah sejuk, bolehlah dipotong. Hidang dengan kelapa parut yang digaul dengan garam.


Nota:
Kalau tak banyak, saya tak kukus kelapa kerana lebih sedap dan rasa lemak. Tapi kalau banyak, elok dikukus supaya tahan lama.

Saya tak dapat tunggu sehingga benar benar sejuk, terpaksa potong ketika suam. Saya potong baki selebih keesokannya, hasil potongan sangat cantik dan masih lembut.  



Catat Ulasan for "Kuih Kaswi Sedap Dan Lembut Gedik"